• FOLLOW US
Event, Hiburan

Jamal Abdillah Teruja Tun Mahathir Berbesar Hati Jadi Penaung Konsert

Raja Pop, Datuk Jamal Abdillah, 59, teruja dengan kesudian Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang berbesar hati untuk menaung Konsert Duo Lagenda.

Konsert Duo Lagenda menampilkan Jamal bersama Datuk M.Nasir akan berlangsung selama empat hari bermula pada 20 hingga 23 Disember di Panggung Sari, Istana Budaya.

“Saya cukup teruja apabila Tun Dr Mahathir menyatakan kesudiannya untuk menjadi penaung konsert ini. Selain itu, konsert ini juga cukup istimewa apabila isteri beliau, Tun Dr Siti Hasmah akan memainkan biola mengiringi persembahan saya menerusi satu segmen khas pada malam konsert 22 Disember nanti.

“Tun Mahathir turut menyatakan kesudian beliau untuk datang menonton konsert pada malam VVIP,” katanya kepada KopiPlanet.com.

Jamal ditemui pada majlis santai bersama media yang diadakan Hotel Grand Campbell, Kuala Lumpur hari ini.

Selain mengimbau kembali kenangan bersama peminatnya menerusi konsert itu, Jamal turut berkata pada malam VVIP itu akan turut diadakan majlis kutipan dana.

“Malam VVIP itu nanti turut akan diadakan segmen khas bagi mengumpul dana untuk golongan yang memerlukan.

“Dana itu kemudiannya akan disumbangkan kepada pusat kebajikan yang dipilih oleh Tun Hasmah sendiri,” ujarnya lagi.

Menurut Jamal lagi, sebanyak lebih 50 peratus tiket sudah berjaya dijual setakat ini dan dijangka penjualan tiket akan meningkat menjelang konsert nanti.

Konsert yang mendapat tajaan sepenuhnya daripada Shapadu dan Hotel Grand Campell ini akan berlangsung selama dua jam di mana lebih 20 seleksi lagu akan dipersembahkan di bawah pengarah muzik, Raja Shah Raja Sari.

Konsert ini turut dimeriahkan dengan persembahan pembukaan daripada penyanyi Australia, Cassidy Anderson.

Tiket-tiket berharga RM1,000 (Golden Seat/VVIP), RM558, RM458, RM358, RM258 dan RM158 boleh dibeli menerusi www.ilassotickets.com atau hubungi 03-21706333. – KopiPlanet.com

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Send this to a friend