
Ikon komedi, Senariounion kembali ke pentas untuk sebuah konsert berskala mega, The Last Kopek: Senariounion 30 Tahun sempena keraian tiga dekad penubuhan mereka, tahun depan.
Dianjurkan oleh Dreamscape Events, konsert yang diterbitkan oleh Kapla Entertainment itu akan diadakan di Idea Live Arena pada 25 April depan.
Amardip Singh Pannu yang mewakili penganjur, berkata konsert ini akan mempertemukan kembali enam anggota kumpulan legenda itu untuk sebuah persembahan eksklusif, sekali gus mengimbau zaman kegemilangan dunia komediMalaysia.
Gabungan Azlee Jaafar, Wahid Mohd, Lan Pet Pet, Ilya Buang, Saiful Apek, dan Yassin Yahya itu juga, katanya, sebagai memenuhi permintaan peminat yang menantikan Senariounion kembali menerusi sebuah konsert.
Seorang lagi anggota asalnya, Hamdan Ramli, telah meninggal dunia pada Januari tahun lalu.
“The Last Kopek: Senariounion 30 Tahun adalah yang pertama seumpamanya selepas lama Senariounion tidak muncul dengan sebuah konsert mega. Ia bakal mencipta momen bersejarah, mengembalikan nostalgia ke era emas komedi tanah air.
“Sambil meraikan ulang tahun ke-30 penubuhan kumpulan ini, ia juga sebagai memberi penghormatan kepada kumpulan selegenda Senariounion, ikon komedi negara, yang meninggalkan banyak kenangan manis, terutama buat generasi yang membesar bersama lawak jenaka dan muzik mereka sejak 1996 lagi.
“Kami sebenarnya didorong oleh banyaknya pertanyaan bilakah Senariounion yang dianggap OG, iaitu orang lama dalam dunia komedi tanah air akan kembali ke pentas mega.
“Justeru, penganjuran konsert ini diharap dapat mengubati kerinduan peminat kepada Senariounion,” katanya
Berlatar sebuah persembahan nyanyian dan lawak jenaka santai, kata Amardip, The Last Kopek: Senariounion 30 Tahun akan menyaksikan Senariounion diiringi pemuzik seramai tujuh orang bersama tiga pemain horn dan akordian, dengan susunan muzik yang baharu dan segar oleh Chaan & The Leman Band sebagai Pengarah Muzik.

Tiket dijual pada harga RM138 (Motor Kapchai), RM188 (Cinta Berkarat), RM268 (Lip Lap Lip Lap), RM268 (Sebelum dan Sesudah), RM288 (Cinta Sate), RM388 (Cari Tapak) dan RM488 (Cepat Kaya), dan boleh didapatkan dengan melayari www.ilassotickets.com/Senariounion atau di www.fantopia.io
Konsert ini turut disokong Amar Travel & Tour Sdn Bhd sebagai Rakan Rasmi, Sunway PutraHotel (Lokasi Sidang Media Rasmi), Idea Live Arena (Lokasi Rasmi), iLasso dan Fantopia (Tiket Rasmi), selain Gempak (Media Digital Rasmi) dan ERA, Sinar, dan THR Gegar (Rakan Radio Rasmi).
Ditubuhkan menerusi gabungan beberapa peserta daripada program realiti Sinaran Passport Kegemilangan , kumpulan ini mula mencipta populariti menerusi sitkom yang menggunakan nama asal mereka, Senario, di TV3.
Mendominasi seawal 1996, sitkom paling ikonik TV3 itu meraih jutaan tontonan, ditambah dengan kemunculan album sulung, Senario , pada tahun sama, dan disusuli beberapa siri filem Senario, seawal Senario The Movie arahan Aziz M Osman pada 1999 yang mencatat kutipan box-office, RM4.58 juta.
“Siapa dapat menyaingi kehebatan Senariounion dalam tempoh tiga dekad ini, menggeletek penonton dengan lawak jenaka dalam sitkom dan filem, malah memiliki beberapa album studio dengan hits seperti Sebelum dan Sesudah, Lip Lap Lip Lap dan Cinta Berkarat yang tentunya akan menjadi pilihan pada malam konsert nanti.
“Peminat Senariounion meliputi pelbagai etnik, umur dan latar belakang, termasuk Gen-Z yang mengenali mereka melalui platform digital seperti TikTok. Jenaka mereka masih menjadi bualan, lagu mereka masih menjadi pilihan, menjadikan mereka terus relevan.
“Tanpa ragu lagi, The Last Kopek: Senariounion 30 Tahun akan menjadi kenangan hiburan yang penuh nostalgia buat peminat Senariounion,” tambahnya. – KopiPlanet.com



