Di sebalik dirinya dikenali sebagai seorang pelakon yang hebat, ternyata Zul Huzaimy sebenarnya mempunyai bakat yang besar dalam penciptaan lagu.
Zul Huzaimy berkata, dia sememangnya sudah banyak mencipta pelbagai lagu, namun ia tidak diketahui khalayak terutama sekali dalam kalangan peminat.
“Kebanyakan lagu-lagu yang dihasilkan adalah untuk OST drama. Antara lagu saya yang cukup dikenali adalah ‘Merah’ yang juga merupakan OST Bunga Merah Punya.
“Kalau ikutkan, ada je yang tahu saya memang banyak cipta lagu. Seingat saya sehingga kini saya sudah menghasilkan kira-kira 30 buah lagu,” ujarnya.
Zul berkata demikian ketika ditemui semasa program ‘Pink Promise 2026 – Breast Cancer Awarness & Mental Wellness Initiative’ yang berlangsung pada Sabtu lalu.
Ujar Zul, biarpun sudah menghasilkan banyak lagu, namun dia tidak mendapat sebarang royalti ke atas lagu-lagu ciptaannya memandangkan dia tidak berdaftar dengan Music Authors Copyright Protection (MACP).
“Ketika itu saya memang tidak tahu cara untuk mendaftar memandangkan saya bukanlah orang muzik. Isteri pun ada bising-bising juga dan kini barulah saya daftar.
“Dulu mungkin saya terlalu memandang ringan tentang perkara ini dan tak tahu saluran yang betul sehinggalah saya sedar kepentingannya,” jelasnya.
Dalam pada itu, pelakon berkenaan juga memberitahu kini dia sudah mempunyai sebuah band muzik yang diberi nama Zul Huzaimy And The Velvet.
“Apa yang menarik tentang band ini, kesemua anggota yang terlibat adalah mereka yang aktif dalam pasukan pengakap. Cuma band kami ini hanya akan membuat persembahan pada acara-acara tertentu sahaja,” ujarnya. – KopiPlanet.com





