• FOLLOW US

Akui Gosip Cinta, Kangta Bahagia Dengan Jung Yoo Mi

Selepas beberapa bulan digosipkan bercinta dengan pelakon Jung Yoo Mi, ahli kumpulan H.O.T, Kangta akhirnya mengakui sedang menjalinkan hubungan istimewa dengan aktres tersebut.

Memetik kenyataan yang dikeluarkan oleh syarikat pengurusannya, SM Entertainment serta agensi pengurusan Yoo Mi, Ace Factory, kedua-dua selebriti itu kini sedang hangat bercinta.

“Kedua-dua selebriti ini sedang berpacaran. Mulanya mereka sekadar berkawan rapat namun hubungan itu akhirnya membawa keserasian sehingga timbul bibit-bibit bercinta,” kata kenyataan tersebut.

Gosip mengenai Kangta dan Yoo Mi mula tersebar sejak Ogos lalu apabila kedua-duanya sering meluangkan masa bersama dengan melakukan aktiviti mendaki gunung.

Sebelum ini Kangta pernah dikaitkan bercinta dengan personaliti tv, Oh Jung Yeon dan model, Woo Joo Ahn. – KopiPlanet.com

Jessie J Lebih Suka Mengemas Rumah Berbanding Melakukan Seks

Walaupun cukup berkemampuan untuk mengupah orang gaji bagi membersihkan kediamannya, namun penyanyi Jessie J lebih suka mengemas rumahnya sendiri.

Menurut Jessie, dia meletakkan obsesinya terhadap kekemasan rumah sebagai perkara paling utama berbanding melakukan hubungan seks bersama teman lelakinya, pelakon Channing Tatum.

Berkongsi kisahnya, Jessie berkata kehidupan hariannya bermula seawal jam 7 pagi dengan mengemas rumah seperti menyusun atur perabot dan vakum permaidani berhabuk.

“Saya sangat suka mengemas, selepas itu diikuti dengan memasak, menyanyi dan melakukan persetubuhan. Itu perkara kesukaan saya mengikut turutannya,” katanya.

Jessie dan Channing sebelum ini pernah berpisah pada Disember lalu namun kini sudah kembali berbaik semula pada minggu lalu. – KopiPlanet.com

Priyanka Chopra Bakal Berlakon Matrix 4 Di Samping Keanu Reeves

Nama Priyanka Chopra berkemungkinan besar tersenarai antara barisan pelakon yang bakal membintangi filem Matrix 4. Filem yang paling ditunggu-tunggu itu bakal menyaksikan penyatuan semula aksi tangkas Keanu Reeves dan Carrie-Anne Moss.

Filem yang memasuki siri keempat itu bakal diarahkan Lana Wachowski dan penggambarannya bakal dilakukan di California Utara.

Turut terlibat dalam filem berskala besar itu ialah Jada Pinkett Smith, Neil Patrick Harris, Jonathan Groff dan Yahya Abdul Mateen II.

Pembikinan Matrix 4 diumumkan oleh Warner Bros. pada Ogos lalu. The Matrix mencipta fenomena pada tahun 1999 sebelum muncul dengan siri kedua, The Matrix: Reloaded dan siri ketiga, The Matrix: Revolutions yang mana kedua-duanya diterbitkan pada 2003.

Matrix 4 bakal ditayangkan pada tahun 2022. – KopiPlanet.com

BTS Sambung Kontrak Sebagai Duta Global Kereta Hyundai

Kumpulan K-Pop terkenal, BTS sekali lagi diberi tanggungjawab sebagai duta global jenama kereta Hyundai bagi tahun kedua berturut-turut.

BTS bekerjasama dengan Hyundai sejak tahun lalu dengan mempromosikan Hyundai Palisade yang menjadi kenderaan rasmi kumpulan tersebut. Tahun ini, mereka akan menggayakan kenderaan utiliti sukan Hyundai Nexo sebagai kereta rasmi.

Kumpulan yang popular dengan lagu Boy With Luv itu semalam hadir pada majlis anugerah Grammy yang berlangsung di Staples Center, Los Angeles dengan menaiki Hyundai Nexo yang mendapat perhatian ramai peminat mereka.

