Hafiz Hamidun Tampil Dengan ‘Salawat The Beloved’, Himpunan Selawat Yang Diberi Nafas Segar
Penyanyi dan komposer, Hafiz Hamidun tampil dengan album terbaharu berjudul Salawat The Beloved.
Album terbitan Sony Music Malaysia itu sangat istimewa untuk Hafiz kerana ia menandakan 25 tahun perjalanannya dalam industri muzik.
“Selepas melalui pelbagai fasa dalam kerjaya, saya mahu menghasilkan sebuah karya yang kembali kepada sesuatu yang sangat dekat dengan jiwa saya iaitu selawat dan kecintaan kepada Rasulullah SAW,” kata Hafiz.
Mengulas lanjut, antara perkara yang paling disukai tentang album terbaharunya itu adalah bagaimana selawat-selawat yang biasa diamalkan oleh orang ramai diberi nafas baharu yang lebih segar.
“Selawat-selawat dalam album ini kebanyakannya yang sudah kita kenal dan amalkan sejak sekian lama. Ia diberikan nafas baharu menerusi susunan muzik yang lebih cinematic, kontemporari dan berskala besar, tetapi masih mengekalkan roh serta keindahan asalnya.
“Saya mahu orang mendengarnya bukan sebagai sebuah album, tetapi sebagai satu perjalanan spiritual dan emosi. Konsep muzik album ini adalah cinematic devotional music,” jelasnya.
Hafiz berkata, dia mahu mengekalkan melodi dan identiti selawat yang sudah dikenali, tetapi membawanya ke dalam soundscape yang lebih luas, dengan elemen orkestra, ambient, world music, percussion dan sentuhan kontemporari.
“Album ini menghimpunkan beberapa bentuk selawat dan karya pujian kepada Rasulullah SAW yang sudah dekat dengan masyarakat kita antaranya Ishfa’ Lana, Salawat Badriyah, Nuril Anwar, Salawat Syifa, Salawat Adnani, Salawat Jibril, Salawat Tafrijiyyah, Salawat Asyghill dan Ya Nabi Salam Alaik. Turut dimuatkan adalah Cinta Rasul.
“Walaupun setiap lagu mempunyai karakter muzik yang berbeza, benang merahnya tetap sama iaitu rasa cinta, kerinduan dan penghormatan kepada Rasulullah SAW,” katanya.
Secara keseluruhan, proses pembikinan album Salawat The Beloved mengambil masa lebih kurang setahun yang melibatkan pemilihan lagu, susunan (arrangement), rakaman, produksi muzik sehingga proses visual dan penggambaran.
“Saya memang mengambil masa kerana saya tidak mahu menghasilkan album selawat sekadar untuk memenuhi jadual penerbitan. Setiap lagu perlu mempunyai identiti dan mood tersendiri, tetapi apabila digabungkan, semuanya masih terasa seperti berada dalam satu dunia yang sama, dunia Salawat The Beloved,” katanya.
Lebih menarik, Hafiz memilih negara Uzbekistan sebagai antara lokasi utama penghasilan video muzik dalam album kali ini.
“Saya memilih Uzbekistan kerana negara itu mempunyai hubungan yang sangat kuat dengan sejarah dan tamadun Islam. Samarkand dan Bukhara khususnya merupakan antara pusat ilmu yang sangat penting dalam sejarah dunia Islam.
“Nama-nama besar seperti Imam al-Bukhari juga mempunyai hubungan warna, tekstur dan landskap yang sangat unik. Apabila kita melihat Registan di Samarkand, seni bina madrasah, kota lama Bukhara ataupun kawasan pergunungan, semuanya mempunyai karakter yang sangat kuat.
“Pada masa sama, dari sudut visual pula, Uzbekistan mempunyai seni bina, warna, tekstur dan landskap yang sangat unik.
“Jadi saya rasa ia sangat sesuai dengan konsep album ini. Kita membawa karya yang berakar daripada tradisi Islam, tetapi dipersembahkan melalui visual yang cinematic dan bersifat antarabangsa,” ujar Hafiz.
Kata Hafiz lagi, pihaknya menerima kerjasama dan sokongan yang sangat baik daripada Uzbekistan Tourism Committee sepanjang projek ini.
