• FOLLOW US

Lepas 7 Tahun Berpisah, Jozan Bergabung Semula Demi Peminat

Selepas hampir tujuh tahun tidak disatukan dalam satu pentas yang sama, bermula 24 Julai ini peminat Johan dan Zizan Razak dapat melihat kemunculan semula Jozan menerusi program Lawak Live.

Menerusi rancangan selama satu jam itu, Jozan akan menghiburkan penonton dengan pelbagai kupasan segmen menarik untuk tontonan anda.

Menurut Pengurus Saluran Astro Warna, Norzeha Mohd Salleh, gabungan dua pelawak popular itu sememangnya ditunggu-tunggu semua pihak selain ingin memenuhi permintaan peminat yang sudah lama merindukan keletah duo ini di kaca televisyen.

“Sebenarnya sudah beberapa tahun kami cuba dapatkan Jozan dan Alhamdulillah akhirnya dapat direalisasikan pada tahun ini. Sebelum ini, jadual kerja mereka yang ketat menyebabkan usahasama ini tidak dapat dijalankan dan sekarang merupakan masa yang tepat untuk menggembalikan semula kegemilangan Jozan.

“Uniknya program Jozan ini, ia merupakan satu-satunya program siaran langsung di Astro Warna yang tidak terikat dengan sesuatu format. Kami membawakan pelbagai bentu pengisian hiburan komedi seperti nyanyian, sketsa, cabaran santai, debat komedi, bual bicara dan pelbagai lagi yang akan bertukar-tukar pada setiap minggu, bersesuaian dengan topik pada minggu tersebut,” katanya kepada KopiPlanet.com.

Norzeha ditemui pada majlis pelancaran Lawak Live: Jozan yang telah berlangsung di Black Bull, Avenue K, Kuala Lumpur baru-baru ini.

 

Sementara itu, Johan menyifatkan penyatuan semula Jozan ini sebagai hadiah mereka buat peminat setia yang sudah lama merindui kemunculan mereka.

“Kali terakhir saya ada program bersama Zizan pada tujuh tahun lalu. Selepas itu, kami hanya bekerjasama melalui acara atau majlis luar sahaja. Apabila dapat tawaran untuk program ini, saya terus terima sebab tertarik dengan idea konsep yang digunakan.

“Program ini ada 40 episod dan ia sesuatu kerja yang panjang serta memberi peluang untuk saya memperbaiki kelemahan setiap episod,” katanya yang juga bergelar penyampai radio Era.

Zizan pula berkata program ini akhirnya menjawab pertanyaan peminat yang sentiasa bertanyakan bila mereka akan kembali bergabung.

“Kami kembali bergandingan disebabkan permintaan daripada peminat yang nak kami disatukan semula dalam satu pentas. Saya pun dah lama tiada program bual bicara selain rindu nak bekerja dengan Johan,” ujarnya.

Lawak Live: Jozan akan disiarkan pada setiap Selasa bermula 24 Julai ini, jam 10 malam di saluran Astro Warna (132), Warna HD (124) dan aplikasi digital Astro Go dan On Demand. – KopiPlanet.com

ICSYVMY: Program TV Artis Teka Siapa Penyamar & Penyanyi Sebenar

Lain daripada kebiasaan program realiti nyanyian di Malaysia, I Can See Your Voice Malaysia (ICSYVMY) berkonsepkan rancangan di mana artis jemputan perlu meneka dengan betul siapa di antara peserta yang terlibat merupakan penyamar ataupun penyanyi sebenar.

Diadaptasi dari program realiti popular Korea Selatan, ICSYVMY mengikut 100 peratus format asal dari negara asalnya.

Menggandingkan dua hos, Shuk Sahar dan Alvin Chong, ia dilihat dapat menarik perhatian penonton dalam memberikan kandungan program televisyen yang berbeza buat peminat tempatan.

Menurut Pengurus Besar Pengurusan Jenama, Intergrasi Digital dan Perolehan, Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, Zurina Othman, ICSYVMY sebelum ini telah dibuat dalam versi bahasa Mandarin yang mendapat sambutan hangat daripada penonton.