Menerusi majlis itu juga, BTS yang dianggotai Jin, Suga, J-Hope, RM, Jimin, V dan Jungkook mengadakan persembahan dengan Lil Nas X dan Billy Ray Cyrus menyanyikan lagu Old Town Road. Mereka mencipta sejarah apabila bergelar artis Korea pertama membuat persembahan di pentas berprestij Grammy. – KopiPlanet.com

Camila Cabello, Shawn Mendes Akan Bogel Jika Menang Grammy Awards

Baru-baru ini Camila Cabello memberikan pernyataan mengejutkan kepada umum apabila menyatakan dia dan Shawn Mendes akan berbogel di atas pentas sekiranya lagu duet mereka, Senorita menang dalam Grammy Awards tahun ini.

Penyanyi itu menyatakan dia mahu melakukan perkara yang sama seperti yang dilakukan oleh Twenty One Pilots memenangi Grammy pada tahun 2017.

“Jika Shwn dan aku meraih kemenangan di Grammy, kami akan berjalan di atas pentas dengan hanya memakai seluar dalam seperti Twenty One Pilots.

Bagaimanapun, tidak lama kemudian penyanyi itu menyatakan bahawa apa yang dikatakan itu tidak lebih dari sekadar gurauan semata-mata.

Dalam pada itu, Camila mengakui sangat bersemangat untuk meraih kemenangan di atas pentas Grammy pada hujung minggu ini dan mahu meraikannya bersama dengan orang terdekat dan para sahabat jika muncul pemenang. – KopiPlanet.com

Vanessa Dah Move On, Kini Bercinta Dengan Atlit Bola Keranjang?

Baru sahaja putus cinta, Vanessa Hudgens kini dikatakan bermain cinta dengan bintang bola keranjang Los Angeles Laker, Kyle Kuzma.

Pasangan itu dilihat menghabiskan masa menikmati makan malam bersama di sebuah restoran mewah di New York baru-baru ini.

Menurut sumber terdekat dengan aktres itu, Vanessa sememangnya merupakan peminat bola keranjang namun tiada apa-apa serius yang berlaku di antara mereka.

“Mereka memang sangat serasi tapi tiada apa-apa serius terhadap hubungan tersebut. Vanessa suka berkawan dengan Kyle dan ia merupakan antara cara yang bagus untuk sibukkan dirinya buat masa sekarang. Mereka sentiasa berhubung namun Vanessa tidak mahu menjalinkan cinta dengan mana-mana lelaki ketika ini.

“Vanessa mahu enjoy dengan kehidupan single yang dijalaninya kini selepas lebih 10 tahun bercinta dengan Austin sebelum ini,” kata sumber tersebut memetik E!online.

Bintang filem High School Musical itu putus dengan Austin pada awal bulan ini selepas sedekad berpacaran. Hubungan mereka dikatakan putus kerana masing-masing terikat dengan komitmen kerja yang sibuk.

Sebelum bersama Austin, Vanessa pernah bercinta dengan aktor Zac Efron pada 2005 namun hubungan itu terlerai lima tahun kemudian. – KopiPlanet.com

Beri Kesedaran Tentang Kesihatan Mental, Deepika Padukone Terima Anugerah

Aktres popular, Deepika Padukone menerima Anugerah Kristal pada Forum Ekonomi Dunia (World Economic Forum) yang berlangsung di Davos, Switzerland baru-baru ini.

Penganugerahan kepada pelakon itu diberi atas inisiatifnya memberi kesedaran tentang kesihatan mental kepada masyarakat dunia.

Deepika, 34, membuka sebuah yayasan Live Love Laugh Foundation yang dirasmikan pada 2015 yang mana tujuan utama penubuhannya adalah untuk membantu individu yang berdepan dengan masalah kesihatan mental dan kemurungan.

Anugerah itu disampaikan oleh penaung bersama World Economic Forum iaitu Hilde Schwab.

