Pertubuhan Teater Negeri Melaka (PERTEM) tampil mengangkat kisah cinta agung ke pentas menerusi pementasan teater muzikal “Qais & Laila”.
Ia sebuah karya seni persembahan yang menggabungkan elemen drama, muzik, puisi, komedi dan nilai kemanusiaan dalam satu pengalaman pementasan yang menyentuh emosi serta sarat dengan penghayatan jiwa.
Pementasan ini dianjurkan oleh PERTEM dengan sokongan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Negeri Melaka (JKKN Melaka) serta Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) dan dilaksanakan melalui kerjasama strategik bersama Tourism Melaka serta MCorp Corporate Services Sdn. Bhd. (MCS).
Turut bersama sebagai rakan strategik ialah Boolan Trending, Panggung Bangsawan Melaka dan World Youth Foundation.
Diangkat daripada kisah cinta agung yang cukup sinonim dalam khazanah sastera dan peradaban Islam, “Qais & Laila” membawa penonton menyelami perjalanan dua insan yang dihimpit rindu, pengorbanan, ujian dan pencarian makna cinta yang sebenar.
Namun lebih daripada sekadar kisah percintaan, pementasan ini turut menonjolkan perjalanan jiwa, ketabahan emosi dan penyucian hati yang menjadikan karya ini dekat dengan nilai kemanusiaan serta spiritual.
Melalui olahan yang lebih segar dan kontemporari, teater muzikal ini dirangka bagi memberikan pengalaman pementasan yang bukan sahaja menghiburkan, tetapi juga menyentuh perasaan dan meninggalkan kesan mendalam kepada penonton.
Kekuatan naratif klasik yang dipadankan dengan susunan muzik yang menyentuh emosi, visual pentas yang memukau, elemen komedi yang menghidupkan suasana serta mesej penghayatan jiwa menjadikan “Qais & Laila” sebuah karya yang berpotensi menarik perhatian pelbagai lapisan penonton.

Pementasan ini juga diyakini mampu menjadi antara pengisian seni yang signifikan dalam memperkukuh ekosistem teater tempatan serta menyumbang kepada pembangunan ekonomi kreatif dan pelancongan negeri.
Dengan sokongan pelbagai pihak, “Qais & Laila” diharap bukan sahaja menjadi sebuah karya seni yang berkualiti, malah berupaya memperluas apresiasi masyarakat terhadap seni persembahan tempatan dan membuka lebih banyak ruang kerjasama strategik pada masa hadapan.
Pementasan teater muzikal “Qais & Laila” dijadualkan berlangsung pada 25 Julai ini di Panggung Bangsawan Melaka sebagai pementasan eksklusif satu malam sahaja.
Konsep ini dipilih bagi memberikan nilai eksklusif kepada karya yang dipersembahkan, di samping menjadikan pengalaman menonton lebih istimewa dan dinanti-nantikan oleh penonton.
Pementasan ini akan menampilkan barisan pelakon yang dibarisi oleh Syahir Shafien dan Isyariana sebagai pelakon utama. Dibantu oleh Datuk Jalaludin Hassan, Rashid Din pelakon dari Singapura, Raja Ema dan Ashraf Muslim.
Orang ramai yang ingin menyaksikan pementasan ini boleh mendapatkan tiket melalui platform rasmi Ticket2U. – KopiPlanet.com



