
Filem-filem yang mengetengahkan isu pemerdagangan manusia memang sudah banyak dihasilkan, namun Tiket Sehala ternyata memberi kelainan yang tersendiri.
Tiket Sehala hadir sebagai sebuah filem survival thriller yang cuba membawa penonton menyelami perjalanan penuh misteri, emosi dan persoalan tentang kehidupan.
Dengan pendekatan penceritaan yang tidak terlalu bergantung kepada elemen aksi berlebihan, filem ini lebih menumpukan kepada ketegangan yang dibina melalui konflik dalaman watak serta situasi yang semakin mencengkam dari awal hingga penghujung cerita.
Antara kekuatan utama Tiket Sehala ialah suasana yang berjaya diwujudkan oleh pengarah. Visual yang kemas, sinematografi yang menarik dan penggunaan warna yang sesuai membantu membentuk mood yang suram serta penuh tanda tanya.
Setiap babak dirancang dengan teliti untuk membuatkan penonton terus tertanya-tanya tentang apa yang sebenarnya sedang berlaku.
Manakala dari sudut lakonan, para pelakon memberikan persembahan yang meyakinkan, terutama sekali membabitkan watak utama seperti Noki K-Clique, Jaa Suzura, Ainee Mustafa dan Sharifah Sakinah.
Begitu juga membabitkan pelakon luar negara terutama sekali beberapa orang pelakon Korea Selatan yang turut menjadi tunjang kekuatan dalam penceritaan.
Ternyata mereka berjaya membawa emosi watak masing-masing dengan baik, terutamanya ketika berdepan situasi yang menuntut konflik perasaan dan tekanan psikologi. Hubungan antara watak-watak utama juga dibangunkan dengan baik, menjadikan perjalanan cerita lebih mudah dihayati oleh penonton.
Jalan cerita Tiket Sehala bergerak dalam rentak yang sederhana, namun cukup untuk mengekalkan minat penonton. Filem ini tidak tergesa-gesa mendedahkan segala rahsia yang tersimpan, sebaliknya membiarkan penonton mengumpulkan petunjuk sedikit demi sedikit.

Walaupun terdapat beberapa bahagian yang mungkin terasa perlahan bagi sesetengah penonton, ia sebenarnya membantu membina latar dan perkembangan watak dengan lebih mendalam. Klimaks yang disajikan pula berjaya memberikan impak emosi serta meninggalkan ruang untuk penonton berfikir selepas keluar dari panggung.
Secara keseluruhannya, Tiket Sehala merupakan sebuah filem yang berjaya menawarkan pengalaman tontonan yang berbeza daripada kebiasaan.

Ia bukan sekadar sebuah filem mengenai pemerdagangan manusia semata-mata, tetapi juga sebuah perjalanan emosi yang menyentuh mengenai persahabatan, kehilangan dan survival untuk bebas daripada terperangkap dalam satu keadaan yang seolah-olah tiada jalan keluar.
Bagi pencinta filem yang gemar menonton karya yang membuatkan mereka berfikir dan meneliti setiap petunjuk yang diberikan, Tiket Sehala adalah sebuah filem yang wajar diberikan perhatian. – KopiPlanet.com



