Cerita ArtisHiburan

Irwansyah Nafi Dibayar RM1 Juta Untuk Telenovela Dia

Pelakon Indonesia, Irwansyah menafikan khabar angin yang mendakwa dia menerima bayaran sebanyak RM1 juta bagi membintangi telenovela kerjasama dua negara Malaysia-Indonesia berjudul Dia.

Menurut Irwansyah, bayaran yang diterimanya setimpal dengan tempoh masa penggambaran yang agak panjang memandangkan telenovela itu mempunyai 60 episod.

“Tiada, tiada, bukan RM1 juta tapi lumayan (bayarannya). Alhamdulillah, saya terima tawaran ini bukan disebabkan wang, sebaliknya nak timba pengalaman baharu dengan krew produksi dan pelakon-pelakon di Malaysia memandangkan saya belum pernah berlakon di Malaysia.

“Di Indonesia, belum ada sinetron kerjasama dua negara jadi mudah-mudahan ini boleh buka peluang sesuatu yang baharu (untuk saya explore),” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran telenovela Dia di One Utama, hari ini.

Bagi menjayakan penggambaran Dia, Irwansyah, 32, telah berkampung di Malaysia selama tiga bulan bagi melunaskan watak Adit yang dipegangnya.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai babak-babak intim yang dilakukan bersama heroin dalam drama Dia, Irwansyah menjelaskan isterinya, Zaskia Sungkar seorang yang cukup memahami kerjayanya memandangkan dia juga merupakan seorang pelakon.

“Isteri saya seorang yang memahami. Sebelum berlakon, saya terangkan babak-babak yang ada dalam drama itu dan dia okey, asalkan tiada babak bercium atau berpelukan,” ujarnya lagi.

Selain Irwansyah, Dia turut dibintangi oleh Janna Nick, Izara Aishah, Sandrinna Michelle, Zamarul Hisham, Aleza Shadan dan Fazlina Ahmad Daud.

Dia bakal ditayangkan di TV3 bermula 14 Oktober ini jam 9 malam di mana ia akan bersiaran selama tiga hari seminggu iaitu pada hari Jumaat hingga Ahad.

Telenovela ini diarahkan oleh Eoon Suhaimi di bawah terbitan Orange Tree Production manakala di negara jiran ia diarahkan oleh sutradara Omar Olly Alaydrus dari Limelight Pictures. – KopiPlanet.com

Apakah reaksi anda?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button