• FOLLOW US

Lima Selebriti Dipilih Penyampai Baharu Program Mingguan Wanita

Menyedari pengaruh dan populariti selebriti terkenal boleh menarik lebih ramai pengikut, program bual bicara Mingguan Wanita mengambil keputusan untuk melantik lima selebriti terkenal sebagai penyampai baharu mereka.

Mereka yang terpilih ialah Elizad Sharifuddin, Erra Fazira, Sherry Al-Hadad dan dua artis lelaki iaitu pelakon Norman Hakim dan penyampai radio Era, Radin Amir.

Menurut Pengurus Saluran Astro Prima, Norzeha Mohd Salleh, pemilihan kelima-lima selebriti itu dirasakan tepat memandangkan pengaruh selebriti lebih kuat daripada ‘social media influencer’.

“Selebriti punyai pengaruh yang kuat berbanding selebriti media sosial dan tidak dinafikan atas sebab itu kita menampilkan barisan selebriti popular untuk musim baharu ini.

“Untuk musim ini, kami akan mengupas isu secara menyeluruh termasuk daripada aspek kecantikan, kesihatan, pelancongan, kemasyarakatan dan juga gaya hidup,” katanya kepada KopiPlanet.com ketika ditemui pada majlis pelancaran musim baharu Mingguan Wanita yang berlangsung di The Gardens Mall, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Sementara itu, Elizad yang diberi peranan sebagai hos pada setiap hari mengatakan pengacaraan merupakan satu cabang seni yang cukup diminatinya selain daripada lakonan.

“Saya akan bersiaran pada setiap hari ditemani rakan penyampai yang berlainan. Saya suka dengan pengisian program ini dan sudah pastinya saya akan cuba memberikan yang terbaik,” ujarnya yang cukup teruja dengan kerja baharunya itu.

Pada setiap Isnin, Elizad akan bergandingan dengan Erra untuk mengulas topik berkaitan Kesihatan dan Kecantikan manakala pada setiap hari Selasa, Elizad dan Radin akan berbicara mengenai isu Kemasyarakatan dan Gaya Hidup.

Setiap hari Rabu, Elizad akan ditemani Sherry untuk mengupas topik berkaitan Makanan & Travelog. Untuk setiap hari Khamis, Elizad dan Norman akan membawa penonton mendalami topik Cerita Dalam Kain mengenai hal-hal rumah tangga.

Pada hari Jumaat pula, segmen Motivasi, Inspirasi & Kerohanian pula akan dikendalikan Elizad secara bergilir-gilir bersama Datuk Fadzillah Kamsah, Prof. Dr. Muhaya dan Imam Muda Asyraf.

Mingguan Wanita akan bersiaran langsung pada setiap Isnin hingga Jumaat jam 11 pagi bermula 8 Julai ini di saluran Astro Prima (105) dan Prima HD (121). – KopiPlanet.com

I Can See Your Voice Malaysia Kini Kembali Untuk Musim Kedua

Setelah mendapat sambutan yang sangat menggalakkan pada musim lalu, rancangan realiti tv I Can See Your Voice Malaysia (ICSYVMY) kini telah kembali untuk musim yang kedua.

Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, Johan Ishak berkata, ICSYVMY menjadi bualan dan juga trending di platform digital menerusi Youtube pada musim pertama.

“Kami mendapat maklum balas yang memberangsangkan daripada penonton setia apabila program ICSYVMY musim pertama disiarkan.

“Program sebegini dilihat memberi peluang kepada mereka yang berminat dalam bidang nyanyian tetapi tidak mempunyai pengalaman mengekspreskan impian mereka menyanyi dalam program sebegini,” katanya.

Menurutnya, walaupun tidak mempunyai bakat dalam nyanyian ianya bukan satu penghalang kepada mereka kerana apa yang paling penting adalah keyakinan dan kemampuan diri.

“Menarik dan uniknya program ini adalah kreativiti setiap peserta yang perlu bijak untuk memperdayakan para penonton dengan lakonan mereka ketika menyampaikan lagu-lagu terpilih untuk terus kekal di atas pentas ICSYVMY2,” jelasnya.

Buat julung kali ICSYVMY musim kedua akan dihoskan oleh dua pengacara Shuk Sahar dan Sean LJE. Manakala tugas sebagai ‘penyiasat tetap’ pula masih lagi digalas oleh Jihan Muse, Mark Adam dan Seelan Paul sama seperti musim pertama.

