Penerbit popular, Jaja Ishak mengakui persetujuan Haqiem Rusli untuk menyanyikan lagu OST Drama Sepenuh Hati Rindu berjudul Katamu Sekejap adalah rezeki buat dirinya.
Jaja berkata, selama ini dia sememangnya cukup menggemari lagu-lagu nyanyian Haqiem dan cukup teruja kerana mendapat seorang penyanyi gred A untuk menyanyi lagu OST drama terbitan syarikatnya Jaja Ishak Channel (JIC).
“Kalau diikutkan syarikat kami bukanlah sebuah label muzik besar dan lebih tertumpu kepada penerbitan drama, mungkin agak sukar untuk mendapatkan penyanyi hebat seperti Haqiem.
“Namun, saya sangat bersyukur apabila perbincangan dibuat, ternyata Haqiem menyambut baik tawaran kami. Jadi, saya anggap ini merupakan satu ‘jackpot’ kerana hasrat untuk mendapatnya telah tercapai,” ujarnya.
Jaja berkata demikian ketika ditemui media semasa majlis pelancaran lagu Katamu Sekejap yang berlangsung pada minggu lalu.
Menceritakan lebih lanjut tentang kerjasama yang terjalin, Jaja memberitahu pada peringkat awal pernah timbul persepsi penyanyi itu sukar didekati kerana status sebagai seorang penyanyi popular.

Bagaimanapun, ujarnya persepsi tersebut berubah sama sekali setelah mengenali Haqiem dengan lebih rapat sejak berpeluang berborak semasa menghadiri sebuah majlis.
“Pada mulanya memang ada rasa segan dan menyangka Haqiem seorang yang sombong. Atas saranan rakan-rakan, saya terus bertegur sapa dan tak sangka dia ajak makan sekali.
“Kemudian kami terus berborak dan sikapnya cukup berbeza dengan apa yang sangka sebelum ini. Sebenarnya dia seorang penyanyi yang sangat mesra dan merendah diri dan akhirnya tercetus hasrat untuk dia menyanyikan OST drama ini,” ujarnya.
Sementara itu, Haqiem berkata dia berhadapan cabaran tersendiri untuk merakamkan lagu berkenaan tidak menonton lagu drama berkenaan sepenuhnya dah berharap kepada sinopsis sahaja.
“Kalau diikutkan dah empat tahun saya tak menyanyi lagu-lagu OST untuk drama, malah Katamu Sekejap ini juga mengembalikan saat-saat saya aktif dengan lagu balada di waktu awal kemuculan dahulu,” ujarnya.
Lagu Katamu Sekejap ciptaan bersama Haqiem Rusli dan Jaja Ishak dilancarkan secara rasmi di platform penstriman digital sebagai lagu tema utama drama Sepenuh Hati Rindu yang disiarkan menerusi slot Samarinda TV3 bermula 27 Oktober ini. – KopiPlanet.com




