Cerita ArtisHiburan

Gelagat Dan Perbuatan Isteri Selalu Cuit Hati Abam Bocey

Pelawak terkenal Abam Bocey atau nama sebenar, Syed Umar Mokhtar Syed Mohd Ridzuan mengakui kadang-kala berasa seperti tidak percaya dirinya kini sudah memegang status sebagai seorang suami disebabkan sudah biasa hidup bersendirian sebelum ini.

Abam mendirikan rumah tangga dengan Siti Norhidayah Mohd Ali pada 8 Disember lalu di Sabak Bernam, Selangor.

“Saya dah biasa hidup sendiri sebelum ini, kadang-kadang macam tidak percaya sudah berkahwin. Saya akui kehidupan kini lebih bahagia dengan kehadiran isteri.

“Isteri saya ini sebenarnya bukan seorang yang kelakar, tetapi banyak gelagat dan perbuatannya yang selalu mencuit hati saya dan mungkin selepas ini lawak-lawak berunsur suami isteri akan saya ketengahkan dalam mana-mana persembahan selepas ini,” katanya ketika ditemui pada majlis sidang media program baharu TV3, Bintang Mencari Bintang 2018 yang diadakan di Damansara Performing Arts Centre (DPAC), Damansara Perdana hari ini.

Dalam program realiti lawak itu, Abam akan berentap bersama lima rakan pelawak seperti Ajak, Achey, Syuk, Issey dan Mark Adam bagi merangkul hadiah juara keseluruhan iaitu wang tunai berjumlah RM100,000.

Sementara itu, Abam turut mendedahkan pada mulanya isterinya kurang memahami kesibukan kerjayanya sebagai seorang selebriti, namun lama-kelamaan isterinya sudah semakin faham dengan tuntutan kerja sehariannya.

“Masa baru-baru kahwin dia akan selalu tanya kalau saya balik lambat, namun lama-kelamaan dia sudah mula memahami cara kerja orang dalam industri ini.

“Dia sendiri faham bila kami buat sesi penggambaran untuk gambar kahwin, dia tengok sendiri cara-cara orang yang terlibat dalam produksi dan dari situ dia faham kesibukan kerja suaminya yang memang tak menentu masa, tak seperti kerja pejabat yang dah tetap waktunya.

“Selepas berkahwin, saya tak halang isteri untuk terus bekerja. Kalau boleh saya tak nak dia duduk rumah, takut dia sunyi sebab saya selalu outstation. Memang saya tak pernah halang dia daripada terus bekerja walaupun selepas kami berkahwin,” ujarnya.

Dalam pada itu, Abam turut menepis dakwaan mengatakan dia sengaja ‘menyorokkan’ isterinya apabila jarang sekali memuat naik gambar bersama isterinya di media sosial miliknya.

“Saya bukan tak nak dedahkan isteri di media sosial, cuma saya tak nak dia hidup dalam dunia saya kerana dalam media sosial ada bermacam-macam jenis orang yang akan mengkritik apa sahaja mengenai kita,” katanya lagi.

Abam bakal mengadakan majlis persandingan di sebelah pihaknya pada 20 Januari ini di kediaman ibunya di Gombak, Selangor. – KopiPlanet.com

Apakah reaksi anda?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button