
Ceddy Ang Dedah Idea Ciptaan Lagu ‘Asal Ada Kamu’ Bermula Dengan Tenungan Bersama Kucing
Bermula daripada ‘perang’ tenungan bersama kucing kesayangannya, pempengaruh yang kini aktif menyanyi, Ceddy Ang, mendapat inspirasi dan mencetus idea untuk lagu baharunya berjudul Asal Ada Kamu.
Ceddy, 37, menyifatkan momen itu terlalu unik namun berikan makna besar terhadap mesej yang disulam dalam lagu ini. Kedalaman maksudnya lebih terasa apabila mesej itu diperluas merangkumi emosi berat terhadap hal-hal terpenting dalam hidup kita.
Paling istimewa lagi, karya ini mendapat sentuhan dua komposer tersohor iaitu Bo Amir dan MimiFly atau Mimi yang mengangkat lagi darjat Asal Ada Kamu ke tahap tertinggi. Bukan setakat persona lagu, namun terjangkit kepada persona Ceddy dalam aspek artistiknya.
Idea Tercetus Menerusi Momen Unik
Berkongsi titik tolak idea itu, anak jati Pulau Pinang ini berkata kucingnya yang diberi nama Angel berbalas tenungan pada suatu hari. Tenungan itu membuatkan fikiran Ceddy melayang dan cetus rasa ingin tahu mengenai sebuah perhubungan yang mendalam.
“Saya mahukan perasaan itu menjadi sebuah perbualan. Lagu ini adalah dedikasi kepada setiap hal yang terpenting dalam hidup kita. Baik pasangan, sahabat baik, atau haiwan kesayangan yang setia di sisi kita walau dunia berputar macamana pun.
“Walaupun terdengar ringkas, frasa ‘Aku Ada Kamu’ itu sarat mesejnya untuk sesebuah hubungan. Ritma laungan itu pantas menyerap dalam jiwa dan bukan sekadar ‘hook’. Ia mengajak semua pendengar untuk merasakan getarnya,” katanya.
Asal Ada Kamu juga menjadi titik tolak sisi lebih berbeza Ceddy berbanding lagu pengenalannya Selangkah yang dilancarkan sebelum ini. Karya keduanya ini sarat elemen bertenaga, retro, dan serlahkan Ceddy yang riang.
Mudah Serasi Dengan Komposer Bo Amir dan MimiFly
Susunan bass bernuansa 80-an bersama tekstur pad ‘synthesizer’ yang lembut dan berkilau memberikan karakter nostalgik, kaya dengan kedalaman emosi pada keseluruhan komposisi. Sentuhan pop-synth moden Bo dan Mimi ini adalah gabungan unsur moden dan nostalgia.
Menyentuh mengenai proses rakamannya, Ceddy tidak menafikan memang timbul rasa gementar bekerjasama dengan dua nama handalan itu. Hakikatnya, pengalaman berkenaan sangat-sangat di luar jangkaannya juga.
“Apa yang menarik adalah mereka sangat kreatif dan liriknya siap dalam 20 minit. Magisnya pada hari rakaman, keserasian antara kami semua mudah terjalin dan terdapat beberapa klip Bo, Mimi, dan Joey menyanyi dalam muzik video.

“Lagu ini sangat-sangat istimewa kerana boleh menjadi lagu keramat buat pasangan bercinta, baik antara sesama manusia, manusia dan haiwan kesayangan, dan sebagainya. Saya dapat bereksperimen dengan jalur vokal yang berbeza mampu saya capai.
“Namun yang paling menyeronokkan sekali adalah kerana idea lagu ini sendiri iaitu membawa keriangan kepada semua orang. Selain itu, cara bekerja Bo dan Mimi benar-benar berikan saya kekaguman luar biasa,” katanya.
Muzik Video Diilhamkan Daripada Filem dan Karakter Ikonik Zaman Kanak-Kanak
Asal Ada Kamu dilancarkan secara rasmi hari ini di semua platform penstriman, manakala muzik video (MV) rasminya yang mendapat sentuhan pengarah Pyqul dilancarkan pada 21 April nanti menerusi YouTube.
Selain Pyqul, MV terbabit juga diperhebat lagi dengan sentuhan kreatif Nuffsaid iaitu Zulvanny dan Boojae. Keseluruhan ‘feel’ yang disuntik mendapat inspirasi gabungan filem dan karakter ikonik dari zaman kanak-kanak dulu.
Ceddy muncul sebagai karakter utama mengenakan persalinan gaya 1980-an daripada pereka fesyen tersohor, Melinda Looi yang turut menampilkan kucing terkenal, King Oyen dalam MV terbabit. – KopiPlanet.com