“Bagi saya, sokongan sebegini sangat penting kerana kami datang bukan sekadar sebagai pelancong, tetapi membawa satu produksi yang melibatkan beberapa lokasi dan beberapa buah video.
“Sepanjang berada di Uzbekistan, kami berjaya menjalankan penggambaran di Samarkand, Bukhara, Tashkent dan kawasan pergunungan, itu semua memberi pengalaman yang tersendiri dan luar biasa.
“Saya juga menghargai bagaimana mereka melihat muzik dan visual sebagai medium untuk memperkenalkan sejarah, budaya serta keindahan Uzbekistan kepada audiens yang lebih luas. Jadi, kolaborasi ini bukan sekadar tentang menghasilkan video muzik, tetapi juga menjadi bentuk pertukaran budaya antara Malaysia dan Uzbekistan,” jelasnya.
Difahamkan, selain ke Uzbekistan, Hafiz juga telah ke Istanbul di Turki dan Al-Ula di Arab Saudi untuk penggambaran video muzik Ishfa’ Lana dan Salawat Badriyah.
Di samping itu, Hafiz juga berpeluang menampilkan rekaan busana jenama fesyen dan gaya hidup Malaysia iaitu koleksi Teman oleh Siti Khadijah.
Katanya, harapannya adalah sederhana asalkan lagu-lagu selawat itu bermanfaat kepada semua pendengar.
“Harapan saya sebenarnya sederhana. Saya mahu album ini menjadi sebuah karya yang orang boleh dengar berkali-kali, bukan hanya ketika ia dilancarkan.
“Kalau lagu-lagu dalam album ini boleh menemani seseorang ketika memandu, berada di rumah, ketika mencari ketenangan, atau membuatkan seseorang kembali berselawat dan mengingati Rasulullah SAW, bagi saya itu sudah menjadi satu pencapaian yang sangat besar.
“Pada masa sama, saya berharap Salawat The Beloved boleh membawa muzik Islamik dari Malaysia kepada audiens yang lebih luas di peringkat antarabangsa.
Selepas 25 tahun dalam industri, saya melihat album ini bukan sekadar satu lagi album dalam katalog saya, tetapi sebagai sebuah karya yang merangkum perjalanan, kecintaan dan legasi yang saya mahu tinggalkan melalui muzik,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan Sony Music Malaysi merangkap Singapura, Vietnam & Projek Khas Asia Tenggara, Kenny Ong berkata, pihaknya turut berbangga menjadi sebahagian daripada bab penting Hafiz Hamidun yang memiliki 25 tahun pengalaman dalam industri muzik Malaysia.
“Salawat The Beloved merupakan sebuah projek yang sangat bermakna, bukan sahaja buat Hafiz, tetapi juga buat kami di Sony Music.
“Selepas 25 tahun dalam industri, Hafiz terus mencari pendekatan baharu untuk berkembang sambil kekal setia kepada muzik dan nilai-nilai yang dekat dengan dirinya.
“Apa yang menjadikan album ini istimewa ialah bagaimana beliau memberikan nafas baharu dan sentuhan kontemporari kepada selawat yang sudah begitu dikenali, tanpa menghilangkan esensi asalnya.
“Kami berharap album ini dapat mendekatkan hati para pendengar daripada pelbagai generasi, dan pada masa yang sama memperkenalkan muzik Islamik Malaysia kepada khalayak yang lebih luas di luar Malaysia.
“Kami berbangga dapat menjadi sebahagian daripada lembaran penting dalam perjalanan seni Hafiz dan berharap Salawat The Beloved akan menjadi sebuah album yang terus dihargai oleh para pendengar untuk tahun-tahun mendatang,” katanya.
Album Salawat The Beloved sudah dilancarkan bermula 21 Ogos 2026 dan boleh distrim serta muat turun di semua platform digital. – KopiPlanet.com
Senarai lagu Hafiz Hamidun (Album Salawat The Beloved):
1. Ishafa’ Lana
2. Salawat Badriyah
3. Cinta Rasul
4. Nuril Anwar
5. Salawat Syifa
6. Salawat Adnani
7. Salawat Jibril
8. Salawat Tafrijiyyah
9. Salawat Asyghil
10.Ya Nabi Salam Alaik



