Selepas mengukuhkan kedudukannya sebagai antara penyanyi lelaki paling versatil di Malaysia menerusi rangkaian lagu hit dan persembahan bertenaga, Amir Masdi kini bersedia mencipta satu lagi momen penting dalam perjalanan seninya apabila mengumumkan penganjuran AM:PM SHOWCASE, yang bakal berlangsung pada 20 Disember 2026 di Zepp Kuala Lumpur.
Dianjurkan oleh AR United Music dengan sokongan Nova Music dan Rocketfuel Entertainment, manakala rakan radio rasmi pula ERA fm, GEGAR fm dan HITZ fm, AM:PM SHOWCASE bukan sekadar sebuah persembahan biasa.
Ia sebaliknya bakal menjadi sebuah pengalaman eksklusif yang menampilkan sisi paling peribadi Amir sebagai seorang penyanyi, penghibur dan pengkarya.
Dengan kapasiti yang lebih intim di Zepp Kuala Lumpur, peminat berpeluang menyaksikan sendiri persembahan yang menggabungkan vokal mantap, susunan muzik segar, visual berkualiti serta pelbagai kejutan yang hanya disediakan khas untuk malam tersebut.
Menurut Amir, idea menghasilkan AM:PM SHOWCASE lahir daripada keinginannya untuk meraikan perjalanan seni bersama peminat yang tidak pernah berhenti memberikan sokongan sejak awal pembabitannya dalam industri muzik.
Beliau mahu setiap individu yang hadir merasakan hubungan yang lebih dekat dengan setiap lagu dan cerita yang dibawakan sepanjang persembahan.
“Saya selalu percaya setiap lagu ada kisahnya sendiri, dan setiap peminat juga ada cerita yang menghubungkan mereka dengan lagu-lagu tersebut. Sebab itu saya mahu AM:PM SHOWCASE menjadi sebuah malam yang cukup istimewa.
“Saya mahu semua yang hadir bukan sekadar menonton persembahan, tetapi pulang dengan kenangan yang sukar dilupakan. Kami sedang menyiapkan pelbagai elemen baharu supaya pengalaman pada malam itu benar-benar berbeza daripada persembahan yang pernah saya lakukan sebelum ini,” katanya.
Amir turut mengakui keterujaannya untuk kembali bertemu peminat dalam sebuah persembahan berskala eksklusif yang memberi ruang untuk beliau berinteraksi dengan lebih dekat, selain mempersembahkan lagu-lagu yang membentuk perjalanan kerjaya seninya.
Amir menyifatkan AM:PM SHOWCASE sebagai hadiah penghargaan kepada semua yang terus percaya dan menyokong perjalanan muziknya selama ini.
Sementara itu, wakil penganjur AR United Music berkata, penganjuran AM:PM SHOWCASE merupakan sebahagian daripada komitmen syarikat untuk terus memperkasakan industri muzik tempatan dengan menganjurkan persembahan berkualiti tinggi yang mengetengahkan bakat tempatan.
Menurutnya, Amir Masdi dipilih kerana beliau bukan sahaja memiliki kredibiliti sebagai penyanyi dan penghibur, malah mempunyai kelompok peminat yang sentiasa berkembang.
“Amir Masdi merupakan antara artis yang sentiasa konsisten menghasilkan karya berkualiti dan memberikan persembahan yang bertenaga di atas pentas.
“Melalui AM:PM SHOWCASE, kami mahu menampilkan sisi Amir yang lebih dekat dengan peminat menerusi sebuah persembahan yang eksklusif, penuh emosi dan berbeza daripada konsert berskala besar,” jelasnya.
Menurutnya, setiap elemen yang dirancang, daripada susunan muzik, visual hinggalah pengalaman penonton, disusun dengan teliti bagi memastikan malam tersebut menjadi satu memori yang sukar dilupakan.
Tambahnya, pemilihan Zepp Kuala Lumpur juga dibuat kerana lokasi itu menawarkan suasana yang lebih intim serta mampu mewujudkan interaksi lebih dekat antara Amir dan para peminat.
“Kami percaya AM:PM SHOWCASE bukan sekadar sebuah showcase, tetapi satu pengalaman muzik yang meraikan hubungan antara artis dan peminat. Dengan kapasiti yang eksklusif, setiap penonton akan dapat menikmati persembahan dalam suasana yang lebih dekat dan istimewa.
“Kami berharap peminat mendapatkan tiket lebih awal kerana sambutan yang diterima setakat ini amat menggalakkan,” katanya.
Tiket bagi AM:PM SHOWCASE kini mula dijual menerusi platform Ticket Empire dengan pilihan kategori VIP (Seated) RM254, CAT 1 (Seated) RM204, CAT 2 (Seated) RM184, CAT 3 (Seated) RM154, dan CAT 4 (Standing) RM104.
Bagi peminat yang ingin menikmati pengalaman lebih eksklusif di BOX (Seated), tempahan boleh dibuat dengan menghubungi 011- 5996 3265.
Klik di sini bagi pembelian tiket Amir Masdi AM:PM Showcase: https://www.myticketempire.com/amirmasdiampm – KopiPlanet.com