“Rancangan ICSYVMY ini bukan sahaja berkonsepkan hiburan, ia juga merupakan tempat untuk mereka yang tidak boleh menyanyi dan bersuara sumbang untuk memenangi sesuatu. Kerana sambutan hangat dalam versi bahasa Mandarin yang kini sudah memasuki musim kedua di 8TV, kami yakin versi bahasa Malaysia ini akan mendapat sambutan khalayak ramai,” katanya kepada KopiPlanet.com.

Zurina ditemui pada majlis pelancaran ICSYVMY di The Starling Mall, Damansara baru-baru ini.

Selain Shuk dan Alvin, rancangan ini akan dimeriahkan dengan kemunculan penyiasat tetap iaitu Jihan Muse, Mark Adam dan Seelan Paul.

Bagi setiap episod, seorang artis jemputan dan dua orang penyiasat jemputan akan diundang untuk memeriahkan lagi suasana di set ISCYVMY.

Ia menjadi tugaas para penyiasat untuk membantu artis jemputan mendedahkan penyanyi misteri yang mereka rasa adalah penyamar bersuara sumbang.

Setiap penyanyi misteri yang disingkir akan ke pentas penentuan di mana mereka akan mendedahkan suara sebenar masing-masing. Jika penyanyi misteri terakhir merupakan penyanyi sebenar, mereka akan menyertai Showcase ICSYVMY. Namun sebaliknya jika penyanyi terakhir merupakan penyamar, dia akan membawa pulang RM3,000.

ICSYVMY akan ditayangkan pada setiap Sabtu mulai 4 Ogos ini, jam 8.30 malam di saluran ntv7.

Antara barisan artis yang mewarnai ICSYVMY ialah seperti Cakra Khan, Pasha Ungu, Virgoun, Wany Hasrita, Misha Omar, Dayang Nurfaizah, Ayda Jebat, Kaka Azraff, Faizal Tahir, Ziana Zain, Hazama, Black dan kumpulan De Fam. – KopiPlanet.com

Kredit foto: Instagram Xtra

Bacaan Taranum Jadi Kriteria Utama Pemilihan Peserta Dai’ 6

Setelah dianjurkan selama lima musim, program realiti yang melahirkan pendakwah muda berkaliber, Dai’ kini diteruskan untuk musim ke-6.

Penerbit Dai’ 6, Shukri Ibrahim berkata, biarpun konsep pertandingan sama seperti musim-musim sebelumnya, namun ada beberapa pembaharuan yang cuba dilakukan dalam pemilihan peserta.

“Untuk kali ini kami tidak melihat kepada kemampuan menyampaikan tazkirah sahaja, tetapi kami turut menekankan kepada bacaan ayat Al-Quran.

“Dalam setiap tazkirah yang disampaikan perlu diselitkan petikan ayat Al-Quran berdasarkan tajuk tazkirah dan paling utama bacaannya haruslah mengikut taranum,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa majlis pelancaran dan memperkenalkan barisan 10 peserta yang akan bersaing merebut gelaran juara.

Antara peserta yang akan bertanding adalah Da’i Syahmi, Da’i Imran, Da’i Amirul, Da’i Wafi, Da’i Adam, Da’i Haziq, Da’i Danial dan Da’i Hafiz serta dua peserta wanita iaitu Da’i Raisyah dan Da’i Syazwani.

Bercerita lebih lanjut mengenai pemilihan peserta, Shukri memberitahu bahawa seramai 600 peserta telah menjalani proses ujibakat di lapan buah lokasi terpilih.

“Boleh dikatakan ramai yang hadir ke ujibakat telah menonjolkan kelebihan masing-masing, cuma kebanyakannya gagal dari segi taranum ketika membaca petikan ayat Al-Quran.

“Itu juga antara menjadi penyebab utama kami hanya dapat memilih dua orang peserta wanita sahaja yang berjaya memenuhi kriteria yang ditetapkan,” jelasnya.

