Nostalgia kegemilangan muzik tanah air bakal kembali mewarnai pentas hiburan menerusi Makan Malam Amal & Konsert Kisah Kau dan Aku, sebuah persembahan istimewa oleh kumpulan UNITY sebagai penghormatan kepada kumpulan legenda Alleycats, yang telah mencipta sejarah tersendiri dalam perkembangan industri muzik Malaysia.
Konsert yang dijadualkan berlangsung pada 26 Disember 2026 (Sabtu), jam 7.30 malam hingga 11.00 malam di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, Kuantan, Pahang, bakal membawa penonton menyusuri perjalanan nostalgia menerusi rangkaian lagu malar segar yang pernah menjadi siulan dan meninggalkan kenangan indah kepada peminat muzik pelbagai generasi.
Penganjuran oleh Talina Resources, dengan kerjasama rakan strategik Dzulhatta Resources Sdn Bhd dan MyVolunteers Foundation dan bukan sekadar meraikan khazanah muzik negara, malah turut mengetengahkan tanggungjawab sosial melalui inisiatif kebajikan bagi membantu penggiat seni tanah air.
Wakil penganjur, Salina Shahril berkata, acara ini begitu istimewa apabila UNITY bakal menghiburkan penonton dengan lagu-lagu yang pernah dipopularkan oleh Alleycats.
“Tidak dinafikan bahawa Alleycats merupakan antara kumpulan muzik yang paling berpengaruh dalam sejarah industri hiburan Malaysia.
“Keunikan persembahan, kekuatan melodi serta lagu-lagu yang merentasi sempadan generasi telah menjadikan kumpulan ini sebuah nama yang cukup dekat di hati masyarakat,” ujarnya.
Menurutnya, menerusi acara Kisah Kau dan Aku, kumpulan UNITY berhasrat menghidupkan kembali keindahan karya-karya tersebut melalui persembahan yang penuh penghayatan, sambil mengekalkan semangat dan nilai sentimental yang telah menjadikan lagu-lagu Alleycats terus diminati sehingga hari ini.
“Konsert ini turut menampilkan Dato’ Hattan sebagai artis undangan khas, sekali gus menambah lagi keistimewaan malam persembahan yang dijangka menghimpunkan peminat muzik nostalgia dari seluruh negara,” jelasnya.

Dalam pada itu, selain menghiburkan penonton, Salina berkata penganjuran ini turut membawa misi kemanusiaan dan kebajikan dengan memberikan perhatian kepada golongan penggiat seni yang memerlukan sokongan dan bantuan.
Jelasnya, sebahagian daripada pendapatan yang diperoleh menerusi penganjuran konsert ini akan disalurkan kepada penggiat seni yang memerlukan, sebagai tanda penghargaan dan keprihatinan terhadap mereka yang telah menyumbang kepada perkembangan industri muzik dan hiburan tanah air.
“Kira-kira 30 peratus daripada keseluruhan penjual tiket atau meja yang terjual akan disalurkan kepada golongan artis yang memerlukan.
“Setakat ini, kami sudah memilih enam artis tersebut seperti Ali XPDC, Fredo Flybaits, Dwan Olan, Zaiton Sameon, Amyza Aznan dan Sathiya,” ujarnya.
Ujarnya, inisiatif ini mencerminkan semangat solidariti dalam kalangan warga industri kreatif, di samping mengingatkan masyarakat tentang pentingnya menghargai jasa dan pengorbanan insan seni, khususnya mereka yang berdepan dengan cabaran kehidupan, kesihatan dan sosioekonomi.
Jelasnya lagi, melalui pendekatan ini, Kisah Kau dan Aku bukan sekadar sebuah persembahan hiburan, tetapi turut menjadi platform untuk menyemai nilai kemanusiaan, kebersamaan dan budaya saling membantu dalam kalangan masyarakat.
“Konsert ini dijangka menghimpunkan seramai 1,000 tetamu dalam sebuah acara makan malam amal yang menggabungkan persembahan muzik nostalgia, penghargaan terhadap legasi Alleycats dan semangat kebajikan,” ujarnya.
Bagi memberi peluang kepada lebih ramai peminat untuk menghadiri acara istimewa ini, penganjur menawarkan dua pilihan pembelian tiket:
• Meja untuk 8 orang: RM2,000
• Tiket individu: RM250 seorang
Penganjur turut mengalu-alukan penyertaan syarikat korporat, organisasi perniagaan serta individu yang ingin menyokong penganjuran ini melalui pembelian meja, tiket individu dan kerjasama penajaan.
Penganjur berharap agar konsert ini bukan sahaja menjadi sebuah malam yang penuh kenangan, tetapi turut mencetuskan kesedaran tentang kepentingan memelihara warisan muzik negara dan menghargai jasa penggiat seni.
Kisah Kau dan Aku bukan sekadar sebuah konsert nostalgia. Ia adalah penghormatan terhadap legasi muzik, sebuah pertemuan generasi dan manifestasi keprihatinan terhadap insan seni yang telah banyak menyumbang kepada industri hiburan tanah air.
Melalui gabungan muzik, nostalgia dan kebajikan, konsert ini diharapkan dapat meninggalkan kenangan bermakna kepada semua yang hadir. – KopiPlanet.com




