• FOLLOW US
Cerita Artis, Hiburan

Aliff Syukri Nasihatkan Artis Supaya Menyimpan Untuk Kecemasan

Usahawan terkenal, Datuk Seri Aliff Syukri menasihatkan golongan artis agar menyimpan dan menabung demi kelangsungan hidup pada masa akan datang, terutamanya untuk kegunaan kecemasan.

Aliff berkata, apa yang diperkatakannya ini adalah melalui pengalamannya apabila pernah dijauhi saudara-mara sendiri ketika berada dalam keadaan susah suatu ketika dahulu.

“Kalau boleh saya nak nasihatkan golongan selebriti, ketika nama memuncak naik simpanlah duit secukupnya. Kadang-kadang jangka hayat seseorang artis itu dalam industri tidak bertahan lama. Tahun ini nama dia naik, esok lusa mungkin nama dia dah dilupakan.

“Bila kita dah susah, memang orang tak pandang. Saya pun sentiasa ingatkan diri saya agar sentiasa simpan duit. Bila kita ada nama orang baharu nak dekat dengan kita, kalau kita susah banyak yang menghilang,” katanya ketika ditemui pada majlis aqiqah dan kesyukuran anak kelimanya, Raudhah Ashiyah yang berlangsung di kediamannya di Kota Damansara, baru-baru ini.

Mengambil inisiatif membantu golongan yang memerlukan, Aliff tampil dengan projek Terlajak Kasih di mana dia akan membantu golongan asnaf termasuk daripada kalangan selebriti yang susah dengan menyumbang sebanyak RM300,000 hingga RM500,000 setiap tahun.

“Projek ini baharu sahaja saya lancarkan setelah mengadakan perbincangan dengan Lembaga Zakat Selangor yang menggalakkan kami memberikan agihan terus kepada golongan asnaf. Terlajak Kasih ini juga akan membantu selebriti yang memerlukan.

“Untuk golongan selebriti, kami akan mendapatkan rujukan terlebih dahulu daripada Persatuan Seniman untuk melihat selebriti mana yang layak menerima bantuan ini. Untuk permulaan, saya akan membantu Wan Chik Daud dan Mak Jah.

“Baru-baru ini juga, saya sempat memberikan sumbangan kepada pelakon cilik kita, adik Puteri Balqis (Akish). Sebenarnya, sebelum ini dia pernah direct message saya dan isteri tapi kami tidak perasan sebab banyak DM masuk hari-hari.

“Kalau adik Balqis nak bekerjasama dengan saya, saya sedia membantu apa sahaja. Bercakap mengenai tindakan segelintir netizen yang mengecam saya sebab tidak berikan tawaran kerja kepada ibu Akish, takkan saya nak pandai-pandai offer kalau mak dia tidak mahu. Kalau ibu dia ada suarakan, boleh kami fikirkan tentang perkara itu.

“Untuk adik Akish pula, saya faham kenapa dia tidak mahu berlakon lagi sebab saya tahu bidang lakonan ini memerlukan komitmen yang tinggi. Dengan keadaan dia yang sakit, saya rasa perkara itu sedikit sukar untuk dia.

“Banyak perkara saya dengar tentang Akish dan ibunya tapi saya dan isteri tidak ambil tahu mengenai perkara itu kerana kami hanya ingin membantu mana yang termampu,” ujarnya lagi.

Kisah kesengsaraan hidup Akish mendapat perhatian ramai selepas dia dan ibunya, Norashikin Mohd Aziz muncul dalam program BersamaMu TV3 pada 12 Januari lalu.

Pelakon yang pernah memenangi Anugerah Pelakon Wanita Terbaik Asia 2014 itu kini terpaksa bergantung hidup dengan menjual buku puisi tulisannya yang dijual di sekitar ibu kota. – KopiPlanet.com

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Send this to a friend