
Baru Sahaja Dilancarkan, ‘Jung Jung Inai’ Nyanyian Iman Troye & Asslahierah Catat 1.5 Juta Penstriman Digital
Penyanyi popular, Iman Troye, terus mencipta kejayaan apabila melancarkan video muzik terbaharunya berjudul “Jung Jung Inai” bersama penyanyi Asslahierah dalam satu majlis khas yang berlangsung di XO House Sdn. Bhd., Sungai Buloh.
Acara tersebut dihadiri peminat, wakil media dan tetamu jemputan yang hadir bagi meraikan satu lagi pencapaian penting dalam perjalanan seni penyanyi muda itu.
Menariknya, sebelum video muzik tersebut dilancarkan secara rasmi, lagu “Jung Jung Inai” telah terlebih dahulu mencatatkan lebih 1.5 juta penstriman digital, sekali gus membuktikan penerimaan yang sangat baik daripada pendengar serta pengguna media sosial.
Mengangkat keindahan warisan budaya Melayu, “Jung Jung Inai” menampilkan gabungan unik antara elemen muzik tradisional dan sentuhan bunyi kontemporari yang segar. Berteraskan melodi tradisional yang dekat dengan masyarakat, lagu ini turut membawa mesej penuh pengajaran tentang kepentingan menjaga adab, budi bahasa dan sentiasa berhati-hati dalam setiap tindakan.
Dengan rentak yang ceria dan mudah diingati, lagu tersebut berjaya memperkenalkan semula keunikan muzik tradisional kepada generasi muda dalam pendekatan yang lebih moden dan relevan.
Karya ini ditulis dan dicipta oleh Amirul Azhar, Amir Firdaus dan Iman Alyssa, manakala proses penerbitan dikendalikan oleh Adib Hamdi. Produksi muzik pula diterajui oleh Adib Hamdi bersama Amirul Azhar yang berjaya menghasilkan sebuah karya yang mengimbangi elemen tradisional dan komersial secara harmoni.
Kerjasama antara Iman Troye dan Asslahierah juga memberikan nafas baharu kepada melodi tradisional tersebut, sekali gus menjadikan “Jung Jung Inai” sebuah lagu yang mampu menarik perhatian peminat muzik daripada pelbagai lapisan usia.
Selain meraikan pelancaran video muzik berkenaan, majlis tersebut turut menyaksikan satu lagi detik bersejarah dalam kerjaya Iman Troye apabila beliau menerima pengiktirafan Diamond Artist daripada XO House.
Pengiktirafan itu diberikan selepas Iman berjaya menjana RM2.5 juta hasil pendapatan sepanjang tahun 2025, satu pencapaian yang membuktikan pengaruh serta nilai komersialnya sebagai seorang artis dan penghibur.
Sebagai artis pertama yang ditandatangani oleh XO House, perjalanan Iman bersama syarikat tersebut sering dianggap sebagai kisah kejayaan yang berkembang seiring dengan pertumbuhan label berkenaan. Dalam tempoh enam tahun berada dalam industri hiburan, Iman bukan sahaja berjaya membina nama menerusi karya muziknya, malah turut menjadi pilihan pelbagai jenama tempatan dan antarabangsa.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas XO House, Adib Hamdi, pencapaian yang diraih Iman merupakan sesuatu yang amat membanggakan buat syarikat itu.
“Iman mempunyai tempat yang sangat istimewa dalam XO House kerana dia merupakan artis pertama yang kami tandatangani ketika kami memulakan perjalanan ini.
“Melihat sejauh mana dia telah berkembang sepanjang enam tahun ini, daripada permulaan kerjayanya bersama kami sehingga mencapai RM2.5 juta hasil pendapatan pada tahun 2025, merupakan sesuatu yang sangat membanggakan bagi saya,” ujarnya.
Adib berkata, pihaknya telah melihat perkembangan Iman bukan sahaja sebagai seorang artis, tetapi juga sebagai penghibur dan bakat komersial yang kuat.
Ujarnya, pengiktirafan sebagai Diamond Artist ini mencerminkan segala usaha, konsistensi dan dedikasi yang telah diberikan olehnya.
“Sebagai artis pertama kami, pencapaian ini juga membawa makna yang besar kepada XO House, dan saya sangat bangga kerana kami dapat berkembang bersama sepanjang perjalanan ini.
“Dengan populariti yang terus meningkat serta keberanian meneroka ruang kreatif baharu, Iman Troye dilihat kekal sebagai antara nama paling menonjol dalam industri hiburan tempatan,” ujarnya.
Ternyata kehadiran “Jung Jung Inai” bukan sahaja memperkukuhkan portfolio muziknya, malah membuktikan bahawa elemen tradisional Melayu masih mampu mendapat tempat dalam arus muzik moden apabila dipersembahkan dengan pendekatan yang kreatif dan segar.
“Jung Jung Inai” kini boleh didengarkan di semua platform penstriman digital utama, manakala video muzik rasminya sudah boleh ditonton oleh para peminat. – KopiPlanet.com



