• FOLLOW US
Gaya Hidup, Travel

Hawaii… Lokasi Yang Memukau Dan Berbaloi Untuk Percutian

Apabila memperkatakan tentang lokasi percutian pilihan kebanyakan rakyat Malaysia, antara negara yang menjadi pilihan biasanya seperti Indonesia, Thailand, Filipina, Australia, Jepun atau Korea Selatan. Bagaimanapun, sebenarnya ada satu lagi lokasi yang sepatutnya diterokai iaitu Hawaii, sebuah kepulauan di bawah pentadbiran Amerika Syarikat.

Kalau diikutkan, penulis tidak bercadang untuk berkongsi tentang percutian di Hawaii (atau lebih tepat berbulan madu). Lagipun penulis tidak mahir dalam menghasilkan artikel mengenai percutian. Namun tak salah rasanya untuk penulis berkongsi sedikit pengalaman tentang percutian penulis dan isteri di Hawaii pada 16 hingga 21 Oktober 2017.

Idea untuk bercuti di Hawaii sebenarnya timbul sewaktu hari pertama syarikat penerbangan Air Asia X membuka laluan ke sana (kalau tak silap sekitar bulan Februari atau Mac 2017). Pada hari pertama laluan dibuka, penulis terus melayari laman web Air Asia untuk melihat harga tiket yang ditawarkan.

Memandangkan pada hari pertama, sudah tentulah harga tiket agak istimewa. Bayangkan, penulis mendapat harga tiket kira-kira RM1,100 sahaja untuk seorang (termasuk beg 20kg dan makanan). Dah tentu harga tersebut cukup murah (tak tahu boleh dapat lagi atau tak harga macam tu sekarang).

Di Hawaii, sebenarnya terdapat beberapa buah pulau, tetapi yang paling menjadi tumpuan pelancong adalah Honolulu dan penerbangan Air Asia X akan mendarat di Honolulu International Airport.

Sebelum terlupa, memandangkan Hawaii terletak di Amerika Syarikat, maka pelancong dari Malaysia perlu memohon visa terlebih dahulu. Harga untuk visa sahaja hampir mencecah USD160 atau RM700 seorang (bergantung kepada kadar tukaran mata wang).

Untuk pengetahuan pembaca, untuk terbang ke Hawaii, tiket tidak boleh check in secara online. So, kena check in dekat satu kaunter khas bagi penerbangan ke Hawaii di KLIA 2 (penulis lupa kaunter nombor berapa). Jadi, penulis dan isteri tidak perlu beratur panjang, namun dinasihatkan untuk tiba awal di airport.

Untuk pengetahuan pembaca, untuk ke Hawaii penerbangan Air Asia X akan transit di Osaka, Jepun terlebih dahulu. Cuma transit tidak mengambil masa terlalu lama iaitu sekitar dua jam sahaja. Penerbangan dari KL ke Osaka mengambil masa hampir tujuh jam dan Osaka ke Hawaii perlu menempuh tempoh penerbangan selama sembilan jam.

Hotel

Setelah mengharungi hampir 19 jam penerbangan termasuk transit, akhirnya penulis dan isteri tiba di hotel penginapan kami di Aqua Pacific Monarch, Waikiki, Honolulu. Perlu diingat, waktu masa antara Malaysia dan Hawaii berbeza iaitu 18 jam. Penulis bertolak pada 16 Oktober 2017 (Isnin) pukul 2.00 petang dan tiba di Honolulu pada 16 Oktober 2017 (Isnin) pukul 4.00 petang.

Memandangkan percutian ini lebih kepada honeymoon, jadi penulis lebih prefer untuk menginap di hotel. Kalau diikutkan hotel tempat kami menginap ni harganya sekitar USD150 semalam, tetapi bila dah diconvert ke duit Malaysia + cukai (sehari pihak hotel kenakan USD20 untuk cukai sahaja), harga semalam untuk bilik hotel sahaja dah cecah lebih RM700. Kalau dah menginap selama lima malam…

Apa yang membuatkan penulis tertarik memilih hotel ni kerana lokasinya yang berdekatan dengan pantai. Hanya berjalan kaki selama lima minit jer menuju ke pantai.

