Cerita ArtisHiburan

Jange Kelik Laa Weii Gesa Orang Ramai Tidak Pulang Beraya Di Kampung

Kira kira empat tahun lalu, lagu raya bercorak kenegerian dari Kelantan berjudul Kelik Laa Weii nyanyian Aris Kapilla dan Man Khan pernah mencuri tumpuan ramai.

Ketika itu, lagu yang dihasilkan oleh komposer Eddie Hamid itu menjadi siulan menggamit perantau dari Pantai Timur di seluruh pelusuk negara dan dunia pulang ke kampung halaman untuk beraya.

Menariknya, lagu terbitan dan edaran Nova Music (M) Sdn. Bhd. itu pernah menjadi lagu raya rasmi negeri Kelantan pada tahun 2016.

Tahun ini, Eddie Hamid atau nama penuhnya Abdul Hamid Adenan mencetuskan idea bersama Man Khan dan Aris Kapilla untuk menjadikan naskhah lagu asal itu dalam versi Jange Kelik Laa Weii pula.

Ia seiring dengan saranan kerajaan berhubung isu semasa untuk membendung penularan wabak Covid-19 hingga larangan pergerakan orang ramai merentas negeri untuk menyambut Aidilfitri telah dikuatkuasa.

“Sebelum kita berdepan dengan ujian getir saat ini, saya sendiri pernah terfikir nak hasilkan dalam versi Jange Kelik La Weii jika lagu asal mendapat sambutan. Cuma masa itu belum terfikir bila waktu sesuai untuk merealisasikannya. Tanpa diduga kita berdepan dengan ujian ini hingga dikuatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan seterusnya diberi kelonggaran menjadi Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

“Cuma keputusan untuk merentas negeri bagi sambutan Aidilfitri tidak dibenarkan seperti yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin baru baru ini. Jadi kira kira dua minggu lalu saya, Man dan Aris merasakan ini masa yang sesuai untuk melancarkan lagu Jange Kelik La Weii sekaligus menyahut seruan kerajaan. Man dan Aris turut bergabung dengan Zulkiffli M Ali dari sudut penulisan lirik,” jelas Eddie.

Menurut Eddie, jika lagu asal lebih berusaha untuk memujuk anak rantau pulang beraya ke kampung, namun versi kali ini menjadi sebaliknya.

“Sesuatu yang kita mungkin rasa pelik dan janggal, jika beraya tanpa pulang ke kampung halaman. Namun, semuanya ini untuk kebaikan bersama dalam memutuskan rantaian virus jahat itu. Lagipun tahun ini saja kita berkorban. Tahun-tahun sebelum ini kita sudah terbiasa dengan suasana atau rutin pulang beraya.

“Kita perlu akur dengan situasi semasa. InsyaAllah raya tahun mendatang akan kembali seperti sediakala. Jadi, lagu raya kali ini ditujukan khas buat semua perantau yang tak dapat pulang beraya. Andai kata pulang beraya ke kampung dibenarkan kemudian, mungkin judul lagu itu perlu bertukar menjadi Boleh Kelik Laa Weii,” seloroh Eddie lagi.

Sebagai permulaan, video muzik lagu raya itu sudah pun dilancarkan sejak 2 Mei lalu. Manakala versi penstriman di semua platform digital bakal dilancarkan pada 8 Mei ini.

“Teaser lagu raya ini ketika saya kongsi di Facebook dalam masa tiga hari sudah pun mendapat maklum balas positif hingga hampir 50,000 tontonan diraih selain 3,000 lebih dikongsi di media sosial.

“Ini satu permulaan yang baik. Malah, tontonan video muzik Jange Kelik Laa Weii di YouTube sudah pun mencatat lebih 30 ribu tontonan dalam masa hanya beberapa hari,” katanya.

Menurut Eddie lagi, proses gerak kerja menyiapkan lagu dan video muzik juga perlu dilakukan di studio berasingan demi mematuhi PKP. Video muzik tersebut diarahkan Zulkiffli M Ali.

“Bayangkan saya di Kota Bharu, Man di Bandar Jeli dan Aris di Pasir Mas. Jadi tiga studio terpaksa digunakan. Namun, jarak itu tak memisahkan kerana kami mampu bersatu di alam maya untuk menyiapkan kerja seni ini. Selepas dikumpulkan semua rakaman video yang dibuat secara berasingan, proses suntingan pula dibuat di sebuah lagi studio di tempat lain.

“Video muzik dilakukan secara berasingan berpandukan skrin hijau. Turut dimasukkan gambar Perdana Menteri kita sedang berucap. Malah ada juga beberapa footage menunjukkan situasi terbalik. Contohnya, kereta yang bergerak ke arah berlawanan di lebuh raya.

“Tak ketinggalan simbolik empat tengkorak menari yang menjadi peringatan kita mungkin menempah maut jika degil dan melanggar perintah larangan merentas negeri untuk balik ke kampung,” katanya.

Eddie berkata lagi, sekalipun lagu itu dalam loghat Bahasa Kelantan, ia tidak semata-mata ditujukan kepada perantau dari negeri berkenaaan sahaja.

“Sebaliknya lagu ini sesuai untuk kita semua. Lagi pun, muzik itu sesuatu yang universal. Lagu ini mengajak kita agar terus reda beraya sekalipun tidak dapat pulang ke kampung halaman. Raya tetap raya biarpun di lokasi semasa kita berada di saat ini,” katanya.

Eddie Hamid merupakan penyanyi era 90-an yang turut bergelar komposer. Beliau juga turut aktif menjadi Pengarah Muzik untuk pelbagai drama di kaca TV. – KopiPlanet.com

Apakah reaksi anda?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button