Untuk saingan kali ini, Da’i 6 menampilkan Datuk Ustaz Mohd. Zawawi sebagai Mursyid serta Ustaz Harryanto Rizal Rokman dan Ustaz Fakhrul Radhi Khamarudin selaku Murrabi.

Sementara itu, tugas juri pula disandang Ustaz Mohamad Zarifi Mohamad Daud dan Profesor Madya Dr. Sharifah Haayati Syed Ismail dengan penilaian berdasarkan pengisian Al-Quran & Hadis, gaya dan susunan isi serta kreativiti persembahan.

Masih mengekalkan Datuk Rosyam Nor sebagai hos dan dibantu oleh finalis Da’i musim kedua iaitu Da’i Izzhar, Da’i 6 akan bersiaran secara langsung mulai 20 Julai 2018 pada setiap Jumaat bermula pukul 9.00 malam.

Juara program realiti tersebut akan membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM60,000, manakala RM15,000 untuk pemenang tempat kedua dan RM10,000 bagi peserta yang muncul pemenang tempat ke-3. – KopiPlanet.com

Meriah Bersama: Astro Gabung Kemeriahan Raya Dan Piala Dunia

Bersempena kedatangan bulan Syawal yang tinggal beberapa hari sahaja lagi, stesen televisyen berbayar, Astro tampil dengan pelbagai variasi program menarik untuk dihidangkan kepada penonton setia mereka.

Antaranya, sajian pelbagai drama menarik yang pastinya menggamit peminat setia drama tempatan.

Drama yang paling ditunggu-tunggu pastinya gandingan mantap dua pelakon popular, Neelofa dan Zul Ariffin menerusi naskhah Ti Amo Sweetheart 100 Hari! yang akan bersiaran dari 15 hingga 19 Jun pada jam 7 malam.

Selain itu, drama yang mendapat rating tinggi di Astro Ria, Awak Suka Saya Tak turut tampil dengan versi raya mereka. Masih mengekalkan gabungan asal hero dan heroinnya, Alvin Chong serta Emma Maembong. Drama raya ini memaparkan cabaran yang perlu dilalui pasangan ini selepas sah bergelar suami-isteri.

Untuk tayangan malam raya, Astro menerusi saluran khas raya iaitu Raya HD 122 akan menayangkan Bonanza Raya. Rancangan itu menawarkan pelbagai hadiah hebat termasuklah wang tunai untuk dimenangi dengan hanya menjawab soalan mudah yang bakal dipaparkan.

Tidak ketinggalan, Astro juga menyajikan rancangan hiburan dan muzikal seperti Gegar Raya Vaganza, Caca Marba Glamour Raya dan Rumah Terbuka AF.

Menurut Naib Presiden & Ketua Bahagian Melayu dan Nusantara, Kumpulan Kandungan Astro, Datuk Khairul Anwar Salleh, kesemua program yang disiarkan ini pastinya dapat menepati selera kesemua pelanggan Astro dari pelbagai peringkat umur.

“Memanfaatkan semangat kemeriahan dan kebersamaan ini, Astro menyemarakkan lagi pengisian kempen ‘Meriah Bersama’ dengan menghimpunkan program-program terhebat merangkumi rancangan hiburan, kandungan premium dan digital termasuklah liputan sukan dan berita di kesemua platform yang kami miliki.

“Sebagai tanda penghargaan, kami bawakan juga saluran Raya HD istimewa untuk semua para pelanggan tanpa sebarang bayaran tambahan sepanjang Syawal. Pastinya sambutan raya pada tahun ini akan lebih bermakna dengan penawaran kandungan Astro yang amat komprehensif,” katanya kepada KopiPlanet.com.

Khairul ditemui pada majlis Previu Program Meriah Bersama Raya Astro 2018 di Hotel Majestic, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Selain menyajikan program raya, Astro turut tidak melupakan demam Piala Dunia Rusia 2018 yang berlangsung serentak dengan bulan Syawal.

