Cerita ArtisHiburan

Afif Tirmizie Tampil Dengan Maaf, Kisah Sang Pendosa Mohon Seribu Keampunan

Dilihat semakin rancak dalam merencana karier seninya, penyanyi Afif Tirmizie kini tampil dengan single terbaharu berjudul Maaf yang turut dijadikan OST atau runut bunyi drama Perempuan Tanpa Dosa arahan sutradara tersohor Michael Ang.

Selari dengan plot cerita drama berkenaan, begitulah corak penyampaian Afif dalam lagu Maaf yang sememangnya menyentuh mengenai kemaafan. Berbekalkan lirik penuh emosi, mesej yang ingin disampaikan adalah setiap manusia pasti melakukan kesilapan.

“Cerita dalam Maaf berkenaan situasi tengah bersalah, tengah berdosa, tak kisah kepada siapa, kepada kekasih, isteri, ibu bapa, atau orang tersayang. Namun daripada perspektif saya, si lelaki meminta maaf kepada kekasihnya disebabkan sudah berulang kali melakukan silap.

“Mesej yang ingin saya sampaikan adalah sesetengah orang sukar untuk mengucap kata maaf meskipun memang tahu dirinya bersalah. Tapi dalam apa jua keadaan, sebaiknya mohonlah kemaafan itu untuk berbaik. Setiap manusia melakukan kesilapan tapi minta-maaflah bagi menjernihkan sesuatu perhubungan,” ujar Afif mengenai single baharunya itu.

Menyentuh proses pembikinannya, Afif mengakui kekangan terbesar adalah daripada segi masa selepas produksi drama terbabit menghubunginya untuk lagu itu.

Bagaimanapun, ujarnya dia bersyukur hasil akhirnya dapat disiapkan pada tahap sangat memuaskan, malah dia sanggup bersengkang mata demi menyiapkan Maaf.

“Lirik dan lagu saya hasilkan sendiri. Idea dan inspirasinya tercetus selepas saya melihat satu kejadian depan mata yang tular. Proses menghasilkannya tidaklah lama sangat nak siapkan lagu ini sekejap saja. Pelakon Kamal Adli bertanya ada tak lagu yang boleh diguna pakai untuk drama Perempuan Tanpa Dosa, kemudian saya siapkannya dalam masa lima hari.

“Bahagian paling susah tentu sekali masa yang diberikan kepada saya amat singkat. Alhamdulillah, urusannya dipermudahkan dengan bantuan pasukan saya, Payung dan Pedang. Kami bertungkus lumus untuk siapkannya dari petang sampai ke pagi di studio. Selepas hantar demo, risau juga kalau tidak menepati permintaan mereka namun mujur mereka suka,” katanya.

Mempertaruhkan melodi mendayu dan sarat emosi, Afif mengakui dia bersyukur sudah mempersiapkan diri mencurahkan sepenuh tenaga dalam melunaskan lagu ini. Baginya, dia memiliki kelebihan dari sudut itu memandangkan lagu ini hasil tangannya sendiri. Justeru, dia amat berharap nyanyiannya mampu meruntun jiwa ramai.

“Untuk saya salurkan emosi dalam lagu ini, saya rasa tak berapa susah kerana ia hasil ciptaan sendiri. Saya sudah dapat gambarkan ceritanya dan apabila saya nyanyi, penghayatan saya sampai seperti apa yang dibayangkan. Banyak perkara yang saya boleh kaitkan sewaktu menyanyikannya dan berharap pendengar akan terkesan dengan mesej disampaikan,” katanya.

Afif mula mencipta nama selepas menyertai program realiti, Akademi Fantasia (AF) musim kesembilan, selain pernah menyertai Mystarz LG di TV3 aktif dalam penulisan lagu selain sebagai penyanyi.

Dia juga pernah menganggotai kumpulan The Fabulous Cats dan Nukilan. Terdahulu, guru vokal ini juga pernah tampil dengan lagu Sendiri bersama Kmy Kmo.

Lagu Maaf boleh dinikmati menerusi semua platform penstriman muzik terpilih antaranya Apple Music, Deezer, JOOX, KKBox, Spotify, Youtube & Youtube Sony Music. – Kopiplanet.com

Apakah reaksi anda?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button