
Selepas berjaya mencetuskan perdebatan dalam kalangan peminat untuk memilih antara Ancika atau Milea, studio produksi Falcon Pictures kini tampil dengan filem Dilan ITB 1997.
Filem berkenaan membawa penonton kembali menyelami dunia Dilan, namun kali ini dengan sisi yang sedikit berbeza.
Jika sebelum ini penonton mengenali Dilan sebagai seorang pelajar sekolah yang penuh kejutan dan kata-kata puitis, kini Dilan hadir dalam fasa kehidupan yang lebih matang apabila memasuki dunia universiti dan mula melihat masa depan daripada perspektif baharu.
Penonton dapat melihat bagaimana Dilan mula membina kehidupannya di kampus ITB. Dalam perjalanan itu, munculnya Ancika yang dilakonkan oleh Niken Anjani.
Ternyata kehadiran Ancika membawa warna baharu dalam kehidupan Dilan, seorang yang mesra, spontan, dan penuh dengan kejutan kecil yang perlahan-lahan membuatkan hati Dilan kembali berdebar.
Namun begitu, seperti yang diketahui oleh semua peminat Dilan, masa lalu bukan sesuatu yang mudah untuk dilupakan.
Manakala watak Milea yang dilakonkan oleh Raline Shah masih menjadi bahagian penting dalam perjalanan hidup Dilan.
Penerbit Frederica berkata, filem berkenaan membawa penonton merasai perjalanan emosi Dilan dengan lebih mendalam.
“Sememangnya kami mahu penonton bukan sahaja melihat kisah cinta Dilan, tetapi turut merasai proses bagaimana dia membesar.
“Daripada seorang remaja yang bersahaja kepada seseorang yang mula memahami erti kehilangan, kenangan, dan peluang untuk membuka hati semula,” ujarnya.

Sementara itu, pengarah Fajar Bustomi turut berkongsi bahawa filem ini masih mengekalkan kehangatan kisah Dilan yang dekat dengan hati penonton.
“Kami ingin menampilkan Dilan yang masih mampu membuat penonton tersenyum, tetapi pada masa yang sama memberikan rasa hangat. Ada banyak momen kecil yang sederhana, namun perkara itulah yang membuatkan kisah ini terasa nyata dan menyentuh hati,” jelas Fajar.
Pelakon watak Dilan, Nazril Irham atau Ariel NOAH, mendedahkan bahawa filem ini menunjukkan sisi Dilan yang lebih matang namun masih mengekalkan kehangatan yang sama.
“Dilan dalam filem ini sudah berada dalam fasa kehidupan yang berbeza. Dia mula memikirkan masa depan, tetapi hatinya masih Dilan yang sama, puitis dan ikhlas.
“Apabila bertemu Ancika, ada perasaan baharu yang mula hadir, tetapi sudah tentu perjalanan emosinya tidak semudah itu,” ujar Ariel.
Sementara itu, Niken Anjani yang membawa watak Ancika mengakui sangat teruja dapat menjadi sebahagian daripada dunia Dilan.
Menurutnya, Ancika merupakan seorang wanita yang sederhana tetapi mempunyai cara tersendiri dalam menyayangi seseorang.
“Ancika bukan seorang yang penuh drama. Dia jujur dengan dirinya, spontan dan hangat. Daripada kesederhanaan itulah dia mampu membuatkan Dilan berasa selesa. Bagi saya sendiri, Ancika adalah watak yang sangat menggemaskan,” kongsi Niken.
Poster rasmi yang dilancarkan turut memaparkan suasana romantik dan penuh kehangatan, menggambarkan perjalanan baharu Dilan yang perlahan-lahan melangkah ke masa depan bersama Ancika tanpa benar-benar melupakan kisah yang pernah dilaluinya.
Dilan ITB 1997 bakal menemui penonton di pawagam Malaysia pada 23 Julai 2026. – KopiPlanet.com



