
Selepas hampir 10 tahun menyepi daripada pengarahan filem, pengarah dan pengkarya tersohor Erma Fatima kembali ke layar perak menerusi Langit 2 Warna , sebuah filem cinta agung Malaysia–Indonesia yang menemukan aktor tersohor Indonesia, Reza Rahadian bersama pelakon berbakat besar Malaysia, Ummi Nazeera sebagai teraju utama.
Diterbitkan oleh Rumah Karya Citra (M) Sdn. Bhd. dan penerbit bersama Datin Seri Dr. Rosmariza Dato’ Haji Che Umar, Langit 2 Warna bukan sekadar kepulangan biasa dengan kembalinya Erma ke kerusi pengarahan. Naskhah yang ditulis dengan penuh rasa cinta tentang pengorbanan, prinsip dan pilihan ini berjaya meyakinkan beliau untuk kembali ke layar perak.
“Saya tidak mahu kembali hanya kerana ingin membuat sebuah filem. Saya mahu kembali apabila saya mempunyai sebuah cerita yang benar-benar membuat saya merasa bahawa cerita ini perlu dilahirkan. Dan apabila saya melihat barisan pelakon yang akhirnya bersetuju berdiri bersama dalam Langit 2 Warna, saya tahu perjalanan ini bukan lagi perjalanan saya seorang.”
Langit 2 Warna diperkenalkan secara rasmi kepada media dan industri menerusi acara eksklusif “LANGIT 2 WARNA – Cast Reveal” yang berlangsung hari ini di Sky Lounge, Level 46, West Wing, Wyndham Suites KLCC, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Majlis tersebut turut menyaksikan pengumuman barisan pelakon yang menghimpunkan nama-nama besar industri seni Malaysia dan Indonesia.
Menerajui filem ini ialah Reza Rahadian dan Ummi Nazeera, selain Christine Hakim, Eman Manan, Dato’ Ahmad Tamimi Siregar, Umie Aida, Dr. Rosdeen Suboh, Hazwani Helmi, Heliza Helmi, Zizi Kirana, Ismail Yaacob dan Sharifah Aryana.
Pertemuan barisan pelakon dua negara ini menjadi sebahagian daripada cita-cita Langit 2 Warna, bukan sahaja untuk menghasilkan sebuah karya berskala besar, tetapi mempertemukan pengalaman, jiwa dan disiplin seni daripada dua industri serumpun dalam satu naskhah.

SEBUAH FILEM CINTA AGUNG
Di sebalik skala besar produksinya, Langit 2 Warna berdiri atas sesuatu yang sangat dekat dengan manusia; cinta. Namun bagi Erma, cinta dalam filem ini bukan sebuah kisah romantis yang ringan.
Ia membawa cinta sebagai sebuah perjalanan tentang keyakinan, keluarga, prinsip, pengorbanan, kehilangan dan pilihan. Sebuah cinta yang tidak hanya bertanya tentang siapa yang akhirnya dimiliki, tetapi apa yang sanggup dilepaskan untuk mempertahankannya.
Dalam dunia yang semakin mudah terpisah kerana perbezaan, Langit 2 Warna membawa satu persoalan: Sejauh manakah manusia sanggup mempertahankan cinta apabila cinta itu sendiri menguji segala yang selama ini dipercayainya?
Atas dasar itu, produksi meletakkan Langit 2 Warna sebagai sebuah filem cinta agung; sebuah karya yang mahu mengembalikan pengalaman cinta di layar perak dengan skala, jiwa dan emosi yang kekal bersama penonton selepas meninggalkan panggung.
“Sudah lama saya teringin melihat sebuah filem cinta yang tidak malu untuk menjadi besar. Besar emosinya, besar dunianya, besar pengorbanannya. Langit 2 Warna adalah usaha saya untuk kembali percaya bahawa cinta masih mampu menjadi sebuah peristiwa besar di layar perak,” ujarnya yang juga bertindak sebagai penulis skrip dan penerbit.
Penggambaran dijadualkan berlangsung pada November dan Disember 2026 di beberapa buah negara termasuk Malaysia, Indonesia, Mesir dan Arab Saudi.
Setiap lokasi bukan sekadar menjadi latar visual, tetapi sebahagian daripada perjalanan spiritual dan emosi watak-wataknya.
Pertemuan budaya Malaysia dan Indonesia berlatarkan dunia Islam yang lebih luas menjadikan Langit 2 Warna sebuah produksi yang mahu berbicara kepada penonton serantau tanpa kehilangan akar identitinya. – KopiPlanet.com



