• FOLLOW US
Event, Hiburan

IRAMA Lancar Lagu Patriot Jaya-Sayangi Malaysiaku Sempena Kemerdekaan

Sempena mengambil semangat perpaduan sempena bulan kemerdekaan tahun ini membuatkan Konsortium Industri Rakaman Malaysia (IRAMA) telah melancarkan sebuah lagu patriotik untuk seluruh rakyat Malaysia iaitu Patriot Jaya-Sayangi Malaysiaku.

IRAMA yang baru setahun ditubuhkan menganggap apa yang dilakukan ini sebagai tanda kasih sayang berpanjangan buat negara dan sudah pasti mengharapkan lagu berkenaan dapat menyemarakkan lagi perasaan cintakan tanah air.

Bagi Presiden IRAMA, Ayob Abdul Majid menyifatkan apa yang dilakukan pihaknya merupakan satu tanggungjawab sosial dan kerja kemasyarakatan bagi menyemarakkan lagi bulan Kemerdekaan.

“Lagu ini adalah hadiah dan tanda kasih sayang IRAMA kepada negara. Hari ini kita melancarkan Patriot Jaya Malaysiaku dan berharap lagu ini akan diterima ramai.

“Beberapa perancangan juga sudah diatur untuk mempromosikan lagu ini ke seluruh negara bermula sekarang sehinggalah Hari Malaysia yang disambut setiap 16 September.

“Saya berharap ini akan menyuntik lebih semangat kepada ahli masyarakat untuk menghargai nikmat yang dikecapi hari ini. Terus sayangi Malaysia dan tanamkan sifat cintakan negara,” ujarnya.

Menurutnya, sebagai sebuah Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO), mereka berbangga apabila menjadi pihak pertama yang menghasilkan lagu patriotik sempena sambutan Hari Kemerdekaan ke-62.

Istimewanya lagu tersebut tidak dinyanyikan secara berseorangan, sebaliknya menggabungkan ramai artis yang bernaung di bawah IRAMA yang mahukan keamanan yang dikecapi hari ini terus disyukuri.

Antara artis yang menyumbangkan suara termasuklah Bagio Damasutra, Winnie Kok dan Reshma. Selain mereka, beberapa artis lain turut terlibat sama terdiri daripada Yana, Zairil, Lobo Panglima, Natasha Saas, Ezra Rahman dan beberapa penyanyi lain.

“Mendengarkan bait indah lagu ini, pastinya melodi yang didengar menusuk ke dalam hati. Unsur-unsur patriotik disemat sedikit sebanyak menambahkan lagi semangat untuk terus menghargai kedamaian yang dikecapi hari ini.

“Sudah pasti sentuhan emas Broth Rem dan Ezra Rahman tidak boleh dipandang sebelah mata. Lagu Patriot Jaya-Sayangi Malaysiaku menusuk ke dalam hati meski kalau pertama mendengarnya,” ujar Ayob.

Jelasnya, apa yang lebih menarik apabila kebanyakan penyanyi yang terlibat menyumbangkan tenaga secara sukarela tanpa mengharapkan sebarang bayaran.

Lagu Patriot Jaya-Sayangi Malaysiaku juga akan dimasukkan ke dalam carta lagu di semua pusat Karaoke NAV seluruh negara.

Ini menjadikan lagu tersebut sebagai satu-satunya lagu patriotik yang boleh dinyanyikan bersama pengunjung atau rakyat Malaysia yang berkunjung ke sana.

IRAMA merupakan sebuah konsortium yang menggabungkan pemilik syarikat rakaman kecil dan ditubuhkan untuk membela nasib penyanyi dan syarikat rakaman tempatan.

Mereka juga banyak membantu ahli-ahli untuk mempromosikan lagu baharu dengan modal yang kecil berbanding harga pasaran yang selalunya menjadi masalah utama kepada segelintir pihak.

Selain itu, IRAMA juga giat membantu ahli-ahli di bawah naungannya untuk meneroka pelbagai cabang muzik termasuklah perniagaan bagi mendepani cabaran ekonomi semasa. – KopiPlanet.com

Kredit Foto: Jon Ramlan

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Send this to a friend