
Dilihat Miliki Potensi Besar, Odda Kini Bersama SN Legacy… Pertaruh Single Sulung ‘Gelanggang Rasa’
Industri muzik tanah air bakal diserikan lagi dengan kehadiran permata baharu, Odda, yang mempertaruhkan single solo pertamanya berjudul ‘Gelanggang Rasa’.
Dilahirkan sebagai seorang anak seni yang serba boleh, bakat muda ini kini bersedia mengukuhkan jenamanya di bawah naungan syarikat SN Legacy Sdn Bhd.
Melihat kepada landskap industri hari ini, SN Legacy menyedari potensi besar yang dimiliki oleh Odda. Beliau bukan sekadar seorang penyanyi, malah merupakan bakat muda versatil yang terlibat dalam dunia lakonan, pengacaraan dan juga sebagai model kempen serta komersial.
Pakej lengkap serta karisma semula jadi yang ada pada Odda meletakkan beliau sebagai salah seorang pelapis seni yang mempunyai masa depan yang cerah.
Single Gelanggang Rasa menampilkan irama pop kontemporari dengan suntikan elemen R&B yang sesuai dengan identiti muzik Odda.
Lagu ini merupakan hasil ciptaan Micu Ellis dan Mingaling dan lirik oleh Micu Ellis bersama Aril Armani. Lagu ini diterbitkan oleh Mingaling.
Berkongsi pandangannya mengenai single sulung ini, Odda meluahkan rasa keterujaan dan kesyukuran atas peluang yang diberikan.

“Apabila pertama kali mendengar demo Gelanggang Rasa, saya tahu ini adalah jiwa saya. Lagu ini menceritakan tentang bagaimana kita semua berjuang dengan perasaan sendiri dalam menempuh fasa kehidupan,’’ ujar Odda.
“Sebagai pertaruhan single solo pertama, saya meletakkan sepenuh hati dan jiwa dalam proses rakaman. Saya berharap lagu ini dapat menjadi titik permulaan yang baik untuk saya menapak lebih jauh dalam industri muzik, sekaligus menyentuh hati sesiapa sahaja yang mendengarnya.” sambung Odda.
Gelanggang Rasa menggambarkan kebebasan serta keyakinan untuk mencari diri dan melepaskan segala bebanan yang ada.
Para peminat boleh mula mendengarkan Gelanggang Rasa di semua platform penstriman digital bermula 22 Julai 2026 dan Universal Music Sdn.Bhd. merupakan pengedar untuk lagu ini.
Video muzik Gelanggang Rasa yang mendapat sentuhan pengarah Fiq Zakaria dan bakal dilancarkan 22 Julai 2026, jam 9 malam di saluran YouTube Universal Music Malaysia. – KopiPlanet.com



