
Bayaran Rendah & Tidak Setimpal, Bront Palarae Anggap Ia Satu Penghinaan Buat Anak Seni
Pelakon popular, Bront Palarae beranggapan bayaran rendah dan tidak setimpal adalah satu bentuk penghinaan buat anak-anak seni.
Bront berkata, orang industri sepatutnya menghargai bakat anak seni itu dengan nilai yang setimpal.
“Mereka yang terbabit dalam bidang ini sebenarnya wajib tahu untuk menilai bakat seseorang itu dengan melihat hasil kerja yang lepas.
“Bagi saya, bayaran rendah itu sememangnya satu ‘insulting’, terutama sekali yang sering menimpa pelakon-pelakon veteran,” ujarnya.
Bront berkata demikian ketika ditemui semasa majlis pengenalan barisan pelakon Tarung: Unforgiven yang berlangsung semalam.
Mengulas lebih lanjut mengenai isu berkenaan, Bront memberitahu situasi ini juga boleh terjadi apabila ada segelintir yang bergelar pelabur menganggap mereka juga adalah penerbit.
Jelasnya, apabila ini berlaku kebanyakan pelabur ini tidak mengetahui dengan lebih mendalam tentang keperluan asas sesebuah produksi.
“Biasanya seseorang yang bergelar penerbit itu tahu keperluan seperti jumlah wang yang diperlukan untuk perbelanjaan menerbitkan sebuah naskhah.
“Jadi, itu juga adalah salah satu punca yang boleh menyebabkan isu ini boleh berlaku sehingga ada pelakon yang dibayar rendah dan tidak berbaloi,” ujarnya.
Dalam pada itu, mengenai pembabitan dalam Tarung: Unforgiven, Bront memberitahu dia menerima bersetuju untuk terlibat bukanlah disebabkan semata-mata persahabatannya dengan pengarah Razaisyam Rashid.
Ujarnya, dia dia tertarik dengan skrip untuk filem berkenaan yang dilihat sebuah penceritaan yang menarik dan unik.
“Apabila baru separuh saya membaca skrip filem ini, terus saya merasakan ada sesuatu yang cukup lain dalam naskhah ini.
“Namun, saya tidaklah terus beri persetujuan untuk berlakon. Lepas dah habis baca skrip, barulah saya hubungi Razaisyam dan beritahu yang saya bersetuju,” ujarnya.
Tarung Unforgiven akan mula ditayangkan di pawagam seluruh negara pada 7 Mei 2026. – KopiPlanet.com



