DOLLA bakal membawa muzik mereka ke pentas Eropah menerusi kerjasama bersama penyanyi rap Def Jam Thailand, Tobii, untuk DOLLA × Tobii Europe Showcase Tour 2026.
Jelajah ini menandakan siri showcase pertama kumpulan wanita Malaysia itu di Eropah yang meliputi tiga bandar dalam tempoh tiga malam.
DOLLA dijadualkan membuat persembahan di “The A Festival” di Paris pada 24 Oktober, “Bi Nuu” di Berlin pada 28 Oktober, dan “P60” di Amsterdam pada 29 Oktober, manakala satu lagi persinggahan berpotensi di Eropah turut dijangka diumumkan kelak.
Pencapaian ini meneruskan momentum DOLLA yang semakin berkembang di rantau Asia Tenggara, selepas penampilan mereka di showcase “Music Is Universal” yang berlangsung di Clarke Quay, Singapura pada 4 Oktober.
Acara tersebut turut menampilkan barisan artis serantau termasuk MARBLES dari Indonesia, VVV dari Thailand, XONARA dari Filipina dan Lyhan dari Vietnam.

Pada hari berikutnya, DOLLA turut membuat persembahan sebelum sesi fireside bersama Adam Granite, Ketua Pegawai Eksekutif Universal Music Group bagi Afrika, Timur Tengah dan Asia, bertajuk “Music Is Universal, A Look at the Region’s Most Exciting Musical Future”.
Dalam sesi tersebut, Adam Granite menyatakan bahawa pengurusan UMG menyokong lebih daripada 130 artis di seluruh rantau ini, sekali gus membuka lebih banyak peluang kepada bakat tempatan untuk membina khalayak di peringkat antarabangsa.
Seperti yang diketengahkan dalam liputan Music Business Worldwide, DOLLA mencerminkan aspirasi serantau tersebut.
Dengan penampilan yang semakin meluas di Asia Tenggara serta jelajah showcase pertama mereka di Eropah yang bakal berlangsung, DOLLA terus mencipta gelombang baharu dalam membawa muzik pop Malaysia ke khalayak antarabangsa. Nantikan pengumuman lanjut mengenai jelajah Eropah DOLLA. – KopiPlanet.com




