Cerita ArtisHiburan

KIIYAS Muncul Karya Terbaharu ‘Niskala’, Kisah Cinta & Perjuangan Dalam Gelap Ketagihan Dadah

Kumpulan rock KIIYAS kembali dengan karya terbaharu mereka berjudul “Niskala (Diperdaya Psikedelik Cinta)”, sebuah single yang menyelami kisah cinta dan perjuangan dalam gelapnya ketagihan dadah sintetik. Lagu ini kini boleh didengarkan di Spotify, manakala video “Audio Rasmi” turut dilancarkan di YouTube rasmi KIIYAS. 

Mengangkat tema cinta yang diuji oleh ketagihan, “Niskala (Diperdaya Psikedelik Cinta)” menonjolkan sisi emosi dan kematangan KIIYAS dalam menggambarkan kecekalan seorang suami yang berjuang mempertahankan kasihnya terhadap isteri yang terperangkap dalam dunia ketagihan — sebuah realiti sosial yang sering disembunyikan di sebalik senyuman dan cinta.

“Kami mahu menyampaikan bahawa cinta bukan sekadar euforia, tetapi juga tentang pengorbanan dan kesetiaan walau dalam keadaan paling gelap,” jelas KIIYAS mengenai inspirasi di sebalik lagu tersebut.

Lagu ini diciptakan secara berkumpulan oleh KIIYAS, manakala lirik ditulis oleh Amir HS.
KIIYAS dianggotai oleh Abel (penyanyi), Yeus (bass gitar), Ijaz dan Amir HS (gitar), serta Nasrul (drum).

Ditubuhkan pada tahun 2016, namun mula aktif sepenuhnya pada 2021, KIIYAS membawa aliran rock yang digarap mengikut citarasa mereka sendiri. Dengan pelancaran “Niskala (Diperdaya Psikedelik Cinta)”, KIIYAS terus memperkukuh kedudukan mereka dalam dunia seni muzik rock tempatan.

Single ini bukan sekadar lagu cinta, tetapi juga cerminan realiti masyarakat dan perjuangan batin manusia yang terperangkap dalam dilema antara cinta dan kehancuran diri. Ia menjadi simbol harapan bahawa walau dalam kegelapan, kasih sejati tetap mampu memberi cahaya.

Perancangan Masa Hadapan: EP “Rantai”

Selepas pelancaran “Niskala (Diperdaya Psikedelik Cinta)”, KIIYAS kini dalam perancangan untuk memperkenalkan EP sulung mereka yang diberi judul “Rantai”, yang dijangka menghimpunkan beberapa karya baharu dengan tema perjuangan, nilai persahabatan, sindiran politik dan realiti kehidupan moden.

Lebih menarik, KIIYAS kini mendapat kerjasama edaran secara digital daripada Luncai Emas Sdn. Bhd., sebuah nama besar yang sinonim dengan kualiti dan pengalaman luas dalam industri muzik tempatan.

KIIYAS menzahirkan rasa teruja dan penghargaan terhadap kerjasama ini, dengan harapan Luncai Emas dapat membantu memperluaskan capaian muzik mereka kepada khalayak lebih besar, sekaligus membuka ruang baharu untuk band ini berkembang ke tahap yang lebih tinggi.

“Kami percaya pengalaman dan rangkaian luas yang dimiliki Luncai Emas akan menjadi pemangkin penting untuk muzik kami sampai ke lebih ramai pendengar, bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di luar negara,” ujar KIIYAS.

 “Niskala (Diperdaya Psikedelik Cinta)” kini boleh didengari di semua platform digital utama, termasuk Spotify, serta video “Audio Rasmi” di YouTube Rasmi KIIYAS. – KopiPlanet.com

Apakah reaksi anda?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button