
Fazura Tampil Dengan ‘Kisah Terbaik’, Sebuah Balada Penuh Emosi Dengan Mesej Lebih Universal
Selepas mencuri perhatian menerusi karya-karya terdahulu, Fazura kini kembali mewarnai industri muzik tanah air dengan single terbaharunya berjudul “Kisah Terbaik”, sebuah balada penuh emosi yang mengangkat tema penerimaan, kekuatan diri dan harapan untuk melangkah ke hadapan.
Menurut Fazura, “Kisah Terbaik” bukan sekadar sebuah lagu mengenai cinta, sebaliknya membawa mesej yang lebih universal tentang menerima setiap pengalaman hidup sebagai sebahagian daripada proses membentuk diri.
“Bagi saya, ‘Kisah Terbaik’ bukan sekadar tentang cinta, tetapi tentang menerima setiap pengalaman yang membentuk diri kita. Walaupun ada kisah yang menyakitkan, akhirnya kita sedar semuanya hadir dengan hikmah. Saya harap lagu ini dapat menjadi teman buat sesiapa yang sedang melalui fasa untuk melepaskan dan memulakan lembaran baharu,” katanya.
Lagu ini merupakan hasil kolaborasi bersama komposer, penulis lirik dan penerbit Aiman Sidek serta Reza Ramsey. Proses pembikinannya berlangsung dalam suasana yang terbuka dan penuh kepercayaan, membolehkan setiap emosi diterjemahkan secara jujur ke dalam karya tersebut.
“Prosesnya sangat jujur dan terbuka. Kami banyak berbincang tentang emosi yang ingin disampaikan, dan Aiman serta Reza benar-benar memahami apa yang saya ingin luahkan. Mereka memberi ruang untuk saya berkongsi pandangan dan pengalaman, jadi lagu ini terasa sangat peribadi dan ikhlas,” jelas Fazura.
Dari sudut muzik, “Kisah Terbaik” mengetengahkan susunan yang sinematik dengan perkembangan emosi yang semakin memuncak, melengkapkan penceritaan yang disampaikan menerusi lirik.
“Saya rasa lagu ini mempunyai perjalanan emosi yang sangat indah. Ia bermula dengan rasa yang lembut dan rapuh, kemudian berkembang menjadi lebih besar dan penuh harapan. Susunan muziknya benar-benar membantu menghidupkan setiap emosi dalam lirik. Bagi saya, inilah antara karya yang paling matang dan paling dekat dengan diri saya,” katanya.
Berkongsi tentang hubungan peribadinya dengan lagu ini, Fazura mengakui setiap perjalanan hidup yang pernah dilalui menjadi antara sebab utama beliau begitu dekat dengan mesej yang ingin disampaikan.
“Saya percaya setiap orang melalui fasa jatuh dan bangun, begitu juga saya. Ada banyak pengalaman yang mengajar saya tentang kekuatan, keikhlasan dan menerima apa yang telah ditentukan. Sebab itu saya begitu terhubung dengan lagu ini kerana ia mengingatkan saya bahawa setiap perjalanan, walaupun sukar, tetap mempunyai makna yang indah,” ujarnya.
Menerusi “Kisah Terbaik”, Fazura berharap lagu ini mampu menjadi teman dan sumber kekuatan kepada para pendengar, khususnya mereka yang sedang berdepan detik-detik mencabar dalam kehidupan.
“Harapan saya sangat sederhana. Saya berharap ‘Kisah Terbaik’ dapat menyentuh hati pendengar dan memberi sedikit ketenangan kepada mereka yang sedang melalui waktu-waktu sukar. Kalau lagu ini mampu membuat seseorang rasa difahami, atau memberi mereka harapan untuk terus melangkah, itu sudah menjadi hadiah yang sangat bermakna buat saya.”
Dengan melodi yang menyentuh perasaan, susunan muzik yang indah serta lirik yang dekat dengan realiti kehidupan, “Kisah Terbaik” menjadi satu lagi karya yang memperlihatkan sisi matang Fazura sebagai seorang penyanyi dan pengkarya. Lagu ini mengajak pendengar untuk menerima setiap episod kehidupan sebagai sebahagian daripada perjalanan menuju versi diri yang lebih kuat dan lebih bermakna.
“Kisah Terbaik” kini boleh distrim di semua platform penstriman digital