Selain tiga penyiasat tetap ini, mereka turut ditemani oleh dua lagi orang penyiasat jemputan untuk membantu artis jemputan mengenal pasti siapakah sebenarnya penyamar bersuara sumbang dalam kalangan penyanyi-penyanyi misteri ini.

ICSYVMY yang mengambil konsep dan format program asal dari Korea Selatan oleh CJ ENM itu akan disiarkan bermula pada 23 Jun ini pada setiap Ahad, jam 9 hingga 10.30 malam di TV3 sepanjang 13 minggu. – KopiPlanet.com

Pelbagai Program Raya Menarik, Astro Pilih Tema Sempurna Seadanya

Pengisian Syawal Astro bakal disemarakkan dengan himpunan rancangan televisyen terhebat merangkumi program hiburan varisai, muzikal dan komedi, koleksi filem-filem terlaris tempatan dan antarabangsa serta drama bersiri terkini.

Stesen televisyen berbayar itu memperkenalkan tema Sempurna Seadanya sebagai ‘tagline’ mereka bagi menyambut musim perayaan Aidilfitri tahun ini.

Menurut Naib Presiden & Ketua Bahagian Melayu dan Nusantara, Kumpulan Kandungan Astro, Datuk Khairul Anwar Salleh, Astro menjanjikan penawaran kandungan yang cukup komprehensif sepanjang musim perayaan bagi memberi nilai tambah kepada para pelanggan.

“Selain kepuasan pengalaman menonton, bonus ganjaran juga turut diberikan menerusi program Ramadan Raya NJOI, promosi eksklusif program kesetiaan pelanggan menerusi Astro Rewards serta baucar duit raya menerusi program Duit Raya Rebate di Go Shop sebagai tanda penghargaan kami.

“Masih mengekalkan tradisi yang dinantikan saban tahun, Astro turut membawakan sebuah lagi kisah menarik menerusi iklan komersial Raya Kuasa 7 yang sarat dengan mesej bermakna meskipun diterjemahkan dalam bentuk komedi santai. Uniknya, garapan naratif penceritaan kali ini turut menyuntik kesinambungan intipati tema kempen-kempen Astro terdahulu,” katanya.

Antara program yang akan memeriahkan lagi raya anda sekeluarga adalah seperti seleksi filem hits seperti Dukun, Hantu Kak Limah, Polis Evo 2, Abang Long Fadil 2, Munafik 2, Train To Busan, Bad Genius dan Midnight Runners.

Selain itu, program Meletop Raya yang diadakan pada malam menjelang raya turut menampilkan dua hosnya, Nabil Ahmad dan Neelofa bersama ramai artis jemputan popular seperti Datuk Seri Siti Nurhaliza dan anaknya, Siti Aafiyah, Lana Nodin, Fauziah Latiff, Datuk M. Nasir, Ernie Zakri, Syamel, Andi Bernadee, Nabila Razali dan Syafiq Farhain.

Penonton juga akan dihiburkan dengan pelbagai program hiburan berunsur komedi sepanjang musim perayaan ini menerusi saluran Astro Warna & Warna HD seperti MLM Raya 2019, Sepahtu Reunion Raya Gear 5 dan Arena Panggang Marah-Marah Sayang.

Tidak dilupakan juga seleksi drama bersiri terkini seperti Curi-Curi Cinta yang dilakonkan Aiman Hakim Ridza dan Zahirah Macwilson dan disusuli dengan drama terbaharu lakonan Kamal Adli dan Uqasha Senrose menerusi Setelah Lafaznya Akad. – KopiPlanet.com

Protege Chef Wan & Martin Yan Bertarung Dalam Raja Sawit

Chef popular, Datuk Redzuawan Ismail atau lebih dikenali sebagai Datuk Chef Wan dan Chef Martin Yan, dua ikon chef selebriti terkemuka di peringkat global telah bergabung tenaga sebagai mentor dan hos dalam program realiti TV terbaharu TV3, Raja Sawit yang akan bersiaran pada setiap hari Sabtu, pukul 6.00 petang bermula 8 Jun ini.