“Khas buat peminat sukan bola sepak pula, sambutan Aidilfitri tentunya lebih meriah dengan liputan komprehensif kesemua 64 perlawanan yang dibawakan secara eksklusif oleh Astro selaku penyiar ramsi Piala Dunia FiFa 2018 di Rusia yang kebetulan jatuh sewaktu musim perayaan ini,” katanya. – KopiPlanet.com

Drama, Filem Menarik Sajian Program Syawal Media Prima

Menerusi kempen Terima Kasih buat tahun kedua, Rangkaian Televisyen Media Prima (MPTN) menyajikan pelbagai rancangan menarik bagi meraikan Syawal tahun ini.

Antaranya seperti telefilem khas sempena Aidilfitri, drama bersiri popular dan variasi filem box office dari dalam mahupun luar negara.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MPTN, Johan Ishak, program-program raya ini pasti dapat mengeratkan lagi hubungan seluruh isi rumah untuk duduk bersama di hadapan kaca tv.

“Selaku platform nombor satu pilihan rakyat Malaysia, Rangkaian Televisyen Media Prima komited dalam memastikan kualiti program hiburan dan kekeluargaan sepanjang Syawal ini.

“Kami juga ingin mengucapkan terima kasih kepada pengunjung acara padang, bazar Terima Kasih dan Jom Masjid yang sanggup meredah cuaca terik dan hujan demi memberi sokongan apa kami lakukan sepanjang satu hari di dua lokasi iaitu Sungai Petani,Kedah dan Melaka.

“Sumbangan pembelian juadah berbuka sudah disalurkan ke rumah kebajikan terpilih bagi meringankan beban mereka,” katanya kepada KopiPlanet.com.

Johan ditemui pada majlis tayangan program Syawal di rangkaian televisyen Media Prima, TV3, TV9 dan ntv7 yang diadakan di Hotel New World, Petaling Jaya baru-baru ini.

Antara drama rantaian popular yang mendapat rating tinggi di TV3, Andainya Takdir kini kembali dengan siri kedua, Andainya Takdir 2. Mula bersiaran pada 13 Jun ini, drama yang dibintangi Syukri Yahya, Nina Iskandar dan Idris Khan disiarkan pada setiap hari Rabu hingga Jumaat jam 9 malam.

Filem pecah panggung terbitan Grand Brillance, J Revolusi pula akan ditayangkan pada malam raya (14 Jun) jam 10 malam. Ia dibintangi barisan pelakon hebat seperti Zul Ariffin, Nur Fazura, Izara Aishah dan Farid Kamil.

Untuk seleksi filem antarabangsa, The Avengers, Real Steel dan Jurassi Park III pula akan ditayangkan pada minggu kedua Syawal bagi memberikan variasi pilihan kepada semua penonton. – KopiPlanet.com

Kempen Syukur Selalu Anjuran MPTN Diteruskan Tahun Kedua

Tidak dinafikan kempen Syukur Selalu dengan tagline Terima Kasih anjuran rangkaian Televisyen Media Prima Berhad (MPTN) pada tahun lalu mendapat sambutan positif penonton.

Justeru itu, Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, Encik Johan Ishak menyatakan kempen berkenaan diteruskan untuk tahun kedua sepanjang bulan Ramadan dan Syawal.

“Tahun lalu kita mendidik orang ramai tentang kepentingan ungkapan terima kasih. Tahun ini, MPTN menyediakan platform terbaik kepada penonton untuk mengekspresikan ungkapan terima kasih mereka dalam bentuk perbuatan.

“Selain itu, MPTN mahu bersama-sama dengan penonton sepanjang bulan Ramadan dan Syawal dengan menyajikan pelbagai program hebat yang menghibur dan mendidik penonton agar menjadi insan yang sentiasa bersyukur dengan kurniaan ilahi,” ujarnya.

Ujarnya, bagi menghiburkan penonton-penonton setia MPTN sepanjang bulan Ramadan dan Syawal, TV3 dan TV9 turut menghidangkan program-program baharu yang merangkumi genre drama, Raudhah dan gaya hidup.

