Cerita ArtisHiburan

Album ‘RE:START’ Tanda Kebangkitan Semula & Fasa Baharu Sakura Band

Selepas melalui tempoh rehat yang agak panjang, kumpulan muzik tempatan, Sakura Band, kini kembali mewarnai industri muzik tanah air menerusi pelancaran album terbaharu mereka berjudul ‘RE:START’ yang menandakan satu titik kebangkitan semula buat kumpulan ini.

Album ini dilancarkan menerusi persembahan istimewa kumpulan ini dalam sidang media yang dianjurkan di Hard Rock Café, Kuala Lumpur pada 17 April, 2026.

Menurut Mell atau nama sebenarnya Melly Matius yang mewakili Sakura Band, pemilihan judul ‘RE:START’ bukan sekadar simbolik, malah mencerminkan fasa baharu yang dilalui oleh kumpulan itu. 

“Konsep kali ini memang lebih kepada kemunculan semula Sakura Band selepas lama kami berehat. Sebab itu kami pilih nama RE:START. Dari segi muzik, memang ada perubahan sedikit.

“Kali ini, kami lebih ke arah pop rock tetapi dalam masa yang sama kami masih kekalkan identiti Sakura Band itu sendiri,” katanya.

Album ini dibuka dengan trek pengenalan berjudul “RE:START” yang berfungsi sebagai pembuka jalan kepada keseluruhan naratif album. Mell menjelaskan bahawa setiap lagu dalam album ini membawa cerita tersendiri yang dekat dengan pengalaman peribadi mereka. 

“Kebanyakan lagu datang daripada apa yang kami sendiri lalui seperti perkara-perkara dalam hidup kami. Jadi semua ini sangat dekat dengan kami,” katanya.

Sebagai strategi memperkenalkan semula identiti muzik mereka kepada peminat lama, Sakura Band memilih sebuah lagu berunsur pop sebagai single pertama iaitu “Masih”.

“Kami fikir dari segi strategi juga, nak bagi peminat lama rasa ‘ini Sakura Band yang mereka kenal’. Lagu ini ada elemen pop yang kuat dan vibe dia hampir dengan lagu Melepaskanmu. Ia jadi seperti ‘bridge’ untuk bawa pendengar kembali kepada muzik kami,” ujar Mell.

Dari segi produksi, album ini turut menyaksikan kolaborasi bersama nama-nama berpengalaman dalam industri. Sakura Band kembali bekerjasama dengan penyanyi/penulis lagu, Adi 6ixth Sense di samping menjalin kerjasama pertama dengan penerbit Laq, gitaris kumpulan Akim & The Majistret. 

“Proses rakaman untuk lagu “Masih” dan “Bulan & Bintang” yang melibatkan Adi dan Laq berjalan dengan sangat lancar. Mereka jelas dengan hala tuju lagu dan kami pula bebas berkongsi idea. Ia jadi satu proses kolaboratif yang sangat positif,” tambahnya.

Keunikan ‘RE:START’ turut terletak pada pendekatan penulisan lagu yang bersifat autentik dan dekat dengan realiti kehidupan. 

“Kami banyak ambil inspirasi daripada apa yang berlaku di sekeliling, apa yang kami rasa, lalui atau lihat. Dengan cara itu, kami harap pendengar boleh lebih mudah ‘relate’ dengan lagu-lagu ini,” katanya.

Dari segi bunyi dan susunan muzik, album ini menampilkan evolusi yang lebih matang dengan penerokaan genre pop rock. 

“Sebelum ini, kami lebih kepada pop tetapi kali ini sound lebih ‘berat’ dan ada elemen eksperimen. Tambahan pula, ini kali pertama kami menghasilkan album dan juga produce sendiri, jadi kami ambil peluang ini untuk explore dengan lebih bebas sambil tetap menjaga identiti Sakura Band,” jelasnya lagi.

Namun begitu, perjalanan menghasilkan album ini tidak terlepas daripada cabaran, khususnya dalam mencari konsep dan mengekalkan konsistensi sepanjang proses produksi yang bermula sejak Januari 2025. 

“Cabaran terbesar adalah mencari idea dan konsep yang benar-benar segar. Selain itu, untuk kekalkan momentum juga agak mencabar kerana masing-masing ada komitmen sendiri. Tetapi, Alhamdulillah, kami berjaya hasilkan sesuatu yang kami sangat puas hati dan banyak belajar sepanjang proses ini,” katanya.

Sakura Band berharap album ‘RE:START’ mampu diterima baik oleh peminat serta pendengar muzik tempatan secara keseluruhan. 

“Kami harap album ini dapat mengukuhkan lagi nama Sakura Band dalam industri. Terima kasih juga kepada Seventeen Eleven Music kerana memberi peluang dan kepercayaan kepada kami. Semoga kesemua trek dalam album ini dapat diterima dan menjadi titik permulaan untuk lebih banyak karya serta kolaborasi pada masa akan datang,” katanya.

Senarai lagu-lagu di dalam album ‘RE:START’ adalah seperti berikut: 

  1. RE:START
  2. 1,2,3 GO!
  3. Impian
  4. Sahabat Sejati
  5. Manusia Biasa
  6. Tikam Belakang
  7. Masih
  8. Bulan & Bintang

Album ‘RE-START’ terbitan Seventeen Eleven Music boleh mula distrim di pelantar penstriman muzik digital utama pada 17 April ’26 dan muzik video rasmi “Masih” boleh mula ditonton di saluran YouTube ‘Seventeen Eleven Music’. – KopiPlanet.com

Apakah reaksi anda?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button