Bagi menyambut ulang tahun ke-35, Hard Rock Cafe bakal meraikan detik bersejarah itu menerusi ’35 Years, One Legendary Night’ pada 9 November depan dengan menampilkan persembahan daripada tiga nama besar muzik rock tempatan iaitu WINGS, Kristal dan Muzza & The Velvettones.
Sejak mula beroperasi pada 1991, Hard Rock Cafe Kuala Lumpur menjadi antara lokasi ikonik yang sinonim dengan muzik, hiburan dan budaya popular di ibu negara. Sambutan ini bukan sahaja meraikan perjalanan 35 tahun jenama berkenaan, malah menghargai pemuzik dan peminat yang terus menghidupkan legasi muziknya.
Kumpulan rock legenda WINGS bakal menjadi tarikan utama menerusi persembahan lagu-lagu popular mereka. Turut memeriahkan pentas ialah Kristal, yang telah lebih dua dekad mewarnai industri muzik dengan identiti fast-rock tersendiri. Kumpulan ini kini dianggotai Ewal (vokal), Rody (gitar), Kechiq (bass) dan Acap (dram).
Acara yang bermula pada jam 9 malam itu turut menampilkan Muzza, penyanyi, penulis lagu, komposer dan gitaris yang dikenali menerusi lagu “Bara Jiwa”, runut bunyi asal filem Blood Brothers: Bara Naga.
MEMORABILIA DATO’ AWIE JADI SOROTAN
Satu lagi detik istimewa ialah penyerahan memorabilia Dato’ Awie untuk diabadikan dalam koleksi Hard Rock Cafe Kuala Lumpur sebagai penghargaan terhadap sumbangannya kepada industri muzik tempatan.
Pengurus Besar Hard Rock Cafe Kuala Lumpur, Ranjit Singh berkata, perjalanan muzik Dato’ Awie turut mencerminkan perkembangan Hard Rock Cafe Kuala Lumpur sepanjang 35 tahun.
“35 tahun mewakili lebih daripada sekadar masa kerana ia adalah legasi muzik, kenangan dan generasi yang telah membesar bersama kami. Kami amat berbangga meraikan sejauh mana perjalanan ini telah membawa kami dan perjalanan yang masih akan diteruskan,” katanya.
Penganjuran acara ini dikendalikan oleh Rumah Produksi Merah Events (RPM Events). Pengarah Urusannya, Datuk Eddy Amir Salim turut meluahkan penghargaan atas kepercayaan yang diberikan oleh pihak Hard Rock Cafe Kuala Lumpur.
“RPM Events merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Hard Rock Cafe Kuala Lumpur atas kepercayaan yang diberikan kepada kami untuk menguruskan ‘35 Years, One Legendary Night’.
“Acara ini bukan sekadar sambutan ulang tahun, tetapi platform untuk meraikan legasi Hard Rock Cafe Kuala Lumpur serta ikon dan pemuzik tempatan yang telah mewarnai industri muzik selama ini,” katanya.
Bagi melengkapkan sambutan, Hard Rock Cafe Kuala Lumpur turut melancarkan T-shirt edisi terhad hasil kolaborasi bersama WINGS dengan hanya 500 helai dikeluarkan dengan harga RM198. Koleksi eksklusif itu boleh didapati di Rock Shop®️ untuk peminat dan pengumpul memorabilia muzik.
Tiket berharga RM219 seorang, termasuk satu minuman ringan. Kemasukan terhad kepada pemegang tiket berumur 18 tahun ke atas. Tiket boleh didapati menerusi Hard Rock Cafe Kuala Lumpur dan kelab peminat WINGS, Sayap-Sayap Wings. – KopiPlanet.com




