Cerita ArtisHiburan

Jayakan Konsert… Elyana Tidak Kisah Ingkar Arahan Doktor

Penyanyi Elyana menyatakan dia akan tetap berusaha untuk beraksi pada konsert Jadi Diriku 19’ Live In Concert yang akan berlangsung pada 6 Julai ini.

Elyana berkata, seandainya doktor tidak membenarkan dia menjayakan konsert itu nanti, dia akan ingkar kepada arahan tersebut.

“Buat masa ini saya masih belum memberitahu doktor, namun dalam masa terdekat ini saya akan berjumpa dengan doktor untuk menyatakan saya terlibat dengan sebuah konsert.

“Saya akan pastikan konsert ini dapat direalisasikan, meskipun tidak mendapat kebenaran. Lagipun ini adalah konsert sulung dan ia merupakan impian saya sejak dahulu lagi sepanjang bergelar penyanyi,” ujarnya.

Sebelum ini penyanyi lagu Kalis Rindu itu mendedahkan dia menghidap kanser limfoma tahap empat sejak lapan tahun lalu dan ia didedahkan kepada umum ketika pertandingan Gegar Vaganza musim keempat.

Bagaimanapun, penyanyi itu menjelaskan dia akan tetap mendapatkan nasihat doktor agar kesihatannya terjamin ketika menjelang dan semasa konsert berlangsung.

Ujarnya, pihak penganjur juga akan memastikan supaya pasukan perubatan dapat disediakan di lokasi konsert itu nanti.

“Pada mulanya saya hanya mahu buat sebuah showcase sahaja kerana takut dengan kemampuan. Namun begitu, saya telah diyakinkan oleh pihak produksi agar ia menjadi sebuah konsert.

“Dahulu saya memang selalu berangan-angan, malah ada yang bertanya bila saya nak buat konsert. Kalau boleh saya tidak mahu tunda lagi kerana takut ia tidak kesampaian,” luahnya.

Menurutnya, konsert berkenaan akan berlangsung selama satu jam setengah dan lagu-lagu yang akan dipersembahkan masih lagi dalam peringkat perbincangan.

Konsert yang bakal berlangsung di Bentley Music Auditorium, Damansara itu antaranya sebahagian usaha mengutip dana yang akan disumbangkan kepada pesakit kanser yang memerlukan bantuan.

Tiket-tiket berharga RM139 (early bird untuk 100 terawal), RM159 dan RM199 (meet and greet) boleh dibeli menerusi laman web www.shopee.com.my atau aplikasi Shopee. – KopiPlanet.com

Apakah reaksi anda?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button