Cerita ArtisHiburan

Dahulu Nasyid, Zakiy Hanafi Kini Tampil Dengan Pop Rock

Siapa sangka alunan bacaan ayat suci Al-Quran dan nyanyian lagu nasyid serta lagu artis popular yang dimuat naik di Instagram membuka ruang dan peluang kepada Zakiy Hanafi menonjolkan bakat yang ada dalam diri.

Mesej peribadi (DM) yang diterima membolehkan dirinya kini melangkah setapak lagi apabila kini bergelar penyanyi profesional di bawah syarikat rakaman True Faith Creative seterusnya diberi peluang merakamkan single sulung.

Zakiy, 25, atau nama sebenarnya Mohammad Zakiuddin Hanafi mengakui tidak pernah menjangka sama sekali akan melangkahkan kaki ke dunia glamor.

Malah, single Pendam hasil ciptaan Adi Pawana dan Pown Hasril serta lirik oleh Adi Pawana yang dilancarkan pada 5 Jun lalu itu adalah berentak pop rock yang benar-benar keluar dari zon selesa dirinya.

“Ini single pertama saya, sebelum ini saya menyanyi juga tetapi dalam genre nasyid. Sejujurnya, saya tidak pernah terfikir pun nak masuk industri ini secara mainstream. Kisahnya bermula selepas tamat pengajian di Maahad Qiraat Shoubra, Mesir pada Oktober tahun lalu.

“Selepas pulang dari Mesir saya mengadakan program siri jelajah di Perak. Ketika sedang berehat saya mendapat DM daripada Fadly Yusof iaitu pengurus Khai Bahar dan dia menyatakan hasrat membawa saya masuk dalam bidang ini selepas melihat nyanyian saya di IG. Khai pernah memberitahu dia yang saya meminatinya dan menyanyikan lagunya. Sejak dari itu Fadly selalu melihat nyanyian saya,” jelasnya.

Ujar Zakiy, susulan daripada itu pertemuan pertama mereka berlangsung semasa sesi pelancaran muzik video Ratuku nyanyian Khai dan selepas perbincangan dibuat, secara rasmi dia menyertai syarikat rakaman tersebut pada 1 Januari lalu.

Menurutnya, sebagai seorang bekas penuntut di Darul Quran JAKIM, Kuala Kubu Bharu, dia menyahut cabaran diberikan dengan menyanyikan genre pop rock.

“Sebagai pendatang baharu dalam bidang ini saya percaya syarikat rakaman ada strategi dan perancangan tersendiri. Jadi, saya terima apa yang diputuskan mereka untuk kerjaya saya. Cuma, difahamkan saya mahu dibawa keluar dari genre nasyid dan menjadikan saya penyanyi versatile.

“Saya akui lama juga fikir mengenai perkara ini. Malah, saya ada bertanya dan minta pandangan daripada artis nasyid lain. Ada yang beri kata-kata positif dan tidak kurang juga yang menentang. Alasan sebab saya ada latar belakang agama dan seorang qari,” jelasnya.

Bagaimanapun, dia menyatakan setiap pandangan ia diterima dan mengambilnya dari sudut positif memandangkan keputusan itu berkaitan dengan dirinya.

“Bagi saya, ini peluang untuk luaskan lagi penyampaian mesej positif bukannya kepada satu kelompok peminat muzik semata-mata. Malah, ia disampaikan dalam pelbagai cara yang lebih kreatif,” katanya.

Menariknya, Zakiy yang juga bekas finalis program Akademi Al Quran musim kelima pada 2011 yang ditayangkan di TV9 tidak mengambil masa lama untuk merakamkan lagu Pendam itu.

“Lagu ini sangat mencabar sebab nak dapatkan suara yang betul sesuai dengan genre. Saya nak orang faham, qari tak semestinya boleh menyanyi, begitu juga penyanyi tak semestinya boleh mengaji. Tidak ramai boleh buat kedua-duanya dalam masa yang sama.

“Jadi, saya cuba nak beri kefahaman kepada warganet yang mana saya boleh mengklasifikasikan tarannum dalam al-Quran ada tujuh dan lagu pula dalam pelbagai genre. Apabila mengaji saya boleh ikut ‘tune’ mengaji, begitu juga sebaliknya.
Kiranya, tak bercampur.

“Cuma cabaran saya adalah jarang menyanyikan lagu genre sebegini. Lagu ini mengambil masa empat jam proses rakaman. Apa yang lebih menarik lagi, lirik lagu ini sarat dengan mesej positif di mana ia diadaptasi dari ayat Al-Quran. Alhamdulillah, ia dilancarkan 5 Jun lalu walaupun tarikh asal lebih awal. Namun, disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), ia ditunda termasuk penggambaran muzik video,” katanya. — KopiPlanet.com

Apakah reaksi anda?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button