Cerita ArtisHiburan

Yatt Hamzah Bakal Kongsi Pengalaman Hijrah Menerusi Wanita Dambaan Syurga

Wanita tidak perlu menunggu dirinya sempurna untuk berubah dan kembali mendekatkan diri kepada Allah, sebaliknya setiap langkah kecil ke arah kebaikan perlu dihargai sebagai sebahagian daripada perjalanan menuju kehidupan yang lebih bermakna.

Pelakon dan pendakwah, Yatt Hamzah, berkata seseorang juga tidak seharusnya menganggap dirinya terlalu banyak dosa, terlalu jauh daripada Allah, terlalu tua atau sudah terlambat untuk melakukan perubahan.

“Jangan tunggu kita sempurna untuk berubah. Kalau hari ini kita baru mampu buat satu langkah kecil menuju Allah, buatlah.

“Jangan rasa terlalu banyak dosa, terlalu jauh, terlalu tua atau terlalu terlambat untuk kembali,” katanya ketika mengulas penglibatannya dalam program Bidadari Dambaan Syurga yang berlangsung pada 4 dan 5 September ini di Dewan Sultan Haji Ahmad Shah, Maran, Pahang.

Yatt berkata perjalanan hijrah setiap individu adalah berbeza dan tidak wajar dibandingkan dengan orang lain kerana ada yang mampu berubah dalam tempoh singkat, manakala sebahagian yang lain memerlukan masa bertahun-tahun.

“Yang penting, jangan berhenti berjalan. Saya selalu percaya, Allah bukan hanya melihat sejauh mana kita sudah sampai, tetapi Allah melihat usaha kita untuk kembali kepada-Nya.

“Kalau hari ini hati kita terdetik nak berubah, jangan abaikan rasa itu. Mungkin itu sebenarnya jemputan Allah,” katanya.

Beliau berkata menjadi wanita solehah juga tidak bermaksud seseorang wanita perlu mencapai kesempurnaan dalam setiap aspek kehidupan, sebaliknya wanita boleh kekal kuat, berilmu, bekerja, berniaga serta mengejar impian dan cita-cita, namun pada masa sama hatinya tetap tunduk kepada Allah,” katanya.

Mengulas pengisian yang bakal dibawakan, Yatt berkata beliau akan berkongsi mengenai perjalanan seorang wanita dalam mencari makna kehidupan, termasuk pengalaman melalui perubahan, jatuh bangun serta usaha menyusun semula keutamaan agar kehidupan dunia tidak mengatasi persediaan menuju akhirat.

“Saya juga mahu menyentuh tentang realiti kehidupan wanita. Kadang-kadang kita nampak seseorang itu baik, kuat dan tenang di luar, tetapi kita tidak tahu apa yang sedang dia perjuangkan di dalam hati.

“Sebab itu saya mahu perkongsian ini lebih kepada sebuah perjalanan bersama, bukan sekadar saya bercakap dan para peserta mendengar,” katanya.

Menurut Yatt, program berkenaan turut menjadi ruang untuk peserta bermuhasabah mengenai perkara yang dikejar dalam kehidupan, insan yang ingin dibahagiakan serta persoalan lebih besar mengenai destinasi akhir yang ingin dihuni.

“Kita akan sama-sama bermuhasabah tentang apa yang kita kejar, siapa yang kita mahu bahagiakan dan akhirnya, rumah mana yang kita mahu diami untuk selama-lamanya,” katanya.

Beliau berharap program yang membawa tema Bidadari Dambaan Syurga itu tidak sekadar menjadi medan untuk berbicara mengenai syurga, sebaliknya mampu mencetuskan semangat dalam diri peserta untuk melakukan perubahan selepas kembali ke kehidupan masing-masing.

“Mudah-mudahan kita bukan hanya bercakap tentang syurga, tetapi kita pulang dengan semangat untuk menjadi wanita yang sedang menuju ke sana.

“Kita mungkin belum menjadi bidadari yang sempurna, tetapi jangan berhenti berusaha menjadi wanita yang dirindui syurga,” katanya.

Program Bidadari Dambaan Syurga di bawah program apresiasi Pahang 1st itu turut menampilkan Ustazah Sharifah Khasif dan Ustazah Aqidah Mawardi sebagai panel, selain pengisian sampingan seperti Food Festival, bacaan Yasin dan cabutan bertuah selain kemunculan Zizi Kirana yang akan membuat persembahan khas.

Program dua hari itu bakal menjadi wadah pengisian rohani untuk kaum wanita memperkukuh ilmu, melakukan muhasabah dan membina semula hubungan dengan Allah, di samping menyuntik kesedaran bahawa perubahan tidak semestinya bermula dengan langkah yang besar, tetapi dengan kesediaan untuk bermula.

Apakah reaksi anda?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button