
Industri perfileman tempatan bakal digegarkan dengan kemunculan filem terbaru berjudul Felai FX: Trader Gelap – Apa Mau Takut, sebuah karya berani yang mengangkat dunia gelap penipuan forex dan manipulasi kewangan ke layar perak.
Diterbitkan oleh Teguh Setanding dengan sokongan Ampmoves Sdn. Bhd., Felai FX mengetengahkan kisah penuh debaran mengenai sindiket perdagangan haram yang memperdaya mangsa melalui janji kekayaan segera.
Apa yang menariknya, filem ini turut menampilkan sentuhan sinematografi bertaraf dunia oleh Mike Muschamp, seorang pengarah fotografi berpengalaman dari United Kingdom yang membawa visual filem ini ke tahap antarabangsa.
Lebih istimewa lagi, Felai FX juga merupakan karya terakhir yang menampilkan pelakon veteran Malaysia, Dharma Harun Al Rashid, menjadikan filem ini sebuah penghormatan penuh emosi kepada legasi seni beliau.
Filem ini sebelum ini telah dipertontonkan secara eksklusif dalam satu tayangan khas amal yang dianjurkan oleh Ampmoves Sdn. Bhd. semasa momen getir beliau — menjadikan projek ini lebih bermakna dari sudut kemanusiaan dan industri.
Penerbitnya, Richard Ung berkata, filem ini mengangkat tema scammer & forex gelap yang dilihat masih relevan dengan masyarakat hari ini
Ujarnya, ia adalah naratif realistik + dramatik berinspirasikan kes sebenar dengan visual sinematik bertaraf antarabangsa serta gabungan pelakon berpengalaman dan bakat baru.
“Filem ini bukan sekadar hiburan, tetapi satu refleksi realiti yang sedang berlaku dalam masyarakat. Kami mahu penonton bukan sahaja terhibur, tetapi juga lebih peka terhadap risiko penipuan kewangan,” ujarnya.
Felai FX: Trader Gelap – Apa Mau Takut akan mula ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia bermula 30 April 2026.
SINOPSIS
Qistina, seorang influencer Forex muda yang dikenali ramai, membina empayar popularitinya dengan imej wanita berjaya, berpengaruh dan penuh inspirasi. Namun, hakikatnya dia hanyalah boneka yang dipergunakan oleh Agnes, ‘rakan’ perniagaan yang penuh tipu daya, dan Eddy, ejen pelaburan haram yang memanipulasi kekuatan jenamanya untuk menutup penipuan berskala besar. – KopiPlanet.com



