Erma Fatima Pilih Waktu Sesuai Dedah Naskhah Terbaru, ‘Jangan Panggil Aku Gus’ Angkat Kisah Benar
Penerbit popular, Erma Fatima menyatakan dia memilih waktu yang sesuai untuk mendedahkan mengenai naskhah terbaharu arahannya, Jangan Panggil Aku Gus.
Menerusi perkongsian di Instagram, Erma yang sudah sekian lama tidak duduk di kerusi sutradara memberitahu, dia mempunyai sebab tersendiri apabila memilih untuk mengarah naskhah yang mengangkat tentang kisah benar.
“Sebenarnya saya sudah lama tunggu waktu yang sesuai. Ada cerita yang tak boleh diceritakan terlalu awal. Ada luka yang tak boleh disentuh sebelum masanya.
“Mungkin sekarang dah tiba waktunya untuk saya zahirkan satu naskhah dari sebuah kisah benar,” katanya.
Erma berkata, naskhah berkenaan adalah cetusan idea sendiri dan tidak dihasilkan semata-mata untuk menghakimi mana-mana pihak.
Jelasnya, naskhah berkenaan menceritakan tentang sepotong nama yang boleh menjadi beban dalam hidup seseorang.
“Saya boleh sahaja memilih untuk menulis dan melihat orang lain mengarahkannya tetapi naskhah ini saya sendiri yang memilih untuk arahkan.
“Saya tidak menulis untuk menghukum atau membuka mata sebaliknya tentang bagaimana nama boleh menjadi beban,” ujarnya.
Namun begitu, Erma masih tidak memperincikan mengenai naskhah tersebut sama ada dihasilkan dalam bentuk drama mahu pun filem.
Sebelum ini, menerusi perkongsian di Instagram mencetuskan tanda tanya ramai selepas dia memuat naik foto berada di set penggambaran untuk sebuah projek yang difahamkan kerjasama Malaysia dan Indonesia.
Turut kelihatan dalam foto hantaran tersebut ialah Datin Seri Umie Aida, Vanidah Imran, Puteri Sarah, Anna Jobling dan bintang Indonesia, Lukman Sardi, Bima Samudra, Elina Joerg serta Valentino. – KopiPlanet.com