Tidak ketinggalan ntv7 sebagai saluran yang lebih hip dan segar turut mengambil bahagian dalam kempen berkenaan dengan membawa tema ‘Feeling Ramadan dan Feeling Raya ntv7’.

“Sudah tentu tidak lengkap sesebuah kempen tanpa duta-duta yang bakal membawa imej keseluruhan kempen. #TerimaKasih 2018 menampilkan nama-nama besar dalam industri hiburan negara sebagai duta.

“Duta TV3 & TV9 terdiri daripada Amar Baharin, Amyra Rosli bersama putera comel mereka, Aqeef Anaqi di samping Izzue Islam, Farah Nabilah, Remy Ishak dan Puteri Aishah manakala ntv7 diwakili oleh Erwin Dawson dan Azira Shafinaz. Selain itu, Remy Ishak dan Puteri Aishah juga terlibat dalam filem Pulang yang bakal ditayangkan di pawagam tidak lama lagi,” jelasnya.

Menurutnya lagi, duta-duta tersebut memainkan peranan penting sebagai wajah menyampaikan mesej kempen Terima Kasih di kaca TV, papan iklan dan pesanan khidmat masyarakat. Mereka juga akan turut menjayakan aktiviti padang iaitu Bazar Terima Kasih, Jom Masjid dan Anggun Life.

Tambah beliau, MPTN berkolaborasi dengan Faizal Tahir untuk menghasilkan sebuah dokumentari muzik menerusi lagu ciptaannya berjudul Starfeather yang turut diangkat sebagai lagu tema kempen Terima Kasih tahun ini. – KopiPlanet.com

Berikut merupakan program-program menarik sepanjang Ramadan di rangkaian MPTN:

Astro Beri Dua Saluran Percuma Untuk Tayangan Ramadan Dan Raya

Stesen televisyen berbayar Astro memperkenalkan dua saluran percuma sempena merai kedatangan bulan Ramadan dan Syawal tahun ini.

Dua saluran tersebut akan menayangkan kandungan program Ramadan dan Syawal selari dengan tema Meriah Bersama yang dipilih untuk tahun ini.

Naib Presiden & Ketua Bahagian Melayu dan Nusantara, Kumpulan Kandungan Astro, Datuk Khairul Anwar Salleh berkata, kandungan program untuk tahun ini mengikut permintaan penonton selain memasukkan kandungan yang sarat dengan mesej-mesej positif.

“Astro sentiasa berhasrat memberikan program-program terbaik untuk ditonton, didengari dan dan dilayari pelanggan setia kami dan bulan Ramadan tidak terkecuali.

“Sedar akan tanggungjawab besar dalam mendidik penonton kami dengan program-program yang mampu menyemarakkan nilai-nilai murni dalam diri mereka, kami bertindak sebagai sebuah wahana penyampaian kandungan Islam yang unggul buat penonton.

“Kami merasakan bahawa tema ‘Meriah Bersama’ yang dipilih ini bertepatan dengan usaha kami untuk menghargai pelanggan yang selama ini setia bersama kami.

“Tema ini beri maksud yang sangat meluas dan ia menggambarkan kegembiraan yang dikongsi bersama setiap lapisan masyarakat tanpa mengira latar belakang masing-masing,” katanya ketika ditemui pada majlis tayangan Program Ramadan 2018 Astro di Restoran Wow KL, Kuala Lumpur hari ini.

Saluran khas Ramadan HD (saluran 122) boleh dinikmati secara percuma kepada semua pelanggan Astro mulai 12 Mei ini.

Saluran itu kemudiannya akan dipanjangkan ke musim perayaan menerusi saluran Raya HD dari 14 Jun hingga 15 Julai depan.

Menerusi saluran itu, ia bakal menyajikan seleksi program Ramadan dan Syawal terbaik yang disusun merangkumi pelbagai genre berbeza.

Sebanyak 38 program menarik telah disusun untuk santapan rohani penonton antaranya, Diari Ramadan Neelofa, Resepi Memikat Isteti musim kedua, Al Kauthar: Sentuhan Qalbu yang dikemudikan oleh Ustaz Don Daniyal.