Raja Sawit merupakan pertandingan masakan program realiti TV pertama yang menampilkan pelajar-pelajar kulinari terbaik di Malaysia yang akan bersaing antara satu sama lain dengan menggunakan minyak sawit sebagai asas masakan mereka.

16 pelajar iaitu dua pelajar kulinari terbaik daripada lapan kolej kulinari terkemuka di Malaysia dijemput secara eksklusif untuk menyertai program ini iaitu SEGI University Kota Damansara, UNITAR International University, UCSI University, BERJAYA University College, UITM Puncak Alam, YTL International College of Hotel Management, HELP College of Art and Technology dan INTI International College Subang.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif, Rangkaian Televisyen Media Prima, Johan Ishak, “Sebagai tanda sokongan pihak stesen kepada kempen kerajaan – Sayangi Sawitku yang bertujuan menggalakkan penggunaan minyak sawit secara meluas dalam kalangan rakyat Malaysia, TV3 memperkenalkan program Raja Sawit yang mengetengahkan minyak sawit sebagai asas masakan,” katanya.

“Sejajar dengan matlamat program ini untuk mengetengah dan mempersiapkan chef terbaik untuk generasi akan datang yang dapat berkhidmat di peringkat global dengan memasak menggunakan minyak sawit, kami amat berbesar hati dapat bekerjasama dengan 2 ikon dunia masakan dan rakan-rakan penaja untuk menjayakan program ini. Kami yakin bahawa para peserta dapat menerima manfaat besar dengan perkongsian ilmu, pendedahan kemahiran dan teknik memasak untuk memulakan kerjaya sebagai seorang chef pada masa hadapan,” katanya lagi.

Disegani sebagai ikon masakan Malaysia, Datuk Chef Wan merupakan satu-satunya chef selebriti Malaysia yang aktif sebagai hos program TV, seorang usahawan, pengkritik makanan, penulis buku resipi, penerima “ratusan” anugerah dan duta pelancongan & kebudayaan Malaysia. Chef Martin Yan, satu nama besar yang pernah menjadi hos lebih daripada 3,000 program masakan di seluruh dunia, termasuk “Yan Can Cook,” beliau juga seorang Master Chef yang diiktiraf, perunding makanan, pengajar masakan dan penulis yang terkenal turut serta untuk menjayakan program ini.

16 peserta dibahagikan kepada 8 pasukan yang mewakili kolej kulinari masing-masing. Mereka mendapat bimbingan dan tunjuk ajar daripada Datuk Chef Wan dan Chef Martin Yan. Sepanjang 6 episod ini, kesemua peserta akan menaiki bas “Raja Sawit” ke pelbagai lokasi untuk merasai pengalaman memasak menggunakan sayuran dan ikan segar melalui konsep “ladang ke meja”.

Bermula pada episod ketiga, para peserta akan berhadapan dengan sesi penyingkiran. Hanya 3 pasukan terbaik layak mara ke pusingan akhir pada episod keenam. Pasukan terbaik bakal memenangi gelaran “Raja Sawit”, setiap ahli akan menerima trofi dan sijil pengiktirafan yang ditandatangani oleh Datuk Chef Wan, Chef Martin Yan dan juga Menteri Industri Utama, Teresa Kok; sebuah apron eksklusif “Raja Sawit”; penginapan 3 hari 2 malam di The Banjaran Hotsprings Retreat bernilai RM10,000 seorang; latihan praktikal di restoran Datuk Chef Wan, “De. Wan 1958”; dan pisau yang ditandatangani oleh Chef Martin Yan. – KopiPlanet.com

Syamel, Ernie Hargai Cikgu, Nyanyi Lagu ‘Terima Kasih Guruku’

Bersempena dengan sambutan Hari Guru yang bakal disambut esok, pasangan duet popular Syamel dan Ernie Zakri tampil dengan single Terima Kasih Guruku yang merupakan hasil tulisan kedua-dua penyanyi tersebut.

Selain Syamel dan Ernie, lagu yang dinyanyikan dalam empat versi bahasa iaitu bahasa Melayu, Inggeris, Cina dan Tamil turut dinyanyikan dua penyanyi lain iaitu Nicole Lai dan Revathy.

Lagu yang diterbitkan Rocketfuel Entertainment itu mendapat sentuhan daripada komposer, Sharon Paul.

