EventHiburan

Barisan Ikon Nasyid Bakal Gegar Idealive KL Sempena Konsert ‘Malam Qolbu’

Dalam suasana dunia yang semakin mencabar dan penuh dengan hiburan tanpa batas, sebuah inisiatif istimewa bakal menghimpunkan masyarakat dalam satu malam yang sarat dengan kecintaan kepada Rasulullah SAW menerusi penganjuran Konsert Malam Qolbu, yang akan berlangsung pada 24 Ogos 2026 di Idealive Kuala Lumpur.

Bersempena sambutan Maulidur Rasul, penganjuran ini bukan sekadar sebuah persembahan muzik Islamik, tetapi satu amanah besar yang dipikul oleh penganjur dan para penggiat seni untuk mengajak masyarakat kembali mengingati junjungan besar Nabi Muhammad SAW, insan yang membawa cahaya Islam kepada seluruh umat manusia.

Menurut wakil penganjur, penganjuran Konsert Malam Qolbu lahir daripada rasa tanggungjawab dan kecintaan kepada Rasulullah SAW, yang dirasakan perlu diterjemahkan melalui platform yang dekat dengan masyarakat masa kini.

“Kami melihat penganjuran ini sebagai satu amanah yang sangat besar. Tanpa Rasulullah SAW, kita tidak akan mengenal Islam seperti hari ini. Maka menjadi satu kebanggaan buat kami apabila diberi peluang untuk menganjurkan sebuah majlis yang mengajak masyarakat berselawat, mengenang sirah Baginda dan menyemarakkan rasa cinta kepada Rasulullah SAW. Mungkin usaha ini kecil, tetapi jika ia mendapat keredaan Allah dan menjadi sebab kita memperoleh syafaat Rasulullah SAW, maka itu adalah sesuatu yang amat bernilai buat kami.”

Beliau turut menyeru agar masyarakat melihat kehadiran ke Konsert Malam Qolbu sebagai satu bentuk pelaburan untuk akhirat, selain menjadi ruang untuk mengisi jiwa dengan perkara yang membawa manfaat.

“Dalam kehidupan ini kita sentiasa melabur untuk dunia. Namun sesekali, marilah kita melabur untuk saham akhirat. Setiap selawat, setiap doa, setiap ilmu dan peringatan yang diperoleh pada malam tersebut mudah-mudahan menjadi amal yang berpanjangan dan memberi ganjaran yang berlipat ganda.”

Mengangkat konsep Islamik Nusantara Musik, Konsert Malam Qolbu akan menampilkan persembahan daripada OpickMawi, RabbaniUNIC dan The Rayhan, disusun dengan penceritaan yang menyentuh jiwa melalui Gimik Pembukaan Sirah & Cahaya, segmen Interlude Pantomim dan Visual Poetry serta penutupan penuh makna menerusi alunan Selawat Nabi yang menyatukan seluruh hadirin dalam semangat ukhuwah dan kecintaan kepada Rasulullah SAW.

Penganjur berharap Konsert Malam Qolbu dapat membuka lembaran baharu dalam penganjuran hiburan Islamik di Malaysia, sekali gus membuktikan bahawa program berteraskan dakwah, kerohanian dan kecintaan kepada Rasulullah SAW mampu mendapat tempat dalam kalangan masyarakat pelbagai lapisan usia, termasuk generasi muda.

“Di negara jiran seperti Indonesia, program dan konsert Islamik mampu mendapat sambutan luar biasa sehingga disiarkan secara langsung di televisyen dan mendapat rating yang tinggi. Kami percaya Malaysia juga mempunyai masyarakat yang dahagakan pengisian sebegini. Anak-anak muda hari ini bukan sahaja mampu menganjurkan acara hiburan, malah mampu menjadi penggerak kepada program yang membawa manfaat kepada ummah.”

Sebagai penganjuran sulung, Konsert Malam Qolbu diharapkan menjadi titik permulaan kepada lebih banyak inisiatif yang menghubungkan masyarakat dengan nilai-nilai Islam melalui pendekatan seni yang mendidik, menyentuh hati dan menguatkan kecintaan kepada Rasulullah SAW, demi memelihara iman serta menggalakkan penghayatan Islam dalam kehidupan seharian.

Konsert ini turut mendapat sokongan daripada ZAYAN sebagai radio rasmi, manakala Gempak dan Salam Musik sebagai rakan media digital. Royal Chulan The Curve pula tampil sebagai penaja hotel rasmi. Urusan penjualan tiket dikendalikan oleh Ticketmelon dan Fantopia, dengan harga tiket bermula dari RM250 hingga RM350. Harga tiket khas pelajar turut disediakan dan boleh didapati menerusi laman web Ticketmelon dan Fantopia.

Konsert Malam Qolbu merupakan hasil kolaborasi antara Duyufurrahman Travel & Tours Sdn Bhd dan Aftermusic Project, dengan kerjasama strategik daripada Laskar Entertainment. Gabungan ketiga-tiga pihak ini bertujuan merealisasikan sebuah penganjuran yang bukan sahaja menghiburkan, malah membawa mesej dakwah, kerohanian dan kecintaan kepada Rasulullah SAW kepada masyarakat.

Duyufurrahman juga diperkuatkan dengan barisan tenaga muda berpengalaman dalam bidang Haji dan Umrah, termasuk Mualim Muda Anas, juara Mualim Muda Musim Pertama, serta Mualim Muda Ashraf, finalis program tersebut  yang membawa pendekatan lebih dekat dan berjiwa pendakwah dalam setiap inisiatif syarikat. 

Untuk maklumat lanjut dan pembelian tiket, layari: https://www.ticketmelon.com/ dan https://www.fantopia.io/

Apakah reaksi anda?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button