Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) bakal menganjurkan Festival Ulang Tahun Bandar Raya Petaling Jaya Ke-20 bermula 16 hingga 21 Jun 2026 sebagai tanda penghargaan terhadap perjalanan dua dekad bandar raya ini sejak diisytiharkan sebagai bandar raya pada 20 Jun 2006.
Sambutan selama enam hari itu bakal menghimpunkan pelbagai program berteraskan pembelajaran sepanjang hayat, pendigitalan, kelestarian alam sekitar, pembangunan komuniti serta kebudayaan yang melibatkan penyertaan pelbagai lapisan masyarakat.
Datuk Bandar Petaling Jaya, YBhg. Dato’ Hj. Mohamad Zahri bin Hj. Samingon berkata, sambutan tersebut bukan sekadar mengimbau sejarah perkembangan Petaling Jaya, malah menjadi platform memperkukuh semangat kebersamaan dan memperbaharui komitmen ke arah masa depan bandar raya yang lebih mampan, bahagia, pintar dan berdaya tahan.
“Dua dekad ini menyaksikan transformasi Petaling Jaya hasil kerjasama erat antara pihak berkuasa tempatan, komuniti, sektor swasta dan pelbagai pemegang taruh.
“Sambutan ini merupakan penghargaan kepada semua pihak yang telah menyumbang kepada pembangunan bandar raya ini,” katanya ketika Majlis Prapelancaran Sambutan Ulang Tahun Bandar Raya Petaling Jaya Ke-20 dan Perhimpunan Warga Kerja MBPJ di Dewan Sivik MBPJ.
Beliau berkata, MBPJ akan terus memperkukuh penyampaian perkhidmatan, memperkasakan komuniti serta memanfaatkan teknologi dan inovasi bagi memastikan Petaling Jaya kekal sebagai bandar raya pilihan untuk didiami, bekerja, belajar dan beriadah.
Sepanjang 20 tahun lalu, Petaling Jaya berkembang sebagai antara bandar raya utama negara yang berperanan sebagai pusat ekonomi, pendidikan, kesihatan, inovasi dan perkhidmatan.
Dengan keluasan 97.2 kilometer persegi dan populasi 807,879 orang penduduk (Januari 2024), bandar raya ini terus menjadi antara pemacu utama pembangunan di Selangor dan Lembah Klang.
Selari dengan perkembangan tersebut, MBPJ melaksanakan pelbagai inisiatif yang memberi tumpuan kepada kesejahteraan rakyat, pembangunan mampan, transformasi digital, pengurusan alam sekitar, mobiliti bandar dan pengukuhan daya tahan komuniti.
Komitmen berterusan tersebut turut diterjemahkan melalui pelbagai pengiktirafan di peringkat nasional dan antarabangsa. Antaranya, Petaling Jaya merupakan bandar raya pertama di Malaysia yang diterima sebagai ahli UNESCO Global Network of Learning Cities (GNLC) serta diiktiraf sebagai Bandar Mesra Kanak-Kanak oleh Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF).
Pengiktirafan ini mencerminkan komitmen berterusan pihak berkuasa tempatan dalam memperkukuh budaya pembelajaran sepanjang hayat, pembangunan modal insan yang inklusif dan mampan, serta memastikan hak, kesejahteraan dan suara kanak-kanak sentiasa diberi keutamaan dalam pembangunan bandar raya.
Sebanyak 11 program utama serta 6 perkhidmatan percuma akan ditawarkan sepanjang sambutan ini. Antara tarikan utama sambutan ialah PJ Learning City Festival 2026 yang menampilkan pelbagai program berteraskan pembelajaran sepanjang hayat merangkumi forum pendidikan, literasi digital, pembangunan kemahiran, keselamatan siber, kecerdasan buatan (AI) dan sesi perkongsian ilmu.
Selain itu, PJ Digital 2026 akan mengetengahkan pameran teknologi dan inovasi ICT, pengalaman realiti maya (VR), aktiviti interaktif serta pertandingan e-sukan sebagai usaha memperkukuh literasi digital dalam kalangan masyarakat.
Aspek kelestarian turut diberi penekanan menerusi pelbagai program alam sekitar termasuk Hari Terbuka PJ Eco Recycling Plaza, program Trash to Cash, pengumpulan sisa elektrik dan elektronik (e-Waste), kutipan minyak masak terpakai, bengkel kitar semula serta inisiatif ekonomi kitaran.
Sambutan turut dimeriahkan dengan pelbagai program komuniti dan kebudayaan seperti festival makanan, persembahan seni budaya, persembahan buskers, aktiviti keluarga, program kesihatan, zon kanak-kanak, pertandingan LEGO Robotics dan aktiviti untuk warga emas.

Shook Lin menerusi Majlis Perasmian Sambutan Ulang Tahun Bandar Raya Petaling Jaya ke-20 yang bakal menghimpunkan pelbagai lapisan masyarakat melalui perarakan komuniti melibatkan sekolah, institusi pengajian tinggi, sektor kesihatan, industri perhotelan,
Kemuncak sambutan akan berlangsung pada 20 Jun 2026 di Laman MBPJ, Jalan Yong pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta agensi strategik.
Majlis tersebut turut diserikan dengan persembahan kebudayaan, persembahan artis jemputan dan pertunjukan bunga api sebagai simbolik dua dekad kecemerlangan Petaling Jaya sebagai sebuah bandar raya maju dan sejahtera.
Sebagai tanda penghargaan kepada warga kota, MBPJ turut menawarkan beberapa inisiatif khas sepanjang tempoh sambutan termasuk tempat letak kereta percuma, keahlian percuma Perpustakaan Komuniti Petaling Jaya serta agihan anak pokok, baja kompos organik dan abate kepada orang ramai.
Pada majlis prapelancaran hari ini, MBPJ turut melancarkan Anugerah Komuniti Mampan Petaling Jaya 2026 sebagai platform pengiktirafan kepada komuniti yang aktif melaksanakan amalan kelestarian dan pembangunan mampan di peringkat setempat.
Turut berlangsung penyampaian penghargaan Anugerah Persada Inovasi MBPJ 2026 kepada Kumpulan Kreatif dan Inovatif Majlis serta hadiah kepada pemenang Pertandingan Mereka Cipta Logo Sambutan Ulang Tahun Bandar Raya Petaling Jaya Ke-20.
Sebagai sebahagian daripada usaha promosi dan hebahan program, bahan promosi Sambutan Ulang Tahun Bandar Raya Petaling Jaya Ke-20 dan Anugerah Komuniti Mampan Petaling Jaya 2026 turut disampaikan kepada wakil jabatan, agensi serta rakan strategik yang hadir.
Orang ramai dijemput hadir memeriahkan sambutan yang berlangsung dari 16 hingga 21 Jun 2026 dan menyertai pelbagai aktiviti yang disediakan. Maklumat lanjut boleh diperoleh menerusi laman sesawang serta saluran media sosial rasmi MBPJ. – KopiPlanet.com



