Cerita ArtisHiburan

Altimet Buat Kejutan… Muncul Dalam Single Baharu ‘Pegang Tangan’ Bersama Adam Nuqris

Di sebalik kesibukannya memikul tanggungjawab sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selangor bagi kawasan Lembah Jaya, atau lebih mesra dengan gelaran YB Lembah Jaya, Altimet membuat kemunculan semula yang tidak dijangka menerusi single terbaharu berjudul “Pegang Tangan”.

Ia adalah sebuah karya daripada arkib penulisan muzik peribadinya yang kini dipersembahkan bersama bakat baharu, Adam Nuqris.

Diterbitkan di bawah Altimet Holdings Sdn. Bhd. dan diuruskan oleh SVLTAN Management, “Pegang Tangan” hadir sebagai sebuah karya yang lahir secara organik, bukan dirancang sebagai sebuah kempen besar, tetapi terbentuk daripada momen sebenar dan konteks kehidupan semasa kedua-dua artis.

Lebih menarik, lagu ini mencetuskan kejutan awal apabila ia “terlepas” dalam satu temubual Adam Nuqris bersama salah satu stesen radio tempatan terkenal pada 8 Mei 2026, sebelum pengumuman rasmi dibuat.

Perkara tersebut sekaligus mengesahkan kemunculan semula Altimet dalam dunia muzik, khususnya dalam genre rap yang pernah menjadi identitinya.

Kolaborasi Tanpa Dirancang

“Pegang Tangan” tidak bermula dengan perancangan industri atau strategi pemasaran, sebaliknya terbentuk secara semula jadi apabila karya yang asalnya ditulis dan disimpan oleh

Altimet diberi nafas baharu melalui perspektif vokal dan interpretasi Adam Nuqris. Kolaborasi ini mencerminkan keserasian kreatif antara dua generasi, seorang figura berpengaruh dalam hip hop tempatan, dan seorang pendatang baharu yang sedang membina identiti melalui pendekatan penceritaan yang lebih peribadi.

Adam Nuqris, yang baru sahaja diperkenalkan menerusi single solo “Alasan”, meneruskan fokusnya terhadap karya berteraskan emosi, kejujuran dan pengalaman hidup, menjadikan “Pegang Tangan” sebagai kesinambungan kepada perjalanan artistiknya.

Lagu Tentang Kasih Sayang & Perubahan Peranan

Diinspirasikan daripada hubungan antara ibu dan anak, “Pegang Tangan” membawa naratif emosi yang berkembang melalui beberapa fasa kehidupan.

Bermula daripada zaman kanak-kanak, saat bergantung kepada bimbingan, kepada fasa dewasa yang lebih berdikari, sehinggalah detik apabila peranan itu bertukar ketika berdepan dengan cabaran kehidupan dan kesihatan.

Lagu ini disampaikan dengan pendekatan yang sederhana, tanpa elemen dramatik berlebihan, sebaliknya menekankan kejujuran emosi dan pengalaman yang dekat dengan realiti kehidupan manusia.

Altimet menjelaskan bahawa karya ini hadir pada waktu yang sangat peribadi dan bermakna dalam hidupnya.

“Lagu ini datang dalam keadaan yang sangat organik. Ia bukan tentang kembali semula secara besar-besaran, tetapi lebih kepada satu karya yang jujur, lahir daripada momen dan perasaan sebenar.

“Kadang-kadang lagu yang paling ringkas itulah yang paling dekat di hati,” kata Altimet.

Proses Kreatif & Keserasian Dua Generasi

Dari sudut kreatif, “Pegang Tangan” merupakan sebuah karya hip-hop mellow yang ditulis oleh Altimet dan digubah oleh Mas Dewangga, dengan susunan muzik yang minimalis namun hangat serta reflektif.

Pendekatan produksi yang sederhana ini memberi ruang kepada lirik dan penyampaian vokal untuk menjadi teras utama lagu.

Adam Nuqris pula menyifatkan peluang bekerjasama dengan Altimet sebagai satu penghormatan besar dalam perjalanan awal kerjayanya.

“Bagi saya, ini bukan sekadar kolaborasi. Ia adalah ruang untuk belajar dan memahami bagaimana sebuah lagu boleh membawa makna yang sangat dalam walaupun disampaikan secara sederhana. Saya bersyukur diberi kepercayaan untuk menjadi sebahagian daripada karya istmewa ini,” kata Adam Nuqris.

Proses Rakaman Yang Organik

Menurut kedua-dua artis, “Pegang Tangan” tidak pernah dirancang sebagai sebuah projek besar. Ia hadir secara organik hasil daripada situasi semasa, menjadikan rakaman ini lebih bersifat peribadi dan dekat dengan pengalaman sebenar.

Ketiadaan tekanan komersial dalam proses penghasilannya membolehkan lagu ini berkembang secara lebih telus dan jujur, tanpa terikat kepada tuntutan pasaran atau formula muzik semasa.

Kemunculan Semula Yang Bermakna

Walaupun sebelum ini Altimet telah mengumumkan pengundurannya daripada dunia rap, “Pegang Tangan” menjadi bukti bahawa muzik masih mempunyai ruang dalam kehidupannya, walaupun dalam bentuk yang berbeza.

Kemunculan ini tidak dilihat sebagai “comeback”, sebaliknya sebagai satu karya yang hadir pada masa yang tepat, dengan mesej yang dekat dengan hatinya.

Sebagai pelengkap kepada perjalanan lagu ini, sebuah visualiser rasmi bakal dilancarkan. Pelancaran visualiser tersebut dijangka memperkukuhkan lagi naratif dan emosi yang dibawa menerusi “Pegang Tangan”, sekali gus memberikan dimensi visual kepada karya yang telah menyentuh hati ramai pendengar sejak dilancarkan.

“Pegang Tangan” oleh Altimet feat. Adam Nuqris telah dilancarkan pada 8 Mei 2026 dan kini boleh distrim di semua platform digital utama serta YouTube.

Orang ramai juga boleh menyaksikan pelancaran visualiser rasmi lagu ini pada 14 Julai 2026, bermula 12.00 tengah hari, menerusi saluran YouTube rasmi Altimet. – KopiPlanet.com

Apakah reaksi anda?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button