• FOLLOW US
Event, Hiburan

Ella Buat Kelainan Tampil Konsert Unplugged Buat Kali Pertama

Ratu rock negara, Norzila Aminuddin atau Ella bakal membuat kelainan apabila tampil dengan konsert unplugged sulung yang bakal berlangsung pada bulan Mac 2019.

Sepanjang 35 tahun melibatkan diri dalam bidang seni, ini merupakan konsert unplugged sepenuhnya yang bakal dijayakan penyanyi tersebut.

Menariknya lagi, Ella turut akan menyanyikan lima buah lagu Asli bagi memberikan pembaharuan terhadap persembahan pentasnya.

“Ini merupakan kali pertama konsert secara unplugged sepenuhnya yang akan dijayakan oleh saya.

“Sedikit gementar juga untuk bawakan lagu bergenre Asli tapi saya akan cuba yang terbaik. Antara lagu Asli yang sudah berada dalam senarai ialah lagu nyanyian Allahyarham Tan Sri S.M Salim berjudul Tak Seindah Wajah.

“Walaupun jarang menyanyikan lagu Asli tapi kalau nak tahu saya sebenarnya sangat meminati genre muzik Asli dan kalau boleh saya nak belajar lebih banyak lagi mengenai muzik jenis ini,” katanya kepada KopiPlanet.com.

Ella ditemui pada majlis sidang media konsert Ella Unplugged In KL yang berlangsung di Matic, Jalan Ampang, Kuala Lumpur semalam.

Ella Unplugged In KL akan berlangsung selama tiga hari bermula 29, 30, dan 31 Mac depan di Panggung Sari, Istana Budaya.

Sementara itu penganjur Projek Ella, Mohammad Rafie Sarudin berkata, pihaknya sentiasa ingin mengentengahkan kembali penyanyi yang sudah lama tidak membuat konsert untuk kembali ke persada tersebut.

Pemilihan Ella dilihat bersesuaian dengan kelainan yang ingin dibawa apabila muzik rock bergabung dengan muzik melayu asli.

“Pihak kami suka berikan kelainan dan untuk konsert kali ini kami bawakan Ella sebagai hadiah untuk peminat setianya.

“Jika konsert ini berjaya, kami mungkin akan jenamakan konsert unplugged Ella ini dengan mengadakan jelajah di seluruh negara dan ke negara jiran,” katanya.

Tiket-tiket early bird berharga RM159, RM169, RM189, RM289, RM389, dan RM489 (meet & greet) akan mula dijual di laman sesawang www.proticket.com.my. – KopiPlanet.com

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Send this to a friend