Terima Kasih Guruku bakal didendangkan di kesemua saluran radio di bawah Astro pada esok hari bersempena sambutan Hari Guru 2019 dan muzik videonya bakal ditayangkan di Astro TVIQ (saluran 610) dan Astro Go pada hari yang sama.

Pada tahun ini, Astro menggunakan slogan, ‘My Teacher, My Hero’ bagi menzahirkan penghargaan kepada para guru atas pengorbanan dan usaha mereka dalam mengajar anak bangsa sehingga berjaya menjadi manusia berguna dan berjaya. – KopiPlanet.com

Kredit foto: Instagram Ernie Zakri

‘Sempurna Seadanya’ Melatari Kempen Ramadan & Raya Astro 2019

Sempena dengan kehadiran bulan Ramadan yang mulia ini, saluran Astro tampi dengan pelbagai pengisian menarik menerusi seleksi program hebat di televisyen, radio, ruangan digital dan penganjuran aktiviti lapangan.

Mengangkat tema ‘Sempurna Seadanya’, tema berkenaan dipilih berlandaskan lima teras utama iaitu Keredaan, Kasih Sayang, Kebahagiaan, Kesyukuran dan Jalinan Persaudaraan.

Bagi saluran televisyen, terdapat sebanyak 75 program menarik yang menanti penonton dengan kesemuanya program-program baharu yang dihasilkan untuk sambutan Ramadan kali ini.

Menariknya, ia merangkumi jumlah keseluruhan durasi tayangan selama 267 jam, yang mana 54 peratus lebih tinggi berbanding pada tahun lalu.

Program-program tersebut merangkumi keagamaan, telefilem, dokumentari, drama bersiri, sketsa, animasi, komedi dan rancangan khas seperti variasi, travelog dan bual bicara.

Antara program menarik yang disajikan kepada penonton seperti drama bersiri Curi-Curi Cinta dan Imaan dengan menampilkan barisan pelakon hebat tanah air.

Selain itu, program yang turut menjadi tumpuan penonton juga adalah seperti Resipi Mak Esah, Michael Ang’s Halal Kitchen, Sepahtu Reunion Al-Puasa 2019, Ustaz Evo (S2), Sembang Sisters dan pelbagai lagi.

Bagi platform radio pula, ia akan bermula sekitar pada pukul 4 pagi di keempat-empat stesen radio seperti Era, Sinar, Gegar dan Zayan bermula pada 6 hingga 31 Mei 2019.

Bagi stesen Era, ia menampilkan program Soq Sahur yang dikendalikan oleh Radin, Zayan Sahoor pula dihoskan oleh Raqib, manakala Teman Sahur SINAR dikendalikan oleh Pink dan Saing Sahur Gegar pula dihoskan Ewan.

Tidak ketinggalan juga bagi platform digital seperti Gempak, Rojak Daily, Behind The Wheel dan Drebar yang turut menyajikan program-program menarik.

Misalnya, platform Gempak bakal menyiarkan siri mini penuh pengajaran iaitu Celup yang diarahkan oleh Michael Ang serta program lain seperti Iftar Ala King, Sah To Share 2.0 dan Gema Azan.

Untuk platform Rojak Daily pula akan menyiarkan segmen video Snaps Dan Hitlist yang membawa pembaca ke beberapa lokasi Ramadan di sekitar Lembah Klang.

Istimewanya, Astro menerusi program kesetiaan pelanggan ‘Astro Rewards’ akan menaja lima pasangan bertuah untuk menunaikan ibadah umrah.

Bermula pada 1 Mei hingga 31 Julai 2019, dengan hanya menjawab satu soalan mudah, pelanggan Astro berpeluang memenangi Pakej Umrah & Ziarah eksklusif bernilai sehingga RM100,000. – KopiPlanet.com

Setulus Ikhlas Dipilih Sebagai Tema Kempen Ramadan 2019 TV3

Jika tahun lalu, tema Syukur Selalu diketengahkan Rangkaian Televisyen Media Prima (MPTN), tahun ini Setulus Ikhlas dipilih bagi memeriahkan sambutan Ramadan menerusi rangkaian stesen TV3 dengan kerjasama Samsung dan 100 Plus.

