Cerita ArtisHiburan

“Jangan Bila Ada Masalah Baru Ingat Seniman” – Zed Zaidi

Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Zed Zaidi mengingatkan para selebriti agar jangan hanya tahu mencari Seniman sekiranya mereka ditimpa musibah atau kesusahan di kemudian hari.

Menurut Zed atau nama sebenarnya, Rozaidi Jamil, Seniman bukanlah sebuah badan kebajikan, sebaliknya mereka cuma persatuan yang menyediakan ruang bantuan bagi membantu mana-mana artis yang berhadapan dengan masalah.

“Sebelum ini ramai selebriti selalu kata yang Seniman tidak menjalankan tanggungjawab dalam membela golongan artis. Perlu diingatkan bukan semua masalah artis kita boleh selesaikan dan janganlah apabila sudah ditimpa musibah baru ingat persatuan.

“Saya kecewa juga sebenarnya apabila ada segelintir artis memang tidak pernah tunjuk muka pada acara yang diadakan oleh persatuan, tetapi dekat sosial media bukan main lancang kritik itu dan ini,” katanya kepada KopiPlanet.com ketika ditemui pada majlis pelancaran kenderaan khas Seniman di Finas, Ulu Klang hari ini.

Majlis itu telah dirasmikan oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr. Salleh Said Keruak.

“Sebagai contoh, majlis hari ini AJK dah hantar jemputan menerusi aplikasi WhatsApp dan mewar-warkannya di media sosial Seniman. Ada nampak artis yang muda-muda datang? Tiada kan… itu yang saya cakap, jangan bila hanya ditimpa masalah baru nak ingat pada Seniman.

“Seniman tidak boleh menyelesaikan masalah semua golongan artis. Kalau betul-betul ingin kami bantu, dekatkanlah diri dengan kami dan minta di saluran yang betul. Jangan apabila sudah kami tolong, kata kami tidak pernah pernah menghulurkan bantuan langsung,” luahnya lagi.

Sementera itu, menurut Zed, Seniman kini mempunyai satu unit kenderaan khas pelbagai guna yang mempunyai 15 tempat duduk penumpang. Kenderaan itu akan digunakan bagi membantu ahli-ahli yang sudah uzur untuk ke hospital.

“Selain daripada itu, van ini juga akan disewakan kepada mana-mana persatuan bagi mengumpul dana Seniman,” katanya.

Kenderaan berharga lebih RM120,000 itu menerima tajaan daripada persatuan Sekretariat dan The Chef.

Untuk makluman, setakat ini seramai 6,000 artis daripada pelbagai peringkat usia telah mendaftar sebagai ahli Seniman. – KopiPlanet.com

Apakah reaksi anda?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button