Oh ya, untuk pengangkutan dari airport ke hotel, penulis sarankan untuk ambil shuttle bus (van besar yang boleh muat 12-16 penumpang. Tambang sekitar USD24, berbanding kalau naik teksi sekitar USD40).

i. Waikiki Beach

Hawaii sebenarnya mempunyai banyak lokasi-lokasi yang menarik, tetapi memandangkan bajet yang terhad, penulis dan isteri hanya dapat pergi ke beberapa lokasi sahaja. Ketika penulis pergi, USD1=RM4.20, sekarang ni rasanya USD1=RM3.90. Jauh berbeza tu…

Kalau dah namanya bercuti di pulau, sudah tentu lokasi utama adalah pantai. Sambil mandi laut, boleh juga cuci-cuci mata tengok pelancong. Namun, apa yang paling menarik di Waikiki Beach ni apabila ada khidmat wifi percuma. Laju pula sampaikan penulis sempat buat FB Live.

Ada ramai kawan-kawan penulis bertanya, apa yang menarik dan istimewanya pantai kat Honolulu tu.
Jujur penulis cakap, memang tak ada yang menarik pun dan lebih kurang sama dengan pantai-pantai lain jer. Yang paling penting dan best, dapat jejak kaki di pantai Hawaii.

Selain pantai, di area Waikiki Beach juga terdapat banyak butik-butik mewah di sepanjang jalan Kalakau Ave. Umpamanya area seperti di kawasan Bukit Bintang yang penuh dengan butik-butik di kiri dan kanan serta bangunan dan hotel-hotel mewah. Setakat nak jumpa butik Coach, Kate Spade, Calvin Klein, memang bersepah. Kalau nak ke Hard Rock Café Honolulu dari hotel penulis pun dekat, hanya jalan kaki dalam 15 minit jer.

ii. Pearl Harbour

Kalau melancong ke Hawaii, tak sah rasanya kalau tak pergi ke sebuah lokasi bersejarah seperti Pearl Harbour. Mungkin ramai yang tahu tentang kapal perang Amerika Syarikat yang diletupkan oleh tentera Jepun sehingga ke mencetuskan Perang Dunia Ke-2.

Sebenarnya, terdapat beberapa buah kapal perang yang musnah, tetapi yang paling dasyat adalah kapal USS Arizona yang mengakibatkan lebih 1000 tentera terperangkap terkorban, malah jasad mereka terus kekal dalam kapal tersebut. Bangkai kapal tersebut masih lagi ada sehingga sekarang dan dijadikan lokasi untuk pelancong.

Untuk ke sana, penulis cadangkan supaya pergi pada awal pagi (seelok-eloknya tiba di sana pada pukul 8.00 pagi). Setibanya di sana, terus ke kaunter tiket dan pelancong akan diberikan pass untuk ke kapal USS Arizona.

Sebelum dibawa menaiki sebuah bot khas untuk ke kapal berkenaan, pengunjung akan dibawa ke sebuah bilik tayangan (mini pawagam). Sebuah dokumentari khas mengenai Pearl Harbour akan ditayangkan kepada pengunjung kira-kira 20 minit.

Kemudian, barulah pengunjung akan dibawa ke kapal USS Arizona lebih kurang lima minit sahaja menaiki bot (lawatan ke USS Arizona akan dibatalkan sekiranya hujan lebat atau cuaca buruk). Penulis bernasib baik kerana cuaca ketika itu agak cerah.

Apabila tiba di kapal USS Arizona, pengunjung diberi masa sekitar 15 hingga 20 minit untuk berlegar-legar dan mengambil gambar. Selain itu, ada dipaparkan senarai nama-nama askar yang terkorban di kapal berkenaan.

Apa yang membuat penulis kagum, meskipun kapal tersebut sudah musnah 76 tahun lalu, namun kesan tumpahan minyak kapal berkenaan masih lagi kekal dan boleh dilihat.

Selain dibawa ke kapal USS Arizona, terdapat juga beberapa buah muzium serta kapal perang di sekitar kawasan Pearl Harbour yang boleh dilawati pengunjung serta sebuah kedai cenderamata.

*masuk adalah percuma, cuma yang bawa beg kena bayar USD4 untuk sewa letak beg.

iii. King Kamehameha Statue

Sebuah lagi lokasi tarikan pelancong yang wajib pergi adalah King Kamehameha Statue. Mungkin ramai yang hanya ingat kuasa Kamehameha dalam komik Dragon Ball je kan.

