TIP Band, sebuah kumpulan baharu yang sedang meningkat naik dalam industri muzik tempatan, kini tampil mempertaruhkan single baharu ‘’Ratnaku’’ sebuah rakaman semula, karya malar segar ciptaan legenda seni tanah air Dato’ M.Nasir dan lirik oleh Nurbisa yang diberi nafas baru, terbitan Luncai Emas Sdn Bhd,
Versi baharu Ratnaku, nyanyian asal oleh Roy kini diserlahkan lagi dengan vokal vokalis utamanya, Dai Fuad, yang namanya kini semakin melonjak naik dan menjadi sebutan ramai dalam arena lakonan tempatan.
Vokalis kumpulan ini iaitu, Dai Fuad sebelum ini mencuri perhatian warganet, menerusi siri popular Good Boys To The Heaven menerusi watak Dr. Anwar Nahar yang dibawakan itu tular selain dikenali melalui watak PA dalam siri Astro Kudrat 1968: High Council yang kini sudah berada di pawagam.
Pengalaman dan keunikan karakter beliau turut memberikan warna tersendiri dalam menyampaikan penghayatan lagu ini. Menerusi gabungan bakat dan kreativiti setiap anggota, TIP Band tampil dengan interpretasi yang bertenaga, segar dan sarat dengan elemen Alternative Pop moden, tanpa mengetepikan keistimewaan serta magis asal lagu tersebut.
TIP Band dianggotai oleh anak-anak muda berbakat besar, Dai Fuad (vokalis), Muhammad Shahrizan (Gitar), Wan Nuo, Akram Fadli (Bass), Shanaris Rashid dan Katie (Keyboard).
Bagi pihak Luncai Emas Sdn. Bhd., sempena meraikan karya agung Dato’ M. Nasir menerusi konsert Magnum Opus: M. Nasir Dekad Ke-5 yang bakal berlangsung pada 5 Disember ini di Panggung Sari, Istana Budaya, inisiatif penerbitan semula lagu ini amat disambut baik.
Memandangkan peminat setia TIP Band majoritinya terdiri daripada kalangan anak muda generasi kini, kehadiran bunyian baharu yang lebih segar dalam versi rakaman semula ini diharapkan dapat diterima dengan hati terbuka oleh para pencinta muzik, sekaligus memberikan warna serta nafas baharu kepada sebuah karya yang begitu istimewa.

Projek penerbitan semula lagu ini mendapat sentuhan Adi Priyo, vokalis kumpulan Sixth Sense yang popular dengan lagu-lagu hits seperti Hari Ini Dan Semalam. Pengalaman dan rekod cemerlang Adi Priyo dalam menghasilkan karya-karya yang menyentuh jiwa menjadi tonggak penting dalam memberi nafas baharu kepada lagu Ratnaku.
Sebagai penerbit muzik bagi projek ini, Adi Priyo berkata: “Sebagai penerbit muzik, saya ingin membawa Ratnaku ke sebuah perjalanan muzik yang baharu tanpa menghilangkan jiwa dan keindahan asalnya.
Harapan saya agar sentuhan baharu ini bukan sekadar menghidupkan kembali sebuah lagu, tetapi turut mencipta kenangan, menyentuh perasaan dan menemukan tempatnya di hati pendengar, baik yang telah mengenalinya sejak dahulu mahupun generasi baharu.”
“Semoga TIP bersama lagu Ratnaku terus bersinar, merentas zaman dan menjadi sebuah seni yang kekal dekat di hati para pencinta muzik, dan juga semoga dengan sebuah lagu istimewa yang dinyanyikan oleh sebuah band yang istimewa sentiasa mendapat tempat di hati pencinta muzik.”
“Terima kasih kepada semua yang telah memberikan sokongan dan kepercayaan dalam menjayakan karya ini. Semoga perjalanan baharu Ratnaku menjadi permulaan kepada sesuatu yang lebih indah dalam dunia muzik kita.”
“Biar lagu berganti rupa, asalnya tetap bersemayam di jiwa; biar zaman silih berganti, Ratnaku moga kekal abadi.”
“Semoga lagu Ratnaku ini dapat sambutan seperti lagu Hari Ini Dan Semalam.” ujar penerbit iaitu Adi Priyo.
“Ini adalah satu penghormatan besar buat kami. Ratnaku bukan sekadar lagu, ia adalah sejarah. Kami cuba memberi nafas baru dengan cara TIP, lebih garang tapi tetap menghormati karya asal Dato’ M. Nasir,” ujar Dai Fuad mewakili rakan-rakannya.
Sebuah video klip ‘’Ratnaku’’ telah dibuat penggambarannya oleh Projek Niskalar . Idea asal oleh Adi Priyo dengan menampilkan jalan cerita yang menarik dan dilakonkan oleh Katie ( Keyboardist ) serta ahli kumpulan yang lain.
Pihak Luncai Emas menaruh harapan tinggi agar single Ratnaku versi baharu ini mendapat sambutan yang hangat serta diterima baik oleh seluruh pencinta muzik tanah air, di samping menemani para pendengar yang menghayati erti rindu dan kehilangan.
Lagu “Ratnaku” kini sudah boleh mula didengar di semua platform penstriman muzik digital, manakala muzik video rasminya boleh ditonton di saluran YouTube rasmi Luncai Emas. – KopiPlanet.com