Selain itu, peminat drama Melayu tidak dilupakan apabila dua slot drama ditayangkan pada waktu perdana jam 7 dan 10 malam pada setiap Isnin hingga Jumaat.

Drama Pengantin Musim Salju yang dibintangi Alif Satar dan Siti Nordiana akan ditayangkan jam 7 malam manakala Rahsia Hati Perempuan gandingan Hisyam Hamid dan Mira Filzah pula disiarkan pada pukul 10 malam. – KopiPlanet.com

Protege & Mentor Otai Diperkenalkan, Tawar Hadiah RM170,000

Program rancangan mencungkil bakat nyanyian, Mentor Otai telah memperkenalkan barisan mentor dan protege yang akan bersaing dalam rancangan Mentor Otai yang memulakan saingan pada 18 Mac ini.

Pengurus Besar Pengurusan Jenama, Integrasi Digital Dan Perolehan, Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, Zurina Othman berkata, barisan peserta kali ini lebih berumur berbanding edisi-edisi mentor yang lalu.

“Kami berharap agar penonton dapat memberi peluang kepada para protege Mentor Otai ini untuk menunjukkan bakat dan mencapai impian mereka.

“Ini bukanlah sesuatu yang mustahil kerana barisan mentor kami adalah daripada mereka yang sudah berpengalaman dalam industri muzik tanah air,” ujarnya.

Dalam satu majlis pelancaran yang berlangsung di Hard Rock Cafe petang tadi, empat orang mentor telah diperkenalkan iaitu Tam Spider, Siti Sarah, Misha Omar dan Zarul Umbrella.

Untuk setiap mentor, terdapat tiga orang peserta yang akan merebut hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah RM170,000. Juara akan membawa pulang RM100,000, nab juara RM50,000 dan tempat ke-3 memenangi hadiah RM20,000.

Untuk saingan pada kali ini, Edry Abdul Halim dan Mark Adam bertindak selaku juri, manakala Elly Mazlein dan Haziq Hot FM dipilih menjadi pengacara.

Mentor Otai akan bersiaran di TV3 selama tujuh episod di Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral setiap hari Ahad jam 9.00 malam. – KopiPlanet.com

GenF: 10 Jenama Bersaing Rebut Gelaran Pereka Fesyen Unggul

Menampilkan kelainan, Astro kali ini mengenengahkan sebuah program realiti pencarian pereka fesyen unggul, GenF bagi mengiktiraf bakat-bakat yang dimiliki oleh kesemua peserta.

Sebanyak 10 jenama bakal berasing untuk merebut gelaran Juara GenF untuk musim pertama ini. Setiap jenama akan diwakili dua orang pereka fesyen yang bergabung tenaga, kemahiran dan kreativiti untuk menghasilkan rekaan terbaik.

Menurut Ketua Saluran Melayu Astro, Raqim Ahmad, program ini adakan bagi melahirkan pereka fesyen yang berilmu untuk menghasilkan rekaan yang mempunyai nilai tinggi dan mahir dengan strategi berkesan untuk mengaut keuntungan daripada rekaan yang dihasilkan.

“Perkembangan pesat industri fesyen tanah air tidak boleh disangka. Senario positif ini turut disemarakkan oleh kemeriahan penganjuran pelbagai acara fesyen tempatan yang bertaraf dunia sekali gus menyaksikan kemunculan pelbagai jenama tempatan yang menguasai pasaran utama di Malaysia.

“Nilai kebergantungan dunia hiburan dan fesyen amat tinggi dan saling melengkapi. Melihat kepada potensi pasaran komersial ini, Astro selaku peneraju kandungan utama ingin melakar inisiatif baharu dengan menyediakan platform kepada pereka-pereka muda ini untuk berkarya dan membina legasi yang boleh melonjakkan jenama mereka ke peringkat yang lebih tinggi di samping mampu bertahan lama dalam bidang ini,” katanya.

