Cerita ArtisHiburan

Ella & Suami Akan Melawat Ke Kem Pelarian Di Lubnan

Ratu rock negara, Ella dan suaminya Kapten Azhar Ghazali bakal melawat ke kem pelarian rakyat Palestin dan Syria yang terletak di Lubnan pada 25 hingga 30 April ini.

Menurut Ella, lawatan tersebut dibuat sebagai misi kemanusian setelah dia dan suami dilantik selaku ikon Kedamaian Kemanusiaan Berhad (KKB).

“Sebenarnya saya dah lama mahu terlibat dalam misi kemanusian sebegini. Sebelum ini, saya pernah mendapat peluang untuk ke Palu, Indonesia, tetapi kekangan masa tidak mengizinkan.

“Sepanjang berada di Lubnan, saya akan berpeluang untuk melihat sendiri realiti kesengsaraan yang dilalui oleh mangsa pelarian dan saya akan kongsikan pengalaman itu bersama rakyat Malaysia,” jelasnya.

Menurut Ella, dengan pembabitan menerusi program kemanusiaan sebegini, ia menjadi sebahagian tanggungjawab sebagai seorang artis agar memberi kesedaran kepada masyarakat untuk membantu golongan memerlukan, terutama yang menjadi mangsa peperangan.

Dalam pada itu, Ella memberitahu untuk lawatan tersebut dia dan suami sudah membuat persediaan dari segi mental dan fizikal.

“Apa yang paling penting ada persediaan dari segi menjaga emosi kerana kami akan melihat kehidupan mereka di kem pelarian yang penuh dengan kesengsaraan,” jelasnya.

Sehubungan itu, bagi menjayakan misi kemanusiaan berkenaan, Ella dan suami akan sama-sama bekerjasama dengan pihak KKB untuk menjayakan kempen #1follower1ringgit.

Ujar penyanyi berkenaan, menerusi pelancaran kempen tersebut dia berharap rakyat Malaysia dapat menyumbang seikhlas hati dengan minima RM1 seorang dalam membantu mangsa pelarian.

“Mungkin RM1 bukan jumlah yang banyak bagi setiap individu, tetapi apabila ramai yang bergabung untuk menyumbang,  misi dan objektif ini boleh tercapai,” ujarnya.

Sementara itu, Pengarah KKB, Prof. Madya Dr. Roslan Ahmad berkata, kempen berkenaan dibuat agar mereka dapat menyediakan persekitaran pembelajaran yang baik terutama dalam kalangan pelarian kanak-kanak.

“Jika kutipan dibuat memberangsangkan, ia juga akan disalurkan untuk memberikan bantuan kewangan berterusan terutama dalam kalangan ibu tunggal di kem pelarian,” katanya.

Bagi mereka yang mahu memberikan sumbangan boleh menyalurkannya menerusi akaun Maybank (5571 5731 5233), Bank Islam (140140 101 52198) atau RHB (2641 330 0023 705).

Sumbangan juga boleh dibuat menerusi QRPay di aplikasi Maybank. –  KopiPlanet.com

Apakah reaksi anda?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button