Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) dengan bangganya mengumumkan penganjuran Anugerah Industri Muzik ke-25 (AIM25), iaitu anugerah muzik paling berprestij dan lama bertahan di Malaysia, yang terkenal atas pengiktirafan kecemerlangan seni dan pemantapan standard industri sejak 1993.
Meraikan Jubli Peraknya, AIM25 akan berlangsung pada 26 September 2026 di Borneo Convention Centre Kuching (BCCK), menandakan julung kalinya majlis anugerah ini diadakan di Sarawak.
Majlis ini disokong penuh oleh Kementerian Komunikasi menerusi Geran Digital Content Fund melalui MyCreative Ventures, Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Persembahan Sarawak (MTCP) menerusi Geran Acara Pelancongan, manakala TVS bertindak sebagai Penyiar Rasmi dan Rakan Kongsi Penganjur AIM25.
Sempena edisi Jubli Perak ini, AIM25 terus berkembang seiring dengan landskap muzik Malaysia yang dinamik dan pelbagai dengan pengenalan dua kategori anugerah baharu yang mencerminkan identiti budaya negara yang kaya serta evolusi ekspresi muzik.
Lagu Borneo Terbaik
Mengiktiraf karya muzik cemerlang yang meraikan kekayaan budaya, bahasa, tradisi dan identiti unik Sabah dan Sarawak. Kategori ini menghormati lagu-lagu yang mencerminkan semangat, warisan dan ekspresi kreatif kontemporari masyarakat pelbagai kaum di Borneo.
Lagu Perayaan Terbaik
Menghormati karya muzik yang menangkap kegembiraan, nilai dan tradisi perayaan-perayaan di Malaysia. Kategori ini meraikan lagu-lagu yang telah menjadi sebahagian penting dalam perayaan berbilang kaum negara sambil mempromosikan perpaduan dan kesepaduan antara masyarakat.
Pengenalan kategori-kategori ini mencerminkan komitmen berterusan AIM untuk mengiktiraf kepelbagaian industri muzik Malaysia sambil meraikan identiti budaya unik dan tradisi muzik yang membentuk landskap kreatif negara.
Selain memperkenalkan kategori anugerah baharu, AIM25 turut menandakan edisi paling signifikan setakat ini menerusi sokongan kerajaan yang dipertingkatkan dan kerjasama strategik yang menegaskan kembali kepentingan industri muzik Malaysia sebagai penyumbang utama kepada ekonomi kreatif negara.
Kementerian Komunikasi Perkukuh Sokongan untuk AIM25 dengan Dana Pengiktirafan di bawah Dana Kandungan Kreatif (DKK) Sebanyak RM950,000
Bagi memperkukuh pembangunan industri muzik tempatan, Kementerian Komunikasi menerusi Dana Kandungan Kreatif yang diuruskan oleh MyCreative Ventures Sdn. Bhd. (MyCreative Ventures) telah meningkatkan peruntukan DKK untuk AIM25 sebanyak RM250,000, menjadikan jumlah keseluruhan kepada RM950,000, berbanding RM700,000 yang diperuntukkan bagi AIM24.
Daripada jumlah tersebut, pemenang bagi 15 kategori anugerah akan menerima geran DKK berjumlah RM50,000 setiap satu, iaitu Lagu Terbaik, Artis Baharu Terbaik, Lagu Nasyid Terbaik, Lagu Etnik Terbaik, Lagu Tradisional Terbaik, Lagu Perpaduan Terbaik, Lagu Inggeris Tempatan Terbaik, Lagu Cina Tempatan Terbaik, Lagu India Tempatan Terbaik, Video Muzik Terbaik, Lagu Electronic Pop/Dance Terbaik, Lagu Rock Terbaik, Lagu Hip Hop Terbaik, Lagu Pop Terbaik dan Lagu Runut Bunyi (OST) Terbaik dalam Filem/Drama.
Sementara itu, pemenang bagi kategori Album Terbaik akan menerima geran DKK berjumlah RM200,000.
DKK merupakan antara inisiatif kerajaan dalam membantu dan menggalakkan pengamal industri kreatif dalam penghasilan, penerbitan dan penyebaran kandungan kreatif yang berdaya cipta tinggi serta berupaya dipasarkan di pasaran tempatan dan antarabangsa.
Inisiatif ini sekaligus menunjukkan kesungguhan dan komitmen kerajaan melalui Kementerian Komunikasi dalam memupuk pertumbuhan industri kreatif termasuk industri muzik yang berpotensi besar sebagai salah satu tonggak utama pertumbuhan ekonomi jingga.
Peningkatan peruntukan ini mencerminkan komitmen kerajaan dalam mengiktiraf kecemerlangan seni, menggalakkan kreativiti dan inovasi, serta memperkasa industri kreatif sebagai penyumbang penting kepada pembangunan ekonomi negara.
Pada masa yang sama, ia merupakan pengiktirafan terhadap sumbangan besar para penggiat industri muzik dalam memperkaya khazanah seni dan budaya negara.
MTCP Sarawak Sokong AIM25 dengan Geran RM1 Juta
AIM25 turut disokong oleh geran RM1 juta daripada Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Persembahan Sarawak (MTCP), yang menegaskan komitmen Sarawak dalam memperkukuh industri kreatif Malaysia serta memposisikan negeri ini sebagai destinasi utama seni, budaya dan hiburan.
Kerjasama ini turut menandakan detik penting apabila AIM meraikan edisi Jubli Peraknya di Kuching, Sarawak buat julung kalinya, mencerminkan visi bersama antara RIM dan MTCP Sarawak untuk mengangkat industri muzik Malaysia sambil mempamerkan Sarawak sebagai hab yang dinamik bagi acara kreatif dan budaya berskala besar.
“AIM25 amat bermakna kerana kita meraikan Jubli Perak anugerah muzik paling berprestij di Malaysia. Sepanjang 24 edisi yang lalu, AIM terus mengiktiraf dan menghormati bakat, kreativiti serta dedikasi cemerlang para penggiat muzik kita, sambil turut berevolusi seiring dengan landskap industri muzik Malaysia yang sentiasa berubah.
“Kami merakamkan setinggi-tinggi ucapan terima kasih kepada Kementerian Komunikasi atas sokongan berterusan terhadap AIM menerusi Digital Content Fund bernilai RM950,000, kepada Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Persembahan Sarawak (MTCP) atas geran pelancongannya, serta kepada TVS kerana bekerjasama dengan kami sebagai Penyiar Rasmi dan Rakan Kongsi Penganjur AIM25 serta kepada CATS FM selaku Rakan Radio Rasmi AIM25.
Bersama-sama, kerjasama ini akan membantu kami menyampaikan satu sambutan yang benar-benar tidak dapat dilupakan bagi kecemerlangan muzik Malaysia serta memberi inspirasi kepada pertumbuhan berterusan industri muzik kita,” kata Rosmin Hashim, Pengerusi RIM & AIM. – KopiPlanet.com



