
Sienna Spiro Cipta Fenomena Menerusi ‘Single Die On This Hill’, Kumpul Lebih 173 Juta Strip Global
Malaysia sekali lagi membuktikan pengaruhnya dalam landskap muzik global apabila single “Die On This Hill” nyanyian SIENNA SPIRO mencatat kedudukan No. 1 Carta Harian Spotify Top 50 Malaysia, selain menjadi trending di YouTube Malaysia.
Kejayaan ini dipacu oleh gelombang sokongan luar biasa daripada pendengar tempatan, termasuk cover lagu oleh artis-artis Malaysia yang tular di media sosial.
Sehingga kini, lagu balada tersebut telah mengumpul lebih 173 juta strim global, selain mencatat pencapaian baharu di carta Spotify termasuk #12 di Amerika Syarikat, serta meraih tempat #1 dan kulit hadapan playlist Today’s Top Hits.
Lagu ini turut tersenarai dalam carta di 28 pasaran global, dengan Top 50 di 20 negara dan terus bertambah. “Die On This Hill” juga mencapai #9 di Carta Single UK, #15 di Carta Lagu Apple Music Global dan AS, serta berada di Carta Billboard Hot 100 pada kedudukan #54 dan terus meningkat.
Fenomena ini mula mendapat perhatian apabila beberapa artis tempatan seperti Ernie Zakri, Diana Danielle, Syamel dan pencipta kandungan tempatan lain memuat naik versi cover masing-masing di platform seperti TikTok dan YouTube.
Secara kolektif, kandungan berkaitan “Die On This Hill” di Malaysia telah mencatat lebih 220 juta tontonan di TikTok, menjadikan lagu ini antara topik muzik paling hangat di negara ini. Menambah keterujaan peminat, SIENNA sendiri meninggalkan komen pada video cover Ernie Zakri dan Syamel di TikTok dengan pujian “Love this” beserta emoji hati.
Dengan gabungan vokal yang memukau, penceritaan emosi yang mendalam dan karisma luar biasa, sukar untuk dipercayai bahawa penyanyi-penulis lagu kelahiran UK ini baru berusia 20 tahun.
Keaslian dan kekuatan persembahan SIENNA bukan sahaja memikat audiens global melalui lagu-lagu sinematik dan soulful yang bersifat malar segar, malah turut mencetuskan gelombang sokongan di Malaysia, apabila semakin ramai artis tempatan menyertai fenomena ini dengan menghasilkan cover lagu, termasuk Nuha Bahrin, Elica Paujin dan Julia Duclos.
SIENNA memulakan tahun 2026 dengan lonjakan kerjaya yang luar biasa apabila membuat persembahan di The Tonight Show Starring Jimmy Fallon dengan versi “Die On This Hill” yang mengagumkan, menerima sorakan berdiri daripada penonton dan reaksi kagum daripada hos rancangan tersebut.
Beliau juga mempersembahkan lagu ini di Later… with Jools Holland dan The Today Show, selain membuka persembahan untuk residensi bersejarah Sam Smith “To Be Free: New York City” selama enam malam pada akhir tahun 2025.
Menjelang penghujung tahun 2025, SIENNA jelas menampilkan potensi seorang bintang besar, menghiasi kulit Notion Magazine, menerima pujian daripada Rolling Stone, Wonderland, Dazed, membuat persembahan “Dream Police” di COLORSxSTUDIOS, serta membintangi kempen Gap “Give Your Gift” dengan interpretasi penuh jiwa lagu “The Climb” nyanyian Miley Cyrus, diiringi koir pelbagai generasi. – KopiPlanet.com



