FesyenGaya Hidup

Aaron Aziz Lancar Koleksi ‘Street Wear’ Jenama Hombre 21, Tampilkan Lima Rekaan Yang Ada Nilai Tersendiri

Setelah berkecimpung selama 20 tahun dalam bidang lakonan, pelakon terkenal Datuk Aaron Aziz  berjaya meletakkan dirinya di kelas tersendiri.

Menariknya, sepanjang tempoh itu pelbagai kejayaan diraih bukan saja di Malaysia, tetapi juga di negara kelahirannya, Singapura serta terus kekal relevan sehingga sekarang.

Seiring kematangan usia dan kerjaya, Aaron, 45, terus mengorak langkah dengan terbabit dalam bidang perniagaan.

Melancarkan pelbagai produk di bawah jenamanya sendiri, siapa sangka Aaron juga sudah mampu berdiri sama tinggi dengan kebanyakan ahli perniagaan lain.

Masakan tidak, Aaron turut tersenarai sebagai penerima pada Malaysia Prestigious Industry Awards (MYPIA) yang berlangsung baru-baru ini. Penghargaan itu bukti Aaron bukan main-main dalam cabang perniagaan diceburi.

Terbaharu, Aaron muncul dengan koleksi pakaian ‘street wear’ menerusi jenama Hombre 21 yang mana ia satu lagi usaha ke arah membina empayar perniagaan dan mengukuhkan jenamanya dirinya.

Menurut Aaron, Hombre adalah perkataan yang diambil dari bahasa Sepanyol yang membawa maksud semangat persaudaraan atau ‘brotherhood’.

“Kalau ikutkan koleksi pakaian ini sudah dijual di Singapura. Selepas pemiliknya iaitu Azhar Sulaiman menjadi rakan perniagaan saya, itu yang ambil keputusan untuk pasarkan di sini pula. Saya mahu jenama Hombre ini menjadi pilihan masyarakat dan terkenal seperti kebanyakan jenama ‘street wear’ lain.

“Didatangkan dengan jaminan kualiti terbaik, saya yakin koleksi ini mampu memberi kepuasan kepada sesiapa saja yang memakai dan memilikinya. Dari segi harga pula, ia cukup berbaloi dengan rekaan dan kualiti yang ada iaitu RM100++,” katanya.

Ujar Aaron, koleksi Hombre 21 itu didatangkan dengan lima rekaan dengan setiap daripadanya menceritakan kisah dan perjalanan hidup Aaron dari dulu sehingga sekarang.

Menurutnya, dia cuba menggambarkan bagaimana kehidupan silamnya ketika di zaman remaja yang dianggap sebagai zaman jahiliah sebelum menemui titik cahaya yang akhirnya menyinari hidupnya sehingga kini bersama isteri dan tiga anak tercinta.

“Setiap manusia ada masa silam dan gemilang. Ada yang untuk kebaikan, ada juga sebaliknya. Untuk saya, apa boleh dikatakan adalah masa silam yang penuh keperitan atau boleh dikatakan zaman jahiliah. Malah, saya akui pernah beberapa kali melampaui batas dan akhirnya mendapat balasan.

“Pelbagai cabaran dan dugaan perlu dilalui sebelum saya berjaya keluar dari kegelapan itu. Namun, itu semua yang mendewasakan dan mematangkan diri. Walaupun ada ketika dipandang hina, tapi saya percaya keadaan kita tak selamanya di bawah jika ada rasa ingin berubah.

“Jadi, kesemua koleksi ini sangat istimewa dan mempunyai nilai tersendiri. Saya mahu setiap orang memilikinya dan menjadikan ia koleksi peribadi. Mungkin ada antara mereka juga mempunyai cerita sama seperti saya,” katanya.

Bukan sahaja bersifat ‘street wear’, koleksi Hombre 21 ini juga memiliki rekaan Islamik sekali gus menjadikan ia berbeza daripada rekaan jenama lain.

“Macam saya katakan, setiap koleksi mempunyai cerita tersendiri. Malah, dalam rekaan juga ada ciri khas yang bukan saja memberi keselesaan tapi juga sedap mata memandang. Kesemua koleksi Hombre 21 boleh didapati di laman web www.hombre21.store ,” katanya.

Mengenai kerjaya seni, Aaron meluahkan rasa syukur apabila masih dihujani tawaran berlakon drama dengan memegang watak utama hero, walaupun ramai bakat muda dan baharu muncul bagai cendawan tumbuh selepas hujan.

Terbaharu, Aaron terbabit dalam drama Imam Ku Lelaki Pendosa terbitan Global Station Sdn Bhd dan bakal ditayangkan di Slot Akasia, TV3.

“Alhamdulillah, terima kasih kepada penerbit dan stesen TV yang masih memberi kepercayaan kepada saya. Diakui, drama ini antara karya yang memberi cabaran baharu buat saya dari segi karakter. 

“Malah, dapat berlakon dengan pelakon baharu iaitu Sophia AlBarakbah turut memberi pengalaman baharu kepada saya di samping pelakon ternama sedia ada. Saya tidak mahu terlalu meletakkan harapan tinggi pada drama ini, tapi apa boleh dikatakan Insya-Allah, karya ini memang lain dari yang lain,” katanya.

Selain Aaron, drama arahan Eyra Rahman itu turut menampilkan Shima Anuar, Fauzi Nawawi, Gambit Saifullah, Aleza Shadan, Maria Farida, Edika Yusof, Hafeez Mikail, Anne Abdullah, Ungku Hariz, Kael, Annie Mosha, Faez Malek, Fiza Thomas, Ieda Moin, Betty Banafee dan Auni Zahra.

Dalam masa sama, Aaron juga terbabit dalam penggambaran drama Undercover terbitan Skop Production juga untuk tayangan TV3. – KopiPlanet.com

Apakah reaksi anda?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button