
Video Azar Azmi Buat ‘Comeback’ Dalam Dunia Lakonan Raih Lebih Satu Juta Tontonan Di TikTok Kurang 24 Jam
Nama Azar Azmi kembali menjadi perhatian ramai apabila pelakon wanita itu akhirnya membuat kemunculan semula di kaca TV selepas tujuh tahun berehat daripada dunia lakonan.
Menerusi drama terbaru berjudul Bulan Henti Bicara terbitan Treputree Production, Azar bakal kembali menghiasi slot Megadrama Astro Ria bersama barisan pelakon hebat lain.
Apa yang mencuri perhatian netizen adalah sebuah video yang dikongsikan oleh Bambam Studios, memperlihatkan momen penuh emosi Azar ketika tiba di lokasi penggambaran.
Dalam video tersebut, Azar dilihat seolah-olah gementar untuk keluar daripada kenderaan sebelum dipujuk oleh pengurusnya.
Lebih menyentuh hati, pelakon itu dilihat mengalirkan air mata sebaik sahaja melangkah ke set selepas sekian lama meninggalkan dunia seni.

Lebih mengejutkan apabila video comeback Azar yang dimuat naik oleh Bambam Studios di platform TikTok berjaya meraih lebih 1 juta tontonan dalam tempoh kurang 24 jam selepas dimuat naik.
Dalam pada itu, ruangan komen terus dihujani pelbagai reaksi positif daripada peminat yang rata-ratanya meluahkan rasa rindu terhadap pelakon tersebut. Ada yang mengakui sebak melihat keadaan Azar, selain tidak sabar menantikan kemunculannya semula di televisyen.
Untuk rekod, Azar Azmi sebelum ini cukup dikenali menerusi lakonannya dalam drama-drama popular seperti Nur 2, Isteri Misteri, Red Velvet dan Suri Hati Mr Pilot.
Selain Azar, Bulan Henti Bicara turut dibarisi pelakon-pelakon hebat seperti Azhan Rani, Ezzanie Jasny, Ali Reza, Farah Ahmad dan Hushairi Husin. – KopiPlanet.com