Antara selebriti-selebriti yang telah dipilih sebagai duta bagi kempen Setulus Ikhlas ini ialah Aeril Zafrel, Syafiq Kyle, Wawa Zainal, Zara Zya, Ismail Izzani, Haqiem Rusli, Nabila Razali, Mimi Lana, Mira Filzah dan Hairul Azreen.

Mereka bakal memainkan peranan penting sebagai wajah kempen Setulus Ikhals di kaca televisyen, media sosial dan iklan pesanan khidmat masyarakat di MPTN dan juga acara padang yang bakal berlangsung sepanjang kempen ini.

MPTN juga pada tahun ini turut mengadakan dua acara besar bagi memeriahkan lagi sambutan Ramadan tahun ini iaitu Grand Bazar Ramadan Raya dan Check-in Kampung.

Dengan kerjasama Build Up Resources Sdn Bhd, Grand Bazar Ramadan Raya akan diadakan Bulatan Bazarena, Shah Alam dari 4 Mei hingga 2 Jun dan di Stadium Bukit Jalil bermula 16 Mei hingga 5 Jun manakala program Check-in Kampung akan berkunjung ke dua kampung di Sungai Besar, Selangor dan Mukim Kesang, Tangkak, Johor.

Antara aktiviti yang bakal berlangsung adalah sesi gotong-royong untuk berbuka puasa, moreh, ziarah sahur, solat terawikh, rakaman Tanyalah Ustaz serta jualan food truck.

Selain itu, pelbagai rancangan menarik yang telah disediakan sepanjang Ramadan ini antaranya Jejak Rasul, Tanyalah Ustaz, Sembang Sahur serta pelbagai naskhah drama yang memberikan 1001 pengajaran antaranya Pia, 30 Pesanan Suara, Maaf Dari Khilaf dan Cari Aku Di Syurga. – KopiPlanet.com

Foto: Instagram TV3

Shuk Muncul Juara BBB 2019, Bawa Pulang Wang Tunai RM100,000

Peserta Shuk akhirnya dinobatkan sebagai juara program Bintang Bersama Bintang 2019 (BBB 2019), sekaligus berjaya membawa pulang wang tunai RM100,000.

Dalam aksi final yang berlangsung di Sri Pentas 2, Shah Alam itu, Shuk menewaskan empat lagi peserta lain iaitu Chiwan, Mamak Puteh, Achey dan Sharif Zero.

Untuk aksi final, Shuk telah memilih Jihan Muse sebagai rakan gandingannya untuk persembahan lawak, manakala Tak Pernah Hilang dan Haram pula menjadi pilihan untuk persembahan lagu.

BBB 2019 yang juga merupakan kali kedua dianjurkan menampilkan Mark Adam yang muncul juara pada tahun lalu selaku juri tetap bersama-sama dengan Saiful Apek.

Bagi menentukan pemenang, sebanyak 60 peratus markah diberikan oleh kedua-dua juri tetap berkenaan, manakala 40 peratus lagi adalah menerusi undian peminat menerusi laman web www.xtra.com.my/BBB2019.

Acara BBB 2019 bersiaran selama lapan minggu di saluran TV3 pada setiap hari Ahad bermula pada pukul 9.00 malam. – KopiPlanet.com

*Persembahan Peserta BBB 2019
1. Chiwan & Afdlin Shauki: lagu – Tiada Lagi & Angkat kaki
2. Mamak Puteh & Fikry Ibrahim: lagu – Farhana & Harapan Ramadan
3. Achey & Black: Lagu – Seniman Menangis
4. Sharif Zero & Heliza Helmi: lagu – Assalamualaikum
5. Shuk & Jihan Muse: lagu – Tak Pernah Hilang & Haram

HBO & Coffee Bean Sumbang 1,600 Kopi Percuma Inspirasi Game Of Thrones

Sempena musim terakhir Game Of Thrones (GoT) stesen penyiar rasmi di Malaysia, HBO dengan kerjasama Coffee Bean & Tea Leaf berbesar hati menyumbang 1,600 kopi percuma, Game of Thrones Espresso Cream Latte yang diinsprasi daripada drama bersiri popular itu.

Promosi itu akan berlangsung selama lapan hari bermula 13, 14, 15, 19, 20, 21, 27 dan 28 April di premis Coffee Bean & The Leaf cawangan Mid Valley, Kuala Lumpur. Setiap hari sebanyak 200 kopi percuma akan diedarkan berdasarkan konsep siapa cepat, dia dapat.