Dalam ucapannya, Deepika berkata, “Kesihatan mental merupakan antara cabaran terbesar masyarakat dunia pada masa kini. Namun ia telah mengajar saya sesuatu iaitu kita kena sentiasa bersabar dan percaya yang kita tidak berseorang di dunia ini. Setiap masalah pasti ada jalan penyelesaiannya.” – KopiPlanet.com

Parasite Menang, V BTS Ucap Tahniah Pada Choi Woo Shik

Ahli kumpulan BTS, V mengambil kesempatan mengucapkan tahniah di atas kemenangan sahabat baiknya, pelakon Choi Woo Shik yang memenangi trofi Screen Actors Guild Awards (SAG) bagi kategori Persembahan Terbaik Pelakon Filem menerusi filem Parasite.

“Tahniah Woo Shik di atas kemenangan SAG Award. Sukar untuk percaya orang yang berada di pentas anugerah itu adalah kawan baik saya sendiri,” tulisnya yang teruja dengan kemenangan kawan baiknya itu.

Parasite mencipta sejarah apabila bergelar filem asing pertama yang berjaya merangkul trofi di SAG Awards.

Dengan kemenangan itu, filem arahan Bong Joon-ho turut tercalon dalam pencalonan akhir Anugerah Oscars yang akan berlangsung pada 9 Februari ini.

Filem berkisarkan tentang realiti kehidupan dua darjat itu turut dibintangi Song Kang Ho, Lee Sun Gyun, Park So Dam dan Lee Jung Eun. – KopiPlanet.com

Jennifer Aniston & Brad Pitt Akhirnya Bertentang Mata Selepas 15 Tahun Bercerai

Selepas hampir 15 tahun bercerai, aktres Jennifer Aniston, 51, akhirnya bertentang mata dengan bekas suaminya, Brad Pitt dalam majlis Anugerah Screen Actors Guild (SAG Awards 2020) yang berlangsung malam Ahad.

Kenangan itu diabadikan jurugambar media yang bertugas di belakang pentas SAG Awards selepas Jennifer memenangi trofi Pelaon Wanita Terbaik Drama menerusi wataknya dalam program The Morning Show.

Brad, 57, yang turut berada di belakang pentas selepas memenangi trofi Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik Filem menerusi filem Once Upon A Time In Hollywood kemudian terus meluru kepada bekas isterinya untuk memberikan ucapan tahniah.

Brad juga dilihat tidak mengalihkan pandangannya ketika mendengar ucapan kemenangan Jennifer dan aksinya itu sempat dirakam seorang wartawan yang membuat liputan di belakang pentas.

Pasangan pelakon itu berkahwin pada 29 Julai 2000 selepas berpacaran selama dua tahun. Namun mereka disahkan bercerai pada 2005 sebelum aktor itu kemudiannya menjalinkan hubungan dengan Angelina Jolie yang turut berlakon bersamanya dalam filem Mr. & Mrs. Smith. – KopiPlanet.com

Hubungan Jarak Jauh Punca Vanessa Hudgens Putus Cinta?

Hubungan cinta selama sembilan tahun yang terjalin di antara pasangan pelakon Vanessa Hudgens dan Austin Butler putus di tengah jalan masih lagi menjadi topik hangat di kalangan media hiburan antarabangsa.

Percintaan pasangan itu dikatakan berantakan selepas mereka dikatakan terlalu sibuk dengan komitmen kerja yang menuntut mereka berpisah buat seketika.

Vanessa baru-baru ini terpaksa terbang ke luar negara selama beberapa bulan bagi menyiapkan filem The Princess Switch 2 manakala Austin pula sedang sibuk mempersiapkan diri bagi menjayakan penggambaran filem biopik mengenai lagenda muzik Elvis Presley yang akan diadakan di Australia.

“Mereka masing-masing terpaksa berjauhan dan perpisahan itu ada kaitan dengan hubungan jarak jauh. Walaupun begitu, mereka berpisah secara baik dan sangat menghormati satu sama lain,” kata sumber memetik E! News.

Sebelum berpacaran dengan Austin, Vanessa pernah bercinta dengan hero gandingannya dalam filem High School Musical, Zac Efron pada 2005 namun hubungan mereka putus lima tahun kemudiannya. – KopiPlanet.com