
Sesuatu yang epik seperti sebuah konsert dengan momen luar biasa yang terjadi secara semula jadi adalah sangat sukar untuk diulang, namun ia boleh diterjemahkan dengan lebih kaya seperti kembali ke terowong masa dalam atmosfera baharu.
Pengalaman-pengalaman hebat ini ; pertembungan antara momen epik dan perayaan repertoir yang cukup besar mahu dipersembahkan dalam sebuah konsert yang digelar The Grand Slam Unplugged 2 yang dibawakan oleh SS Karya Venture dan Republic Mokhmar Records.
Ya, anda tidak salah membaca. The Grand Slam Unplugged 2 akan menjadi sekuel paling epik setelah edisi perdana yang berlangsung dua dekad lalu dikembalikan dengan lebih gah.
Momen magis malam 3 Ogos 1996 di Stadium Merdeka bakal berulang. Bukan sekadar mahu menghidupkan semula The Grand Slam Unplugged yang pernah menjadi sejarah terhebat industri muzik tempatan kerana konsert tetap berlangsung gah meski terkendala gangguan elektrik, tetapi The Grand Slam Unplugged 2 adalah tentang mencipta momen baharu lewat kenangan silam.
Tarikhnya perlu diingat: 20 Jun 2026 bertempat di Mega Star Arena Kuala Lumpur. Ini merupakan tarikh dan lokasi di mana setiap jiwa yang beralun lagu-lagu Slam akan berkumpul dan bernostalgia.
“The Grand Slam Unplugged 2 adalah sebuah reminisensi, perasaan, kenangan dan keraian lagu-lagu Slam yang hidup sejak era kaset, masuk ke era cakera padat (CD) sehingga ke dunia penstriman tetap diterima baik oleh peminat kami.
“Ia bukan sebuah konsert ulang tayang. Ia juga bukan sebuah konsert yang dilahirkan kerana mengambil kesempatan di atas sejarah tiada elektrik yang berlaku sewaktu The Grand Slam Unplugged di Stadium Merdeka, 20 tahun lalu.
“Tapi ini tentang sebuah apresiasi serta perayaan yang merayakan karya dan peminat. Ia tentang perayaan kekuatan Slam mengharungi badai dan mampu bertahan sekali gus kekal relevan dengan pasaran sekarang.
“Dan The Grand Slam Unplugged 2 akan menjadi momen epik menerusi persembahan secara akustik daripada Slam sebagai satu konsep yang sudah cukup matang untuk dipersembahkan kepada semua,” ujar gitaris Slam, Shah.
Segala yang direncana mahu dilaksana sesempurna mungkin. Slam mahu kehangatan yang pernah ditebarkan pada malam The Grand Slam Unplugged kembali terjalin di The Grand Slam Unplugged 2.
“The Grand Slam Unplugged 2 akan menjadi momen kita semua kembali merindu dan semoga tidak ada yang terasing dalam sepi. Itu janji Slam.
“Jadi jangan berpaling dahulu dan jangan lupa nantikan Kurnia dari Slam dalam masa terdekat ini. Apa yang pasti The Grand Slam Unplugged 2 akan menjadi medan Masih Ada Cahaya dalam perjalanan Slam dan anda semua,” ujar Shah lagi. – KopiPlanet.com




