FilemTerkini

Headhunter Bukan Sekadar Kisah Pemburu Kepala, Tampilkan Tradisi Kepahlawanan & Setiakawan

Menghidupkan semula tradisi, adat atau kepercayaan yang pernah wujud dalam sejarah peradaban manusia ke skrin layar mungkin tidak semudah yang digambarkan.

Namun dengan pengetahuan dan kajian yang dijalankan, ‘suasana’ tersebut dapat dikembalikan meski ia dihasilkan dalam bentuk fiksyen.

Itulah yang bakal disaksikan oleh penonton apabila sebuah filem berjudul Headhunter edaran MyContent Distribution yang bakal menemui para penonton menerusi platform Prime Video.

Headhunter dalam bahasa Melayu bermaksud pemburu kepala. Ia bukan sebuah keganasan semata-mata namun adat tradisi daripada suku kaum Iban di Sarawak sejak berabad lamanya.

Ia juga merupakanlambang kepahlawanan apabila Headhunters membawa pulang kepala selepas misi serangan yang dikenali sebagai Ngayau.

Mengambil latar abad ke-18, Headhunter yang ditulis, diarahkan dan diterbitkan sendiri oleh Badd Badrul akan menyaksikan kombinasi di antara fakta tentang adat tradisi dan fiksyen yang dibentuk menjadi hiburan sekaligus pengetahuan baharu buat generasi masa kini.

Badd Badrul juga menyifatkan Headhunter sebagai naskhah bersifat mendidik dan berkongsi ilmu tentang adat, budaya atau tradisi yang cukup kaya di Malaysia amnya dan di Borneo khususnya.

“Pahlawan Iban yang sejati bukan sahaja yang memenggal kepala tetapi yang sanggup kepalanya dipenggal, ini merupakan ‘tagline’ untuk filem ini”, kata Badd Badrul yang menjadi tunggak utama filem Headhunter sebagai Penerbit, Pengarah dan Penulis Skrip.

“Naskhah ini bukan hanya bergantung kepada latar belakang tradisi Headhunter atau pemburu kepala itu semata-mata. Sebaliknya ia dipenuhi dengan pengembaraan, aksi, suspen dan pembalasan yang diselitkan bersama kisah asmara dan setiakawan yang sangat tinggi.

“Saya menghasilkan naskhah ini dalam bentuk fiksyen tetapi apa yang ingin disampaikan di sebalik Headhunter adalah tentang sejarah atau adat tradisi yang telah sebatidalam ‘dunia’ masyarakat Iban.

“Besar harapan saya pengisian di dalam Headhunter dapat ditonton sekaligus dikenali dan difahami oleh generasi masa kini tentang budaya serta adat tradisi kaum terdahulu sebelum kita. Pihak kami juga mendapat kerjasama dari Persatuan Transformasi Dayak (TRADA). Kami berterima kasih kepada Joseph Ninting Janting selaku presiden persatuan, dan jurulatih linguistik mereka iaitu Richard Mathias,” ujar Badd Badrul.

Headhunter yang bakal ditayangkanbermula 29 Jun 2023 di Prime Video ini mengangkat kisah empat sahabat baik yang membesar bersama sejak kecil.

Mereka adalah Anang, Lebor, Untai dan Siah yang melalui pahit manis kehidupan seharian bersama-sama..

Anang bagaimanapun melalui jalan hidup yang kurang menyenangkan. Tragedi menyayat hati terjadi apabila bapa Anang mati dibunuh dengan kepalanya dipancung oleh musuh bernama Sapik. Sejak itu Anang berikrar untuk membalas dendam ataskematian bapanya.

Masa berlalu, mereka beranjak dewasa. Anang dan Lebor telah dipanggil oleh Tuai rumah iaitu ketua rumah panjang bersama remaja-remaja yang lain untuk melakukan ekspedisi Ngayau sebagai salah satu syarat menjadi pahlawan Iban.

Mereka akan bergelar pahlawan Iban selepas mendapatkan kepala lalu diberi gelaran Bujang Berani.

Sapik sebaliknya masih dengan sikap jahat dan telah mengupah lanun untuk menyerang kaum Iban sehingga ramai terkorban.

Sapik juga sempat mengugut untuk membunuh Untai dan pada suatu hari,i Anang telah menemui bungkusan yang rupanya diisi dengan kepala Untai.

Persoalannya, siapa yang membunuh Untai?

Saksikan Headhunter edaran MyContent Distribution yang mula ditayangkan di Prime Video pada 29 Jun 2023. Filem ini mengketengahkan lakonan Anding Indrawani sebagai watak utama, Cha Cha Maembong sebagai heroin manakala Ebi Kornelis sebagai watak antagonis atau musuh utama hero. Ia juga menampilkan lakonan sulung Ahya Rosli dan Zulaika Zahari.

Headhunter telah mendapat Anugerah Khas Juri Festival Filem Malaysia yang ke 31. Manakala Anding Indrawani pula telah memenangi Anugerah Pelakon Harapan FFM 31 melalui filem yang sama. – KopiPlanet.com

Apakah reaksi anda?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button