
Selepas 10 Tahun Dalam Industri Muzik, Syamel Akhirnya Muncul Dengan Album Sulung ‘Pertama’
Selepas sedekad membina nama menerusi lagu-lagu bernuansa emosi, Syamel hari ini melancarkan album sulungnya, PERTAMA.
Mengandungi enam lagu, album ini menghimpunkan kisah tentang kehilangan, kerinduan, harapan dan keberanian untuk memulakan semula – sekali gus menandakan fasa baharu dalam perjalanan seninya.
“Selepas 10 tahun berada dalam industri, akhirnya saya dapat mempersembahkan album pertama saya. Saya tidak mahu menghasilkan album hanya kerana merasakan sudah tiba masanya.
“Saya mahu menunggu sehingga saya benar-benar mempunyai cerita, pengalaman dan keberanian untuk menghasilkan sebuah album yang terasa jujur kepada diri saya,” kata Syamel.
Judul PERTAMA membawa dua makna: ia adalah album pertama Syamel, dan pada masa sama melambangkan keberanian untuk bangkit selepas kegagalan, kehilangan atau kekecewaan.
Menurutnya, album ini juga merupakan tanda terima kasih kepada peminat yang terus menyokongnya sepanjang 10 tahun lalu.
Syamel menyusun PERTAMA seperti sebuah buku dengan enam bab. Setiap lagu mempunyai cerita, warna dan emosi tersendiri, namun keseluruhannya membentuk satu perjalanan yang lengkap apabila didengar mengikut susunan trek.
Bagi merealisasikan visi itu, Syamel bekerjasama dengan Edry Abdul Halim, Aizat Amdan, Mel Ramlan, Yusuff Khan dan Adam Armin.
Beliau juga terlibat dalam penulisan serta penciptaan Cukup Sekali, Dalam Kenangan dan Aku Bukan Dia bagi memastikan identiti album kekal dekat dengan dirinya.
“Saya mahu menghasilkan lagu yang orang akan kembali dengar walaupun bertahun-tahun kemudian. Lagu yang bukan sekadar mengikut trend, tetapi mempunyai nilai dan emosi yang kekal relevan,” ujarnya.
Walaupun sebahagian lagu diinspirasikan daripada pengalaman peribadi, album ini turut menyerap kisah dan emosi orang di sekelilingnya.
Bagi Syamel, perasaan seperti kehilangan, kerinduan, harapan dan kekecewaan bersifat universal – dan muzik memberi ruang kepada pendengar untuk mentafsir setiap lagu melalui pengalaman masing-masing.
“Kalau ada satu lagu dalam album ini yang mampu menemani seseorang ketika dia berada di saat paling sukar dalam hidup, itu sudah cukup bermakna buat saya. Itulah tujuan saya menghasilkan album ini,” katanya.
Album PERTAMA kini tersedia di semua platform penstriman digital. – KopiPlanet.com