Sebenarnya, King Kamehameha ni adalah seorang raja yang cukup terkenal di Hawaii suatu masa dahulu. Jadi, sebuah patungnya telah dibina dan terletak di kawasan Aliiolani Hale, Iolani Palace dan Kawaiahao Church.

iv. Diamond Head

Kalau korang bercadang nak tengok keindahan Honolulu dari aras yang tinggi, penulis cadangkan supaya pergi ke Diamond Head.

Sebenarnya, Diamond Head ni merupakan sebuah bekas kawah gunung berapi yang pernah aktif ratus ribu tahun lalu. Bagaimanapun, ia tidak lagi aktif dan kini menjadi tempat tumpuan utama kepada pelancong yang datang ke Hawaii.

Selain boleh bersiar-siar di kawasan kawah berkenaan, pengunjung juga dibenarkan mendaki hingga ke puncaknya. Kalau tak silap, waktu mendaki adalah dari pukul 6.00 pagi hingga 6.00 petang. Cuma semasa penulis berkunjung ke sana, pengunjung hanya dibenarkan mendaki dari pukul 6.00 pagi hingga 12.00 tengah hari sahaja kerana ada kerja-kerja penyelenggaraan.

v. Manoa Falls

Selain kawasan pantai yang menjadi tumpuan ramai pelancong, di Honolulu juga terdapat beberapa area kawasan hutan simpan yang boleh dilawati.

Untuk ke sana, tiada pengangkutan bas dan pelancong perlulah menyewa van dan ia terletak dalam setengah jam perjalanan dari kawasan bandar.

Selain dapat menikmati keindahan hutan, pengunjung juga boleh pergi ke kawasan air terjun. Namun, untuk ke kawasan air terjun tersebut perlulah mendaki.

Bagaimanapun, laluan pendaki agak besar dan selamat, cuma perlu berhati-hati sekiranya hujan kerana jalan mendaki akan menjadi licin.

Untuk mendaki ke kawasan air terjun tersebut mengambil masa dalam 45 minit sahaja. Memang agak meletihkan, namun pastinya berbaloi setelah tiba di air terjun berkenaan.

vi. Ala Moana Center

Kalau siapa-siapa yang kaki shopping tu, bolehlah singgah di Ala Moana Hawaii Center. Ia merupakan sebuah pusat membeli-belah yang paling besar di Hawaii dan ketujuh di Amerika Syarikat.

Selain terdapat pelbagai kedai dan butik, di dalam Ala Moana Center juga ada beberapa beberapa buah department store terkenal seperti Macy’s, Nordstrom, Target, Neiman Marcus, Sears dan lain-lain lagi.

Sesuatu yang istimewa di Ala Moana ni juga, setiap hari iaitu dalam pukul 12.00 tengah hari akan persembahan tarian kebudayaan masyarakat Hawaii. Sambil-sambil shopping, best jugak tengok gadis-gadis Hawaii ni bergelek.

Memandangkan kawasannya yang terlalu luas, penulis terpaksa datang lebih daripada sekali ke Ala Moana Hawaii Center ni.

vii. Waikele Premium Outlets

Sebuah lagi lokasi membeli-belah yang pastinya menjadi kegemaran kaum wanita seperti isteri penulis adalah Waikele Premium Outlets.

Terletak agak jauh daripada pusat bandar dan mengambil masa kira-kira sejam perjalanan jika ke sana apabila menggunakan bas.

Kalau dah namanya pun premium outlets, pastinya barangan yang dijual di butik-butik terkenal juga sangat murah berbanding kalau nak shopping di Ala Moana Center.

Misalnya, sewaktu pergi ke butik Coach, diskaun yang ditawarkan adalah sehingga 90 peratus untuk beberapa barangan. Begitu juga dengan butik Kate Spade, Levi’s dan Calvin Klien yang turut menawarkan harga diskaun.

Pengangkutan

Sepanjang berada di sana, penulis lihat pengangkutan yang paling efisen di Hawaii sudah semestinya bas atau dikenali sebagai The Bus.

Untuk pergi ke sesuatu tempat, penulis dan isteri memang banyak menggunakan bas sahaja. Tiket pun murah iaitu USD2.50 untuk perjalanan sehala. Kalau hendak ke tempat-tempat seperti Pearl Harbour, King Kamehameha Statue, Diamond Head, Ala Moana Centre dan Waikele Premium Outlets pun boleh pergi dengan menaiki bas.

