
Azmi Saat Saran Wajibkan Setiap Bangunan Ada Lif Dilengkapi Sistem Suara
Penyanyi popular Azmi Saat menyarankan agar setiap bangunan yang dibina perlu menyediakan lif yang dilengkapi sistem bersuara.
Dalam satu posting di akaun Facebook miliknya, Azmi manyatakan banyak kemudahan disediakan untuk golongan orang kurang upaya (OKU), namun ada segelintir bangunan tidak menyediakan kemudahan tersebut.
“Tidak boleh dinafikan Malaysia cukup baik dalam menyantuni golongan orang kurang upaya. Banyak kemudahan yang disediakan.
“Cuma, boleh tak kalau wajibkan setiap bangunan kalau nak buat lift mesti dilengkapi sistem bersuara. Lift di perumahan tempat saya tinggal tak ada suara,” luahnya.
Menurut vokalis kumpulan Caliph Buskers itu lagi, dia pernah menyuarakan perkara tersebut kepada pihak pengurusan di kediamannya.
Bagaimanapun, pihak pengurusan memaklumkan bahawa mereka tidak mampu menyediakannya kerana memerlukan kos yang sangat mahal.
“Masalahnya, saya ke rumah PPRT pun ada sistem suara yang sangat jelas. Okeylah, itu je luahan.
“Tapi memang berharap jugalah semua lift ada suara yang jelas. Kalau ada suara tapi macam berbisik waktu mengumpat bos tak mahulah,” ujarnya. – KopiPlanet.com