Musim terakhir GoT akan disiarkan bermula Isnin ini jam 9 malam di HBO (411/431), sama hari ditayangkan di Amerika Syarikat.

Setelah bersiaran selama tujuh musim, musim terakhir ini akan menayangkan sebanyak enam episod bagi menjawab segala persoalan mengenai perebutan takhta Westeros.

Siri yang pernah memenangi anugerah Emmy ini dibintangi Peter Dinklage, Nikolaj Coster-Waldau, Lena Headey, Emilia Clarke, Aiden Gillen, Kit Harington, Sophie Turner dan Maisie Williams.

GoT diterbitkan penerbit eksekutif, David Benioff, D.B Weiss, Carolyn Strauss, Frank Doelger, Bernadette Caulfield beserta penerbit bersama Byran Cogman, Guymon Casady, Vince Gerardis dan George R.R Martin. – KopiPlanet.com

Sambut Ulang Tahun Ke-3, CJ Wow Shop Tawar Baucar Diskaun

Sempena sambutan ulang tahun ke-3 CJ WOW SHOP, rangkaian beli-belah serba inovatif di rumah ini telah mengumumkan pelancaran kempen ‘3 Tahun Makin WOW’, yang merangkumi satu siri promosi melalui pelbagai saluran CJ WOW SHOP, termasuk platform TV, dalam talian, dan mudah alih.

Dikenali sebagai karnival beli-belah di rumah yang terbesar di Malaysia, kempen selama 3 minggu ini akan bermula dengan rancangan siaran langsung khas yang berdurasi 23 jam pada 30 dan 31 Mac di ntv7, 8tv dan TV9.

Ia akan memaparkan barisan hos kegemaran warga Malaysia termasuk Zaim Helmi, Lily Liyana, Diana Rusdi, Jimmy Shanley, Baki Zainal, Pauline Tan, Gary Yap dan lebih ramai lagi.

Di samping itu, barisan hos ini juga akan menggemparkan pelanggan dengan satu video muzik khas yang dihasilkan melalui gandingan dengan kumpulan muzik popular tanah air, Back2Basixx.

Ketua Pegawai Eksekutif MP CJ ENM Sdn Bhd, Kim Yang Hyun berkata, “Ganjaran yang kami tawarkan sepanjang kempen ini merupakan penghargaan kami kepada pelanggan lama mahupun baru.

“Merekalah yang menjadi inspirasi kami untuk mencapai potensi maksimum kami serta meningkatkan tumpuan kami supaya mampu berkhidmat bagi lebih ramai rakyat Malaysia,” katanya.

Bermula dari Mac 30 hingga 21 April 2019, pelanggan boleh menikmati lebih nilai dan penjimatan melalui promosi eksklusif berikut.*

30 – 31 Mac 2019
• BAUCER DISKAUN WOW RM30 untuk pembelian seterusnya yang bernilai RM 199 dan ke atas melalui pusat panggilan dan secara dalam talian (sah sehingga 30 Jun 2019)

• BAUCER DISKAUN WOW RM10 untuk semua pembelian produk TV melalui pusat panggilan dan dalam talian

• 5% MATA GANJARAN WOW bagi pembelian dalam talian
1 – 21 Apr 2019
• BAUCER DISKAUN WOW RM30 untuk pembelian seterusnya yang bernilai RM 199 dan ke atas melalui pusat panggilan dan secara dalam talian (sah sehingga 30 Jun 2019)

• BAUCER DISKAUN WOW RM3 untuk pembelian dalam talian

• 5% MATA GANJARAN WOW bagi pembelian dalam talian

Sejak dilancarkan pada tahun 2016, CJ WOW SHOP terus mempertingkatkan pengalaman pelanggan serta memperluas asas rakan niaga yang kebanyakannya terdiri daripada usahawan tempatan.

Demi membekalkan pembeli-belah dengan lebih pilihan, ia telah memperluas tawarannya daripada 27 produk apabila ia baru dilancarkan, kepada lebih 1,000 produk pada hari ini, termasuklah produk kelengkapan rumah, barangan elektrik, peranti elektronik, kecantikan & fesyen dan banyak lagi. – KopiPlanet.com