Bagaimanapun, penulis sarankan sekiranya menaiki bas, pengunjung boleh membeli tiket berharga USD5.00. Simpan tiket tersebut kerana sah untuk digunakan dalam tempoh sehari apabila menggunakan khidmat The Bus (maknanya boleh naik sampai 50 kali sehari). Ia lebih berbaloi berbanding beli tiket berharga USD2.50.

Selain itu, disarankan juga untuk install goggle map. Ia memang banyak membantu sepanjang berada di sana kalau nak ke sesuatu lokasi, termasuk nombor bas yang perlu dinaiki. Malah, pelancong juga boleh bertanya kepada pemandu bas atau memberitahu untuk turun di mana-mana lokasi yang ingin dituju. Mereka memang gemar membantu dan memiliki sifat yang ramah.

Cenderamata

Kalau melancong ke sesebuah negara, antara benda wajib yang perlu dibeli adalah cenderamata. Sama ada untuk diri sendiri atau diberi kepada kawan-kawan seperti t-shirt, key chain atau fridge magnet.

Di Honolulu, kalau nak singgah beli barangan cenderamata, kedai yang paling menarik adalah ABC Stores. Kiranya ABC Stores ni macam kedai 7 Eleven lah kalau kat Malaysia ni. Paling menarik, ABC Stores ni memang ada bersepah-sepah. Misalnya, kalau singgah satu kedai ABC Stores, kemudian jalan dalam 100 meter, akan jumpa lagi ABC Stores ni.

Selain jual barangan cenderamata, ABC Stores ni jual macam-macam lagi barangan termasuklah barangan makanan. Penulis sendiri pun beli sedikit keperluan makanan di ABC Stores ni macam telur, roti, susu dan jus minuman.

Selain ABC Stores, ada lagi tempat menjual barangan cenderamata iaitu di Duke’s Market Place. Kiranya kat sini kedai-kedainya macam kat uptown lah dan barangan cenderamata di sini boleh dapat harga yang lebih murah berbanding di ABC Stores.

Makanan

Penulis akui, memang sukar nak jumpa makanan halal di Hawaii memandangkan tidak ramai masyarakat Islam di sana. Jadi, penulis memang dah siap-siap beli makanan Brahim dari Malaysia. Kalau telur, roti dan susu untuk breakfast, penulis beli jer di ABC Stores.

Bagaimanapun, penulis dan isteri sempat jugalah menikmati pizza di sebuah kedai muslim iaitu Amina Pizzeria. Cuma, harganya agak mahal bila di covert ke dalam duit Malaysia.

Bayangkan, untuk satu set regular pizza sahaja harganya dah mencecah USD20 (cuba darab dengan RM4.23). Penulis sempatlah order dua regular pizza dengan harga USD40 (RM169.20 untuk dua set regular pizza sahaja).

Pamplet dan booklet

Sebagai sebuah negeri pelancongan, terdapat juga pamplet dan booklet yang disediakan di pelbagai lokasi dan diberikan secara percuma kepada pelancong.

Jadi, penulis sarankan supaya ambil sahaja pamplet dan booklet yang disediakan itu kerana ia memang banyak membantu memberikan info.

Malah, terdapat juga baucer diskaun yang diberikan serta harga istimewa yang ditawarkan oleh pelbagai agensi pelancongan.

Honolulu, Hawaii…

Sebenarnya, banyak lagi lokasi-lokasi menarik yang boleh dilawati di Hawaii, cuma ia bergantung juga kepada bajet masing-masing. Tidak dinafikan, tempoh selama lima hari berada di Hawaii memang tidak mencukupi. Penulis sarankan supaya pergi ke sana sekurang-kurangnya seminggu.

Ini sahajalah yang dapat penulis kongsikan tentang percutian/bulan madu bersama isteri pada bulan Oktober 2017 yang lalu. Asalnya, penulis tidak bercadang untuk menulis tentang percutian ini kerana tidak mahir menulis tentang cerita percutian.

Setelah difikirkan semula, apa salahnya kalau penulis kongsikan sedikit info tentang percutian ke Hawaii ini. Mungkin sedikit sebanyak dapat membantu mereka yang ingin ke sana…

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Send this to a friend