GenF bakal disiarkan pada setiap Ahad bermula 11 Mac ini, jam 9 malam di Astro Ria (104) dan Astro Ria HD (123) akan menyaksikan penampilan pereka fesyen tersohor, Datuk Rizalman Ibrahim dan pengasas FashionValet, Vivy Yusof selaku juri tetap dan mentor.

Sistem penjurian adalah 100% ditentukan oleh barisan juri yang akan menilai para peserta berdasarkan tiga kriteria utama, iaitu dari segi idea, kemahiran serta personaliti yang ditampilkan peserta.

Bagi membantu peserta dari sudut teknikal dan kreativiti, program ini juga menampilkan khidmat nasihat dua orang pakar fesyen iaitu Zaihani Mohd Zain dan pensyarah kanan fesyen, Faizal Hamid.

Yang menariknya, rancangan ini turut memberi kepercayaan kepada pelakon Hisyam Hamid yang akan bertindak selaku hos.

Juara GenF akan membawa pulang wang tunai bernilai RM100,000 sumbangan Astro beserta koleksi kapsul tajaan FashionValet. – KopiPlanet.com

10 Peserta Yang Bersaing Dalam GenF:

1. JENAMA: KAHOU
Vincent Hou & Yoong Jia Yi

2. JENAMA: LOLO
Lorenzo Peh & Kong Jia Hui (Ivy)

3. JENAMA: HN
Hanif Naim & Filzah Zaidi

4. JENAMA: WAN & MARY
Hazzerwan Lee & Mariam Musa

5. JENAMA: CALAQISYA
Farah Azrina Khairuddin & Hadi Aizat

6. JENAMA: JUBAHSOUQ
Fameiza Kasim & Fatin Sakinah

7. JENAMA: RIDZUAN ALIAS
Ridzuan Alias & Nasyreen ’Amirah

8. JENAMA: LARF
Allif Firdaus (Latifi) & Faiz Ripin (Black)

9. JENAMA: SETH & LUNA
Jimiey Whang & Irie Mohamed

10. JENAMA: CLOTHESOLOGY
Aynaa Manan & Mujahidah

Drama Mistik Hindi, Naagin Berjaya Raih 11 Juta Tontonan

Drama Hindi bergenre mistik pertama menerusi slot Sonia, Naagin mencipta sejarah tersendiri apabila berjaya meraih sebanyak 11 juta tontonan sepanjang bersiaran selama 62 episod.

Selain mencipta kejayaan menerusi saluran TV3, drama yang bersiaran setiap hari Isnin hingga Khamis pada pukul 4 petang bermula 6 November lalu 2017 itu turut menarik hampir 300,000 jumlah pelawat di portal video tonton, www.tonton.com.my.

Naagin yang mengisahkan cinta di antara ular jadian dan manusia ini diterbitkan oleh Ekta Kapoor dan membariskan pelakon-pelakon popular di India seperti Mouni Roy (watak Shivanya), Arjun Bijani (Ritik), Adaa Khan (Shesha) dan Sudha Chandran (Yamani).

Plot cerita ini bermula apabila Shivanya, ular jadian ingin membalas dendam terhadap keluarga Ritik yang telah membunuh bapanya dengan kejam.

Berpura-pura baik dengan keluarga Ritik, akhirnya Shivanya berjaya menikahi lelaki tersebut demi melunaskan dendamnya untuk membunuh bapa Ritik yang telah mengambil nyawa bapanya secara tragis.

Pengisian dan plot yang menarik menjadi rencah kepada kejayaan drama Naagin yang turut mencipta fenomena tersendiri di negara mereka.

Drama bersiri ini juga pernah melakar kejayaan besar di beberapa anugerah pada tahun 2016 di India seperti Golden Petal Awards (Best TV Show), 16th Indian Televison Academy Awards (Best Serial & Best Actress – Mouni Roy) dan 9th Boroplus Gold Awards (Best Thriller Award, Best Actress – Mouni Roy, Best Actor- Arjun Bijani dan Best Antagonist – Aada Khan).

Bagi sesiapa yang terlepas menonton drama bersiri hebat ini, anda boleh layari portal video, www.tonton.com.my. – KopiPlanet.com